13 Sept 2011

Penangguhan cukai 6% hanya sandiwara PRU 13

Oleh : Nazri Abdullah   
KUALA LUMPUR, 12 Sept: PAS menyifatkan penangguhan kutipan cukai perkhidmatan enam peratus ke atas pengguna talian telefon prabayar oleh kerajaan hanya sekadar permainan politik BN menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, ianya tidak lebih sekadar sandiwara kerajaan Umno BN, bagi meredakan kemarahan rakyat yang terbeban dengan kos hidup dibawah pemerintahan mereka.


"Ini hanya satu sandiwara untuk meredakan kemarahan rakyat menjelang PRU ke-13 nanti.

"Sedangkan, pihak Telco hanya menguatkuasakan apa yang dibentangkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dalam Bajet 2011 tahun lalu," katanya.

Beliau yang juga pengerusi Kempen Protes Barang Naik (Protes BN) berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim hari ini yang mengumumkan bahawa kerajaan dan semua syarikat telekomunikasi (telco) bersetuju menangguhkan kutipan cukai berkenaan yang sepatutnya bermula 15 September ini.

Penangguhan itu katanya sehingga perbincangan semula dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Sebelum ini, Najib dalam pembentangan Bajet 2011 didakwa telah memasukkan kutipan cukai enam peratus tersebut dan Telco hanya melaksanakannya.

Baru-baru ini, telco telah mengumumkan akan mengenakan cukai kerajaan sebanyak enam peratus dalam semua jualan kad pra bayarnya mulai 15 September ini.

Ini bermakna, setiap RM10 nilai kad pra bayar, harganya akan menjadi RM10.60 di mana 60 sen adalah cukai yang dikenakan kerajaan melalui Telco kepada penggunanya.

Jumlah 60 sen setiap RM10 ini akan dibayar oleh Telco kepada kerajaan.

Kerajaan dijangka akan memperolehi pendapatan sebanyak RM750 juta hasil melalui cukai ini untuk tahun ini sahaja.

Namun begitu, jumlah ini tidak sebanyak mana jika dibandingkan dengan pendapatan yang akan diperolehi kerajaan jika menarik balik subsidi kepada enam Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) iaitu sebanyak RM17 bilion setahun.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena menyeru kepada seluruh pengguna prabayar agar tidak termakan sandiwara itu.

Katanya, tiada sebarang jaminan oleh kerajaan bahawa cas enam peratus itu tidak akan dikenakan selepas pilihan raya umum.

"Saya minta kepada pengguna prabayar agar terus memberi tekanan kepada kerajaan agar cukai ini dimansuhkan terus.

"Guna telefon prabayar anda untuk memastikan BN ditolak pada PRU ke-13 nanti," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.