13 Sept 2011

Kota terbelah








BUDAPEST antara kota terindah di benua Eropah, dipenuhi tinggalan pelbagai seni bina termasuk ketika di bawah penaklukan Empayar Islam Uthmaniyyah. Ibu negara dan kota terbesar di Hungary ini dikunjungi AHMAD TARMIZI CHE HAS yang mencatatkan kisah perjalanannya.


BERPELUANG menjejakkan kaki di salah sebuah negara Eropah tengah adalah pengalaman baru bagi penulis kerana destinasi yang dipilih - Budapest - bukanlah popular bagi kebanyakan pelancong terutama dari Malaysia.
Kota warisan yang juga ibu negara Hungary ini sememangnya antara yang terindah di benua Eropah, dihiasi pelbagai seni bina mengagumkan merangkumi pelbagai era hasil penaklukan kuasa asing seperti Rom, Bulgaria, Empayar Islam Turki Uthmaniyyah sehinggalah komunis.
Selain itu, ada juga seni bina dipengaruhi Zaman Pembaharuan Eropah yang bermula di Itali ratusan tahun lampau. Sebagai ibu kota moden, Budapest yang juga bandar terbesar di Hungary turut menjadi pusat politik, budaya, industri dan perniagaan.

Panorama indah kota ini tambah mengasyikkan dengan kehadiran Sungai Danube, antara sungai utama mengalir di bumi Eropah yang turut merentasi beberapa negara lain bermula di Romania di sebelah timur sehingga Jerman di barat.

Akibat sungai yang membelah, kedua-dua bahagian kota ini dihubungkan dengan pelbagai jambatan indah binaannya, namun paling tersohor adalah ‘Chain Bridge’ di tengah-tengah Budapest, menghubungkan Buda di sebelah Barat dengan Pest di sebelah timur.

Mengikut sejarah, penggabungan dua tebing ini menghasilkan nama Budapest yang sebelum itu terpisah kepada tiga kota kecil iaitu Buda dan Óbuda di sebelah barat tebing dengan Pest di sebelah timur. Di sepanjang timur tebing sungai di sebelah Pest, terdapat deretan kedai cenderahati tersusun menggamit pengunjung.
Walaupun Hungary secara rasmi diterima menyertai Kesatuan Eropah (EU), negara ini tetap menggunakan mata wang sendiri, Hungarian Forint bukan Euro seperti kebanyakan negara EU lain. Namun Euro masih diterima dengan meluas di kebanyakan kedai di Budapest, cuma mungkin harga barangan lebih tinggi akibat pertukaran nilai mata wang.

Kehadiran di Budapest tidak lengkap jika tidak ke bangunan Parlimen yang bercirikan binaan neo-gothic berdiri megah di tebing sungai di sebelah Pest, juga struktur paling menonjol di antara sekian banyak binaan di kota ini.

Menurut seorang penduduk tempatan, ia bangunan Parlimen ketiga terbesar di dunia, sekali gus membuktikan kehebatan empayar Hungary masa silam. Bagaimanapun, kerajaan hanya menggunakan sebahagian kecil daripada ruang yang ada bagi memastikan bangunan sentiasa terpelihara, sesuai statusnya sebagai ikon dan khazanah negara.

Di Buda, suasana lebih menarik disebabkan keadaannya seakan-akan kota lama dipenuhi istana, muzium dan gereja dibina ratusan tahun lalu. Terletak atas bukit menghadap sungai adalah Kota Buda dan Istana Bukit. Walaupun kebanyakan struktur dibina semula akibat perang, semua masih mampu menghadirkan rasa kagum mata memandang.

Destinasi wajib dilawati lain adalah Dataran Pahlawan atau Hosok Tere. Di dataran yang luas ini, tegak berdiri pelbagai arca tokoh terkenal seperti ketua puak bangsa Hungary pada zaman kegemilangannya dulu. Ketika arca dan dataran dibina, Hungary masih dalam empayar kuasa besar Austria-Hungary berpusat di Vienna.

Di sekitar dataran, banyak destinasi popular lain boleh dituju dengan hanya berjalan kaki, antaranya Muzium Kesenian Hungary dan Istana Kesenian yang menggambarkan betapa bangsa Hungary menghargai nilai seni tinggalan sejarah mereka yang dipelihara sebaiknya untuk tatapan generasi muda.

Sebelum terlupa, hampir keseluruhan kota ini dihubungkan dengan jaringan pengangkutan awam yang baik, membantu pengunjung menuju destinasi dengan mudah. Budapest Metro, sistem kereta api bawah tanah adalah yang kedua tertua di dunia selepas Metro London dan beroperasi sejak 1896 lagi.

Lebih menarik apabila masih ada stesen metro yang mengekalkan binaan silam dengan bangku kayu dan jubin antik, menambah nilai keunikannya. Dua daripada stesen bawah tanah iaitu Hosok Tere dan Arosliget juga diiktiraf Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.