KUALA LUMPUR, 4 Dis: PAS berharap perbicaraan kes saman berhubung Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin akan dimulakan secepat mungkin pada bulan ini.
Sehubungan itu, peguam PAS, Hanipa Maidin dan pembantunya kini sedang berunding dengan hakim yang akan mengendalikan kes itu bagi mendapatkan tarikh paling awal untuk melaksanakannya.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, mengikut maklumat yang diterima, hakim yang akan mengendalikan kes tersebut adalah Datuk Rohana Yusof.
Menurutnya, pihaknya sememangnya berharap kes tersebut disebut secepat mungkin di mahkamah kerana rakyat sedang menanti penuh harapan.
Katanya, Perdana Menteri sememangnya sudah amat keterlaluan sehingga sanggup memperkenalkan dan membentangkan rang undang-undang itu pada persidangan Dewan Rakyat 24 November lalu untuk dijadikan undang-undang di negara ini.
"Dengan perlaksanaan undang-undang itu nanti, negara kita akan menjadi lebih teruk dari Myanmar yang telah keluar dari alam kediktatorannya, tetapi diambil aih pula oleh Datuk Seri Najib," katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini semalam.
Rang undang-undang tersebut, menurutnya, jelas bertujuan untuk menyekat seluruh rakyat negara ini dari mengadakan sebarang perhimpunan walaupun secara aman dan tanpa sebarang senjata dan tanpa mengira motif perhimpunan itu diadakan.
Katanya, undang-undang tersebut sememangnya tidak boleh diterima oleh PAS dan rakyat negara ini kerana ia jelas menafikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman bagi menyuarakan pandangan.
"Rang Undang-undang (RUU) Perhimpunan Aman 2011 itu juga ternyata bercanggah dengan Perkara 10 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan yang sepatutnya lebih diutamakan. Jadi jika ia dilaksanakan pasti akan menghakis demokrasi di tanah air kita," tegasnya.
Menyedari hakikat itulah, beliau bersama 2 lagi pemimpin PAS yang terdiri daripada Pengarah Jabatan Pilihjanraya PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad memfailkan kes itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin (2 Disember lalu).
Saman tersebut difailkan menerusi Tetuan Hanipa Maiden & Co bagi memohon semakan kehakiman terhadap RUU Perhimpunan Aman 2011, dengan menamakan Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Pahang sebagai responden pertama dan Kerajaan Malaysia sebagai responden kedua.
Tujuan permohonan semakan itu dibuat, pertamanya untuk mendapatkan deklarasi bahawa Najib dan kerajaan telah bertindak melebi kuasa mereka selaku eksekutif.
Kedua, untuk menghalang proses rang undang-undang itu daripada menjadi suatu undang-undang atau akta yang akan dilaksanakan di negara ini.
Manakala objektif ketiga adalah, jika halangan tidak dpat dilakukan, tindakan untuk meminta responden meminda mana-mana fasal dalam rang undang-undang itu agar selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.