Oleh Nek Kamal Yeop Yunus
PERGOLAKAN di Mesir tidak menghalang pelancong terus mengunjungi negara mumia itu yang memang kaya dengan sejarah tamadun manusia. Antara mereka termasuk Pensyarah Pengurusan Pemasaran, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), PROF MADYA DR NEK KAMAL YEOP YUNUS yang mencatatkan pengalamannya. Kota Tamadun Dunia
PELUANG menyertai satu persidangan pemasaran antarabangsa di American University di Kaherah, baru-baru ini, menjadi pengalaman tidak mudah dilupakan ketika pergolakan di Mesir masih bersisa dan aspek keselamatan masih dirisaukan
Tidak dapat dinafikan, Bumi Anbia ini memang kaya dengan sejarah bermulanya tamadun manusia. Mesir mempunyai slogan tersendiri bermaksud `Semua bermula di sini’, melambangkan Kaherah adalah tempat bermulanya tamadun dunia.
Antara produk pelancongan menarik ialah piramid di Giza. Bagai tidak lengkap lawatan ke Kaherah andai tidak berkunjung ke Piramid dan Sphinx, malah merakam gambar berlatarkan keajaiban dunia itu sudah menjadi perkara wajib dilakukan pelancong ke negara ini.
Di Kaherah sendiri, ada banyak tempat tarikan pelancong termasuk Universiti al-Azhar yang melahirkan ramai cendekiawan Islam dan juga universiti tertua dunia. Tersergam juga banyak masjid besar dan cantik seni binanya seperti Masjid Imam Shafie, Masjid Amru al-Ash, Masjid Saidina Hussin dan Masjid Universiti al-Azhar sendiri.
Sungai Nil, sungai terpanjang di Afrika terus mengalir tenang di tengah kota Kaherah. Sebuah pulau yang terbentuk di tengah sungai itu menjadi landasan kepada beberapa jambatan yang menghubungkan dua bahagian, bandar raya Kaherah dan Giza. Bangunan tinggi dan serba moden pula menghiasi kaki langit kota.
Kaherah memang sentiasa sibuk, kesesakan lalu lintas bagai menu wajib setiap hari. Barangkali sikap pemandu teksi yang gemar menukar lorong sesuka hati, membunyikan hon serta memarahi pemandu lain menambah keceriaan kota ini, namun bagi pelancong dari Malaysia, situasi sedemikian mungkin membuatkan mereka kecut perut.
Ada semacam kefahaman dan toleransi tinggi dalam kalangan pemandu teksi di sini, rata-rata seperti sepakat tidak menggunakan meter. Sebelum naik teksi, harga dipersetujui adalah pada kadar tertentu, tapi jangan terkejut sebaik sampai di destinasi, sewanya melambung.
Ada banyak motosikal di bandar raya ini, kebanyakannya jenis Vespa yang popular di negara kita sekitar 1960-an. Masih ada unta dan kereta kuda berlumba dengan teksi di tengah Kaherah, gabungan pengangkutan tradisi dan moden yang sangat mengagumkan pelancong.
Berbicara mengenai kebersihan di Kaherah, aspek berkenaan mungkin boleh dipertingkatkan. Tong sampah sukar dilihat, sampah sarap berselerakan ditiup angin ke merata tempat.
Kami yang menyertai persidangan berkenaan dibawa melawat Muzium Mesir yang menempatkan pelbagai khazanah sejarah negara itu termasuk mumia keluarga Firaun.
Walaupun menjadi musuh ketat nabi ketika hayatnya dan terkenal dengan corak pemerintahan zalim ke atas rakyat Mesir, Firaun adalah objek utama pada kebanyakan cenderamata yang memaparkan gambar kepala isteri dan raja Mesir itu.
Ingin membeli belah, Kaherah menawarkan lokasi sangat menarik seperti Bazaar Khan al-Khalili dan Bazaar Hussin. Sungai Nil juga menawarkan pakej `cruise’ siap dengan pertunjukan kebudayaan dan majlis makan malam di atas kapal.
Penulis serta peserta persidangan bertuah kerana turut dijemput ke majlis makan malam di atas kapal yang perlahan-lahan menyusuri Sungai Nil tatkala senja semakin menjengah dan matahari semakin berat berlabuh di ufuk barat.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.