20 Oct 2011

Syarikat kroni Umno dapat projek hospital RM700-RM900 juta

KUALA LUMPUR 20 Okt: Jaminan Perdana menteri untuk melakukan tranformasi dan liberalisasi ekonomi hanya janji kosong apabila syarikat yang mempunyai kaitan dengan Umno terus menerima kontrak bernilai jutaan ringgit.
Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution merujuk penganugerahan tender bagi kontrak pembinaan Hospital wanita dan kanak-kanak kepada syarikat kurang dikenali, Najcom Sdn Bhd dan rakan kongsinya, UEM Group Berhad.
Menurut Saifuddin, pembinaan hospital itu dijangka mencecah kos antara RM700 juta hingga 900 juta yang turut dimasukkan dalam Belanjawan 2012 yang dibentang 7 Oktober lalu.

“Najcom Sdn Bhd sebuah syarikat berasal dari Pulau Pinang itu merupakan kepunyaaan individu yang rapat dan berhubungan dengan Barisan Nasional.
“Projek terbesarnya setakat ini ialah Institut Farmaseutikal Dan Nutraseutikal Malaysia di USM berharga RM80 juta, dianugerahkan pada 2008,” kata Saifuddin dalam satu kenyataan media.
“Selain ini, projek-projek Najcom Sdn Bhd ialah projek yang kebanyakannya kecil berharga di bawah RM10 juta; jarang sekali sebuah syarikat sebegini padan dengan pengalaman dan saiz untuk menjalankan projek nasional berharga hampir RM1 bilion,” kata Saifuddin.
Saifuddin berkata, UEM juga diketahui mempunyai kaitan rapat dengan Umno sejak bertahun-tahun, lantaran itu, adalah meragukan projek mahal berkenaan merupakan inisiatif pembiayaan swasta.
“Tidak ada keraguan kerajaan akan terlibat membiayai kewangan projek berkenaan dengan pelbagai cara- samada melalui jaminan pinjaman kerajaan untuk  syarikat kurang dikenali ini atau penganugerahan aset kerajaan.
“BN telah melakukan kaedah pembiayaan melalui pintu belakang ini dalam banyak projek awam yang diumumkan sejak Datuk Seri Najib Razak mengambil alih pada 2009, termasuk RM55 bilion projek MRT dan pembangunan semula tanah kerajaan di Sungai Buluh dan Sungai Besi oleh entiti swasta,” ujarnya.
Kata Saifuddin, rakyat wajar mengetahui butiran penuh anugerah itu kepada Najcom Sdn Bhd dan Kumpulan UEM Berhad, termasuk kaedah pembiayaan yang  dicadangkan, perbandingan nilai oleh pembida lain dan pertimbangan utama mengenai keupayaan dan pengalaman kewangan Najcom untuk menjalankan projek sebesar itu.
“Negara tidak lagi boleh menampung satu lagi kegagalan projek awam pada masa akan datang yang dibebani dengan hutang yang sangat besar terutama apabila BN hampir mencecah had hutang yang ditetapkan parlimen,” kata Saifuddin
sumber : Keadilan Daily

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.