KOTA BHARU, 20 Okt: Hansard ucapan Tun Abdul Razak di Parlimen pada 12 Oktober 1975 mengenai hak Kelantan ke atas royalti petroleum akan dibawa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa berkata, hansard tersebut sebagai bahan bukti Kelantan layak mendapat royalti 5 peratus.
Ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2012 pada persidangan Dun petang tadi katanya, dokumen tersebut akan diserah pada 10 November ini.
“Almarhum Tun Razak memberitahu royalti minyak adalah menjadi hak kerajaan negeri yang mana perairannya terdapat telaga minyak.
”Kalau Tun Razak yang juga ayahanda kepada Perdana Menteri sekarang berkata demikian, kenapa anak sendiri sanggup mengkhianati pula,” katanya.
Semalam Abdul Latif mencadangkan hansard ucapan Perdana Menteri kedua itu berhubung royalti minyak perlu diserahkan kepada Perdana Menteri sekarang.
Husam berkata, apabila seorang hamba Allah itu meninggalkan dunia, tiga perkara ditinggalkan iaitu amalan sedekah, anak yang soleh dan ilmu yang bermanfaat.
”Oleh itu kita berharap Perdana Menteri sekarang tergolong dalam kategori anak yang soleh,” ujarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah pula melahirkan rasa kesal terhadap Mat Yusof Abdul Ghani (BN-Nenggiri) yang mendakwa peruntukan sebanyak RM72 juta kepada Yayasan Islam Kelantan (Yik) sebagai membazir.
Menurutnya, sebagai seorang Adun yang berilmu tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan sedemikian.
”Ini kerana pendidikan Islam adalah unsur penting bagi pembentukan akhlak seseorang.
“Kerajaan negeri sanggup membuat pelaburan besar semata-mata untuk melahirkan masyarakat yang berilmu, beriman dan beramal soleh,” ujarnya.
Beliau juga berkata, kerajaan negeri bukan bersikap sombong tidak mahu menyerahkan sekolah di kelolaan Yik kepada kerajaan pusat kerana sekolah yang pernah diserah kerajaan BN sebelum ini diubah kurikulumnya.
“Sekolah Menengah Agama Falahiah, Naimlilbanat dan Wataniah sudah diubah kurikulumnya di mana subjek agama dikurangkan,” katanya.
sumber : Harakah Daily
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.