Saya seorang rakyat Malaysia bukan beragama Islam. Negara saya sekian lama diperintah sebuah rejim bernama Barisan Nasional yang berideologi etno-nasionalis. Dari kecil, saya dididik supaya menerima sebagai hakikat keadaan masyarakat saya yang majmuk memerlukan pengorbanan daripada semua golongan, lebih-lebih lagi mereka yang datang dari kumpulan minoriti. Sesiapa yang cuba mengubah hakikat ini, saya diberitahu, ialah penderhaka yang ingin merosakkan kemakmuran masyarakat berbilang bangsa dan agama ini.

Namun, tiap kali saya terbangun, saya berhadapan dengan ribuan persoalan. Antaranya, di manakah duit rakyat dibelanjakan semasa saya terkantuk? Kenapa ramai lagi rakan-rakan saya yang tak bersekolah? Sebab apakah pemuda di desa tak kerja? Sementara kelas kapitalis menjadi kaya-raya, apakah nasib ribuan lagi yang papa kedana? Harga barang yang naik, kenapa tidak diikuti gaji yang naik? Mereka yang kelaparan, mengapa tidak diberi makan? Mereka yang sakit, mengapa tidak diberi ubat? Mereka yang tiada tempat tinggal, mengapa masih diusir? Mereka yang ingin bersuara, mengapa masih tidak didengari?

Cukup menyedihkan apabila wacana politik tanahair dikuasai kekeliruan kerana mereka yang menguasai media massa dan saluran-saluran maklumat jugalah mereka yang terus memegang kuasa politik negara saya. Baru sahaja rakyat sedar buat seketika; baru sahaja anak-anak Malaysia turun ke jalan raya, kini kita sekali lagi diseret masuk dunia gelap. Dalam masa beberapa bulan sahaja, saya diberitahu komunis masih ada dalam masyarakat kita dan undang-undang Hudud akan digunapakai sekiranya pemimpin Barisan Nasional hilang kuasa. Apakah saya akan terlena dalam buaian yang dijamin Barisan Nasional lagi?

Jadi, di manakah titik mula kontroversi terkini? Di manakah pula noktah akhir pergelutan antara yang mahukan Hudud dan mereka yang tidak?
Seorang kolumnis dalam akhbar Berita Harian 4 Oktober 2011 menulis, "Kita sudah tentu menyedari bahawa undang-undang hudud ini menjadikan Islam sebagai pusat hentaman pihak pejuang hak asasi seluruh dunia. Bukan kerana buruknya hukuman hudud, tetapi kerana kedangkalan pengetahuan mereka mengenai Islam dan syariatnya."
Tidak dinafikan, saya agak dangkal mengenai Islam. Tetapi, harapan saya sebagai seorang anak bangsa Malaysia adalah supaya kita boleh berubah menjadi sebuah masyarakat yang berasaskan kepercayaan yang sama dalam prinsip-prinsip keadilan dan kebebasan sejagat. Kita harus bersetuju untuk menjadi masyarakat yang lebih berkemanusiaan. Tanpa idealisme sebegitu, apakah makna slogan perubahan yang dilaungkan? Apakah perubahan yang benar-benar diperlukan segera juga?
Adakah mereka yang masih menantikan kebebasan daripada penindasan perlu menunggu lebih lama lagi? PAS boleh buktikan "PAS untuk semua" bukan kata-kata sahaja. Untuk agenda perubahan rakyat berjaya, PAS perlu bersedia melibatkan semua anak Malaysia dalam agendanya. Sama juga dengan DAP, sekaranglah masa untuk menunjukkan retorik yang lebih inklusif supaya sempadan-sempadan palsu yang didirikan Barisan Nasional boleh direntasi.
Kontroversi Hudud muncul kembali pada waktu genting sebelum Pilihanraya Umum ke-13, mengapa? Pastinya, PAS dan DAP kenal taktik Barisan Nasional. Akhbar bahasa Melayu, Cina, dan Inggeris masing-masing mendorong pembaca mereka hilang kepercayaan terhadap Pakatan Rakyat. Penulisan Bahasa Melayu arus perdana cenderung melabel DAP sebagai anti-Islam. Manakala penulisan Bahasa Cina arus perdana melabel PAS sebagai extremis. Justeru, kedua-dua parti berkongsi satu ciri, iaitu mereka bersifat keterlaluan. Sementara mereka berbalah, Barisan Nasional terus bertopengkan 1Malaysia, tanpa perlu menangani percanggahan dan kontradiksi yang wujud dalam gabungan mereka sendiri.

Ancaman dan kekeliruan adalah taktik biasa bagi mereka yang mengamalkan dasar pecah dan perintah. Sesungguhnya, Malaysia kini di ambang perubahan. Tentunya, mereka yang menerajui misi ini juga perlu mencari persetujuan demi mewakili suara rakyat yang sebenar.
Tidak cukup sekadar menolak kebimbangan mereka yang menentang gunapakai Hudud, PAS perlu melibatkan semua dalam pembentukan persetujuan baru. Tidak cukup sekadar mengancam untuk letak jawatan, DAP pula boleh mendekati Hudud secara inklusif supaya tidak, dengan sewenang-wenangnya dicop "dangkal mengenai Islam".
Lebih penting lagi, pejuang perubahan harus kembali memfokuskan perjuangan demokrasi. Kerana di antara Malaysia, Hudud dan saya, perkara yang perlu dijadikan paling asas ialah keadilan dan kebebasan.
*Ng Eng Kiat, aktivis sosial dan hak asasi manusia, kini berkhidmat dengan kerajaan negeri Pulau Pinang.
sumber : Harakah Daily
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.