PETALING JAYA, 4 DIS – Pakatan Rakyat mahu Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai membuat pengumuman meminta semua pengguna yang telah membeli bahan makanan termasuk susu yang mengandungi bakteria E.Coli supaya mengembalikannya ke Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) untuk mendapatkan kembali wang mereka.
Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, pengumuman Liow pula perlu disiarkan dalam semua media arus perdana untuk memastikan setiap pengguna yang telah membeli produk-produk berkenaan dapat memulangkannya segera.
“Inilah serba sedikit yang boleh dilaksanakan oleh Menteri kepada rakyat, jika beliau telah membuat keputusan untuk tidak melakukan apa-apa tindakan terhadap pembekal produk yang membahayakan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pengesahan Liow tentang kewujudan bakteria E.Coli dalam susu segar 1Malaysia telah membuktikan kebenaran terhadap kebimbangan wakil-wakil rakyat Pakatan.
Beliau menambah, semuanya itu telah terbukti jelas sejak beberapa hari lalu, termasuk melalui dialog Kementerian Kesihatan dengan beliau bersama Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.
Bagaimana pun, Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara kesal kerana Liow cuba masih cuba menutup isu dengan mendakwa kononnya kebanyakan daripada 13 produk yang dijual di KR1M tidak membahayakan kesihatan, dan produk-produk tersebut ditarik balik kerana masalah “label”.
Pua menjelaskan, senarai produk yang dibangkitkan oleh wakil-wakil rakyat Pakatan termasuk isu mutu bahan atau produk yang gagal memenuhi syarat Peraturan Makanan 1985, iaitu susu segar, aiskrim, susu sejat, krimer pemanis, minyak sapi, jem buah-buahan, sos tiram, sardine dan kari ayam dalam tin.
Tambahnya, Liow telah dipetik oleh akhbar The Star milik MCA sebagai berkata, “the products were removed due to non-compliance with food regulations such as incomplete labelling, he said, stressing that it was not due to food safety matters.”
(Terjemahan: Produk-produk itu ditarik balik kerana tidak mematuhi peraturan makanan seperti pelabelan tidak lengkap, katanya, menegaskan bahawa ia bukan kerana perkara yang melibatkan keselamatan makanan)
“Malah, yang amat mengejutkan ialah The Star langsung tidak menyebut tentang penemuan bakteria E.Coli.
“Pelbagai jenis kuman bakteria E.Coli atau Escherichia coli menghasilkan toksin (racun) bahaya yang mengakibatkan penyakit yang biasa dikaitkan dengan makanan seperti cirit-birit, dan jika terlalu teruk kesannya, telah pun mencatatkan kematian,” ujarnya.
Pua berkata, Liow yang juga Timbalan Presiden MCA mengambil sikap tidak bertanggungjawab kerana enggan memberi amaran atau bertindak tegas terhadap pembekal bahan-bahan makanan yang berbahaya itu.
Tambahnya, antara tindakan yang boleh diambil terhadap pembekal telah dinyatakan dalam Akta Makanan 1983 di mana pihak yang bersalah boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 dan/atau penjara tidak lebih 10 tahun.
Sebaliknya, beliau berkata, Liow bertindak membebel terhadap wakil-wakil rakyat Pakatan kerana mendedahkan skandal bahan makanan KR1M.
“Menteri perlu sedar bahawa adalah menjadi tugasnya untuk menguatkuasakan keselamatan makanan dan mutu bahan makanan yang dijual di kedai, dan itu bukan tugas wakil-wakila rakyat pembangkang.
“Hakikat bahawa kedai-kedai yang menjual produk-produk tersebut sejak enam bulan lalu membuktikan Menteri telah gagal dalam tugasnya, tambahan pula semua produk ini dijual atas jenama 1Malaysia yang hebat dipromosikan oleh Perdana Menteri dan kerajaan pusat BN,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.