Belum pun reda dengan kejayaan gerakan mahasiswa menekan Universiti
Islam Antarabangsa untuk menarik balik penggantungan Prof. Dr Abdul Aziz
Bari baru-baru ini. Mahkamah Rayuan telah mencatatkan satu lagi sejarah
dalam gerakan mahasiswa apabila telah mengisytiharkan Seksyen 15(5)(a)
Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 bercanggah / ‘ultra-virus’
dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Hakim Dato’ Hishamudin Yunus di dalam penghakiman bertulisnya
menyatakan peruntukan Seksyen 15(5)(a) akan memandulkan daya fikir
kritikal dan sihat para mahasiswa. Universiti bukannya kilang untuk
membiakkan para robot dan mesin pekerja, tetapi jauh lebih besar dari
itu, ia adalah gedung melahirkan para pemikir dan reformis. Mahkamah
Rayuan juga secara tidak langsung telah mengiktiraf hak-hak kebebasan
asasi sebagai struktur asas dan roh di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mahasiswa telah melakar sejarah kegemilangannya satu ketika dahulu,
sebagai agen pendesak dan pengimbang bagi pemerintah. Demonstrasi
Baling, penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia, Bahasa Melayu sebagai
bahasa pengantar di Universiti Malaya dan Kempen Anti-Tunku adalah
antara kenangan manis dalam sejarah gerakan mahasiswa.
Bahkan ramai yang memegang tampuk kepimpinan negara hari ini
datangnya dari gerakan mahasiswa. Merasakan mahasiswa dan gelombang
kebangkitan mereka mampu menggugat dan mencabar kerajaan pemerintah,
maka satu undang-undang digubal untuk mengawal dan menyekat pengaruh
mahasiswa , dan itulah AUKU yang ada pada hari ini.
Universiti yang sepatutnya menjadi pusat pembiakan dan percambahan
pemikiran telah terjejas teruk dan telah lari dari matlamat asalnya.
Para ahli akademik dibisukan dan dijahit mulut mereka dari menjalankan
tanggungjawab mereka. Kesan AUKU bukan sahaja dirasai oleh para
mahasiswa bahkan keseluruhan warga universiti turut sama terjejas. Para
ahli akademik dihilangkan taringnya.
Mana ‘speakers corner’? Mana demonstrasi mahasiswa? Semuanya hilang
ditelan waktu. Para mahasiswa telah menjalani proses indoktinisasi
terancang dan pembodohan berstruktur oleh pihak universiti dan parti
pemerintah untuk satu jangka waktu yang cukup panjang.
Pemikiran kritis dan perbincangan tentang idea sudah hilang. Bagi
mereka, mahasiswa yang baik dan berjaya ialah apabila dia dapat lulus
dengan cemerlang, tidak melawan dasar universiti dan kerajaan dan
mendapat pekerjaan yang baik. Mahasiswa yang sentiasa mencabar dasar
universiti dan bersikap kritikal terhadap dasar-dasar kerajaan adalah
contoh mahasiswa yang gagal atau terlalu terpengaruh dengan pembangkang.
Mahasiswa adalah sub-set kepada satu kumpulan besar masyarakat.
Setiap isu yang timbul, secara tidak langsung akan memberi kesan kepada
kehidupan mereka. Dan selaku warga terpelajar, mereka sebenarnya
menggalas tanggungjawab yang besar terhadap masyarakat dan negara. Tidak
boleh dinafikan bahawa gerakan mahasiswa adalah agen semak dan imbang
yang cukup berkesan.
Teori dan idea yang ditadah di dewan kuliah hanya berguna sekiranya
berjaya diterjemahkan dalam tindakan. Bak kata Prof Ungku Aziz: “Belajar
sambil mencabar. Pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang. Bangsamu
tidak termaju tanpa pemimpin. Berpengalaman (mencabar) DAN terpelajar”
Hidup Mahasiswa!
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.