SHAH ALAM, 4 Dis: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang secara sindiran mendakwa adalah lebih baik PAS 'diperkuda' berbanding Umno yang 'diperlembu'.
Berucap pada majlis Rapat Rakyat di sini hari ini beliau menjelaskan, kuda diguna untuk berjuang tetapi lembu hanya untuk disembelih.
"Sudah tiba masanya buat perubahan, jangan peduli dengan tohmahan PAS diperkuda DAP, DAP diperkuda PAS.
"Umno diperlembukan. Lebih baik diperkuda dari diperlembu kerana kuda diguna untuk perjuangan tetapi lembu untuk disembelih," katanya disambut sorakan gemuruh kira-kira 10 ribu hadirin.
Ucapan sinis tersebut sebagai membidas tuduhan pimpinan Umno khususnya Datuk Sri Najib Razak dan Muhyiddin Yassin semasa Perhimpunan Agung Umno bahawa PAS diperkuda oleh DAP.
Menjelaskan tuduhan itu, presiden PAS itu berkata, kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP dibuat atas dasar bersama mahu membawa keadilan dan menentang kezaliman.
Ianya juga atas dasar mahu membina hubungan antara kaum yang lebih kuat yang gagal dibuat Umno BN sepanjang lebih lima dekad merdeka.
Kegagalan itu kerana Umno masih menggunakan sistem penjajah iaitu melaga-lagakan pelbagai kaum dan pada masa yang sama menolak Islam.
"Kegagalan ini kerana Umno mendahulukan Melayu dan membelakangkan Islam.
"Perjuangan mereka pula untuk menyelamatkan diri pemimpin dengan mengapi-apikan perkauman, bukan mahu menyelamatkan negara," katanya lagi.
Turut hadir dan berucap pada program malam ini adalah Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Setiausaha Datuk Mustafa Ali, Ketua Umum PKR Datuk Sri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden Azmin Ali, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said dan pimpinan PR Selangor termasuk Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.