KUALA LUMPUR, 24 Okt: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mendesak Perdana Menteri dan Kerajaan BN menghormati kebebasan akademik di negara ini yang kini amat tercalar dengan tindakan penggantungan terhadap Profesor Dr Abdul Aziz Bari oleh pihak pentadbiran UIA.
Pengerusi SMM, Ahmad Syukri Abdul Razak berkata, pihaknya amat berharap agar kejadian seperti yang terjadi ke atas Dr Aziz itu tidak akan berulang pada masa akan datang.
Menurutnya, namun dalam hubungan ini SMM amat kesal dengan sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tidak mengeluarkan sebarang kenyataan menyokong prinsip kebebasan akademik.
Katanya, sebaliknya kenyataan Perdana Menteri dilihat senada dengan rektor UIA yang jelas gagal untuk menyokong prinsip kebebasan akademik di negara ini.
"SMM menuntut agar Datuk Seri Najib menyokong prinsip kebebasan akademik dengan tuntutan universal yang termaktub dalam Deklarasi Prinsip Kebebasan Akademik dan Ahli Akademik 1970, Senarai Hak Akademik 2001 dan Kempen Akademik untuk Kebebasan Akademik," katanya pada sidang media di lobi Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.
Rektor UIA, menurut beliau, masih lagi berdegil dan angkuh, apabila penggantungan terhadap Aziz masih belum ditarik balik yang seolah-olah memandang remeh tuntutan mahasiswa yang berdemonstrasi Jumaat lalu.
Katanya, oleh itu, SMM akan menganjurkan satu lagi demonstrasi di UIA Gombak esok bagi menyerahkan memorandum kepada Najib yang akan hadir ke universiti itu untuk merasmikan Debat Piala Perdana Menteri sekitar jam 8.00 malam.
Sehubungan itu SMM menyeru mahasiswa seluruh negara hadir menyertai demonstrasi itu dalam menuntut kebebasan berakademik di negara ini.
"SMM juga akan menganjurkan kempen menuntut kebebasan berakademik melalui roadshow, forum awam, ceramah dan seumpamanya dalam masa yang terdekat ini," katanya.
Turut hadir pada sidang media itu, Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria, Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Safuan Anang, Presiden MPMUM, Syahid Zaini dan beberapa orang kepimpinan SMM lain.
Sebelum itu, Nasir Zakaria berkata, penggantungan Aziz Bari merupakan satu lagi titik hitam sejarah negara yang sekali gus menghitamkan lagi rekod Barisan Nasional memerintah negara kita.
Katanya, penggantungan terhadap Aziz selaku pensyarah kanan UIA yang sudah berkhidmat selama 22 tahun sangat mengejutkan dan menyedihkan warga Malaysia.
"Beliau adalah antara putera terbaik Melayu yang merupakan pakar undang-undang perlembagaan. Adakah hanya kerana memberi pandangan berdasarkan pengalaman akademik dan pengalaman beliau dan beberapa laporan polis sudah cukup untuk menamatkan riwayat akademik beliau," katanya.
Prof Dr Aziz Bari, katanya, terkenal berani dan kontroversi. Beliau bukan sekadar berkongsi ilmu di media perdana, wacana, kelas toturial malah menjangkau kepada media alternatif yang mesra pembangkang.
"Beliau bukan sekadar mengkritik kerajaan tetapi pernah mengkritik kepimpinan pembangkang. Beliau berani dan tegas terhadap pandangan beliau walaupun berdepan cemuhan," ujarnya.
Sebelum itu, Ahmad Syukri dan rakan-rakannya turut menyerahkan memorandum bagi mendesak perlaksanaan kebebasan akademik di negara ini kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah menerusi pegawai khasnya, Shahmi untuk dipanjangkan kepadanya di bangunan Parlimen hari ini.
sumber : Harakah Daily |
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.