24 Oct 2011

Sedia geran RM15 juta, menteri gelojoh bangunkan Kampung Baru

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) gelojoh untuk meneroka tanah penduduk Kampung Baru apabila menubuhkan satu pasukan interim dengan peruntukan geran berjumlah RM15 juta.
Peguam Zulhazmi Shariff berkata, perjumpaan tertutup diadakan di Putrajaya antara kementerian berkenaan dengan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO), Lembaga Pentadbir Kampung Baru (MAS) serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang terlibat secara langsung dalam pembangunan Kampung Baru.
“Pada sidang media selepas perjumpaan tersebut, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin dengan bangganya memaklumkan bahawa KWPKB akan menubuhkan satu pasukan interim dengan peruntukan geran sebanyak RM15 juta bagi memulakan kerja-kerja awal pembangunan Kampong Baru.

“Kegelojohan amat ketara di pihak Menteri yang tidak sabar-sabar hendak masuk ke Kampong Baru meneroka tanah orang Melayu sedangkan pemilik dan pewaris tanah masih belum mendapat maklumat pembangunan yang bagaimana akan dilakukan oleh Kerajaan.
“Malah pemilik dan pewaris juga tiada pengetahuan tentang cadangan ini,” kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Kementerian hanya mengambil pandangan NGO-NGO yang disebutkan terdahulu iaitu PAKAM (Persatuan Anak-Anak Kampong Baru) dan PPKB (Persatuan Permbangunan Kampong Baru) yang kedua-duanya tiada sebarang lokus untuk mewakili pemilik dan pewaris tanah.
KWPKB, katanya, walaupun sedar Rang Undang Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2011 masih belum diluluskan Dewan Negara dan dipersembahkan Ke Bawah Duli Yang DiPertuan Agong untuk diperkenan dan diwartakan, begitu gelojoh melantik pasukan interim tersebut.
Katanya,  pihaknya juga dimaklumkan sebanyak RM9 juta telah dibelanjakan.
“Bagaimana peruntukkan tersebut digunakan? Siapa yang membelanjakan RM9 juta peruntukkan tersebut? Adakah Kementerian atau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau NGO-NGO tersebut?,” soal beliau.
Pengumuman penubuhan pasukan interim ini juga katanya dengan jelas menunjukkan KWPKB telah mendahului Parlimen dan Yang Dipertuan Agong, sedangkan akta yang mengawal perbadanan masih belum diluluskan.
“Adakah ini cara Kerajaan mentadbir negara? Perundangan masih belum diluluskan dan belum dikuatkuasakan tetapi peruntukkan telah dibuat malah telah pun dibelanjakan? Ini jelas suatu tindakan menghina institusi Parlimen dan institusi Istana malah suatu tindakan yang melanggar perundangan negara,” ujar beliau.
sumber : Keadilan Daily

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.