17 Jan 2012

Tuntut Suruhanjaya Diraja siasat NFC- Kit Siang

KUALA LUMPUR 17 Jan: Penasihat DAP, Lim Kit Siang menggesa agar Suruhanjaya Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat kes Skandal National Feedlot Corporation (NFC) melibatkan Keluarga Menteri, Datuk Seri Shahrizat Jalil.
Katanya lagi, skandal berkenaan jelas menunjukkan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku menteri pertanian meluluskan pinjaman projek sebanyak RM250 juta itu.
“(Justeru), serahkan kepada Suruhanjaya Diraja untuk menjawab soalan: Siapa selain Muhyiddin yang harus bertanggungjawab dalam “kemelut” NFC di mana objektif projek penternakan lembu tersebut adalah untuk meningkatkan keluaran bekalan daging negara,” kata beliau.

Muhyiddin antara menteri yang dikaitkan dalam skandal berkenaan apabila meluluskan projek berharga RM73.64 juta itu pada 2008.
Semalam, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar turut mengalihkan tanggungjawab tersebut kepada Muhyiddin apabila ditanya mengapa projek NFC tidak dihentikan.
Noh juga meminta wartawan bertanya kepada Muhyiddin ketika diajukan soalan mengenai tindakan yang akan diambil terhadap NFC, iaitu syarikat milik Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail- suami kepada Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil.
Projek tersebut bukan saja gagal mencapai sasaran, malah pinjaman RM250 juta telah disalahguna untuk membeli dua unit kondominium mewah di Bangsar dan di Singapura serta pelbagai transaksi meragukan.
Ia termasuk pembelian kereta mewah Mercedez Benz dan wang NFC yang digunakan bagi tujuan pelancongan oleh keluarga Shahrizat.
Terbaru semalam, KEADILAN mendedahkan hampir RM600,000 digunakan dari dana NFC untuk membiayai kad kredit milik suami dan anak-anak Shahrizat.
Sebelum ini, Lim Kit Siang mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjawab semua persoalan itu tanpa cuba memperlekehkan rakyat Malaysia yang marah dengan penyalahgunaan kuasa dalam skandal tersebut.
Katanya, setelah lebih enam bulan dibongkarkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010, tiada apa-apa tindakan dilakukan oleh anggota Kabinet mahu pun NFC sendiri.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.