KUALA LUMPUR 17 Jan: NGO Jingga 13 membuat laporan polis menggesa
siasatan dijalankan terhadap keluarga Menteri Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Ia ekoran penyelewengan dana National Feedlot Corporation untuk
membiayai kad kredit milik mereka berjumlah hampir RM600,000 sebagaimana
didedahkan Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli semalam.
Sehubungan itu, Ketua Penyelaras Jingga 13, Fariz Musa turut mendesak
keluarga Shahrizat mendedahkan kepada umum penyata kad kredit milik
keluarganya.
“Jika enggan, kita akan terus mendedahkan penyelewengan NFC dari
semasa ke semasa kerana dana NFC adalah wang rakyat,” kata beliau.
Laporan polis tersebut dibuat oleh Sekretariat Jingga 13, Viknesvaran di Balai Polis Dang Wangi tengahari tadi.
Menurut Vikneswaran, rakyat Malaysia berhak tahu perincian penggunaan
kad kredit milik keluarga Shahrizat yang menggunakan dana berkenaan
kerana ia jelas merupakan satu kesalahan pecah amanah.
“Ini jelas berlakunya jenayah pecah amanah seperti termaktub dalam AKta 613 Seksyen 406 atau 409 Kanun Keseksaan,” kata beliau.
Turut dilampirkan dalam laporan polisnya hari ini ialah transaksi
penggunaan kad kredit Maybank dan CIMB yang tertera nama suami dan
anak-anak Shahrizat sepanjang 2009.
Semalam, KEADILAN mendedahkan Shahrizat membelanjakan RM593,500 pada tahun 2009 dengan kad kredit yang dibiayai oleh dana NFC.
Menurut Rafizi, empat ahli keluarga yang memegang jawatan pengurusan
dalam NFC telah menggunakan kad kredit berkenaan bagi perbelanjaan
antara RM122,402 dan RM182,525 setiap seorang.
Mereka adalah suami Shahrizat, Datuk Mohammad Salleh Ismail, iaitu
pengerusi NFC, anak lelaki mereka, Wan Shahinur Izmir (pengarah
eksekutif), Wan Shahinur Izran (ketua pegawai eksekutif) dan anak
perempuan mereka Wan Izzanah Fatimah (pengarah).
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.