MACHANG, 18 Dis: Kefahaman mengenai hudud di antara
pemimpin MCA dan DAP jauh berbeza, di mana MCA sampai ke peringkat
menghina, sebaliknya DAP hanya mempertikai aspek perlembagaan sahaja.
Buktinya Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek baru-baru ini
mendakwa pelabur akan meninggalkan Malaysia dan negara bakal berhadapan
dengan kemusnahan jika hukum hudud dilaksanakan.
Sebaliknya pemimpin DAP terutamanya pengerusinya Karpal Singh sebelum
ini hanya sekadar menganggap hudud bercanggah dengan perlembagaan.
Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata,
berdasar kepada kenyataan presidennya pemimpin MCA secara jelas menghina
hudud.
“Soi Lek mendakwa pelabur akan lari dan negara bakal musnah apabila perundangan hudud dilaksanakan di negara ini.
“Sebaliknya kalau kita lihat kenyataan pemimpin DAP tidak ada yang
menentang sebegitu keras, sebaliknya sekadar menyebut ada percanggahan
di sisi perlembagaan sahaja,” katanya pada satu program di Labok
semalam.
Menurutnya juga wakil kerajaan Kelantan telah mengadakan perjumpaan
dengan pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat yang turut dihadiri Datuk Seri
Anwar Ibrahim dan Karpal Singh membincangkan pelaksanaan hudud di
Kelantan.
Katanya, Kelantan diwakili beliau sendiri, anggota-anggota Exco,
Datuk Takiyuddin Hassan, Dr Muhamed Fadzli Hassan, anggota parlimen
Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof dan Setiausaha Politik Menteri
Besar, Wan Nik Wan Yussof.
Menurutnya pada pertemuan tersebut wakil kerajaan negeri menjelaskan
panjang lebar mengenai perundangan hudud, biar pun ketika itu DAP ada
pendiriannya tersendiri.
Beliau juga menjelaskan kerajaan negeri telah mewujudkan jawatankuasa
teknikal yang dipengerusikan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob
bagi mengkaji kaedah pelaksanaan perundangan tersebut.
Katanya, jawatankuasa seramai 20 orang itu turut menyenaraikan Ketua
Polis Kelantan, Pengarah Jabatan Penjara, ulama dan pakar perundangan
Islam.
Kata beliau penglibatan sama pihak polis dan penjara penting kerana
mereka akan menguatkuasa peraturan di bawah perundangan hudud apabila
seseorang itu didapati bersalah.
Malah Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhamad sebelum ini
menjelaskan pihak-pihak terbabit perlu memberi kerjasama bagi
menguatkuasa perundangan hudud.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.