KOTA BHARU, 18 Dis: Hakim Mahkamah Tinggi Azman
Abdullah menarik diri daripada mengendalikan kes saman fitnah Naib
Presiden PAS, Datuk Husam Musa terhadap blogger Syed Azidi Syed Abdul
Aziz (Kickdefella).
Keputusan menarik diri dibuat dengan mengambil kira beliau mengenali
kakak Syed Azidi dan juga kenal Husam ketika menuntut di Universiti
Malaya.
Keputusan itu dibuat katanya bagi mengelakkan tanggapan yang tidak
sesuai kepada mahkamah, dan lebih baik baginya menarik diri daripada
mendengar kes tersebut.
Sehubungan itu kes berkenaan akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (1), Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.
Pada 19 September lalu Husam memfailkan saman terhadap Syed Azidi
dengan tuntutan ganti rugi sebanyak RM5 juta ekoran penyiaran artikel
berunsur fitnah terhadap plaintif.
Rencana tersebut bertajuk 'Husam telah menipu rakyat dan sahabat’
diterbit pada 27 Januari 2011, kedua, ‘Sebelum kita lupa Normala
Sudirman’ (3 Februari 2011) dan artikel ‘Husam itu pembohong’ (3 Julai
2011).
Pada writ saman juga Husam menuntut Syed Azizi memohon maaf secara
bertulis tanpa syarat, memadam rencana terbabit dalam laman blog
defendan dan mengiklankan permohonan maaf dalam akhbar nasional harian
bahasa Melayu.
Bagaimanapun pada 9 Oktober lalu Syed Azidi memohon Mahkamah Tinggi
memindahkan perbicaraan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Dalam afidavitnya itu beliau mendakwa aspek keselamatan diambil kira
dalam permohonan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Disebut juga beliau kini berada di bawah jagaan pihak polis.
Pada korum hari ini sepatutnya mahkamah mendengar hujahan di atas
permohonan Syed Azidi memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Malaya
di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun disebabkan Hakim Azman menarik diri hujahan peguam defendan ditangguhkan ke 29 Januari hadapan.
Husam diwakili peguam Hisham Fauzi dan Zainal Abidin Mustapha,
manakala Syed Azidi diwakili Dato' Firoz Hussein dan Natasya Amelia Yean
daripada firma Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.