(Oleh: Nabihah Hamid)
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution berkata kuota 30 peratus bumiputera tidak pernah tercapai, sebaliknya agihan kekayaan negara hanya tertumpu kepada kroni yang rapat dengan pemerintah.
“Dengan perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah menjangkau 40 tahun, kenapa sasaran 30 peratus masih belum dicapai. Hingga kini tidak ada satu angka berwibawa. Berapa pegangan ekuiti sebenar? Berapa usahawan kecil bumiputera? Berapa individu (bumiputera yang berjaya dalam perniagaan),” ujar beliau.
Saifuddin mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib semalam yang mengingatkan bahawa 30 peratus kuota bumiputera akan dihapuskan kelak.
Menyifatkan kenyataan itu sebagai cakap kosong, Saifuddin berkata pada hakikatnya kuota berkenaan sebelum ini tidak memberi keuntungan kepada Melayu bawahan, sebaliknya hanya menguntungkan kroni Umno.
“Ia tidak tercapai kerana proses perlaksanaan berakhir dengan keutamaan kepada individu yang berkepentingan kepada Umno. Dasar itu tidak sampai ke bawah dan kalau ada pun hanya tempias,” katanya kepada keadilandaily.
“Dan kalau tak tercapai kenapa Umno yang kononnya juara melayu hendak menamatkan kuota ini?,” sinis beliau.
Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, pengumuman tersebut akhirnya tidak akan membuahkan apa-apa hasil dan tidak mencerminkan niat sebenar perdana menteri untuk melakukan perubahan.
Ini kerana sebelum ini Model Ekonomi Baru yang memperincikan hasrat membuka ekonomi dengan dasar tidak berteraskan kaum, disangggah oleh Badan Bukan Kerajaan seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA).
“Hasilnya, Najib tunduk dengan tekanan itu dan ia tidak lebih satu kenyataan,” katanya.
Model Ekonomi Baru diumumkan Najib pada Mac 2010, yang mencedok idea Agenda Ekonomi Malaysia yang diperkenalkan Pakatan Rakyat, diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Febuari lalu mengakui DEB telah disalah-gunakan oleh orang Melayu bagi mendapatkan kekayaan segera.
“Saya malu, saya sering mempertahankan DEB tapi sedar kalau segala peluang yang diwujudkan dalam DEB digunakan oleh orang Melayu, hari ini kita bukan sahaja (akan) mendapat 30 peratus kekayaan negara tetapi lebih daripada itu,” Mahathir dipetik berkata.
sumber : Keadilan Daily
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.