5 Oct 2011

Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Anwar ketepi hakim Zabidin

(Oleh: Ahmad Fadli)

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail di Mahkamah Persekutuan Putrajaya.

PUTRAJAYA: Seperti dijangka, Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengenepikan Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah daripada terus mendengar kes Fitnah II.

Ia merupakan percubaan terakhir Anwar selepas semua permohonan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan untuk menyingkirkan Zabidin sebelum ini ditolak.
Keputusan Mahkamah Persekutuan itu dibuat Panel yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad.
Dua lagi hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang bersama adalah Hakim Tan Sri James Foong dan Hakim Datuk Abdull Hamid Embong.
Rayuan itu dibuat selepas hakim Mahkamah Rayuan iaitu  Datuk Hassan Lah, Datuk Ahmad Maarof dan Malik Ishak pada 6 Julai lalu menolak permohonan peguam untuk menyingkirkan Zabidin.
Peguam membuat permohonan itu selepas Zabidin bertindak berat sebelah dengan memutuskan saksi utama perbicaraan, Mohd Saiful Bukhari Azlan sebagai saksi berwibawa, sekaligus  membuat keputusan pra-penghakiman dan menghukum Anwar bersalah sebelum mengarahkannya membela diri.
Bagaimanapun Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan Hakim Mahkamah Rayuan, Malik Ishak membuat kenyataan bersifat menyerang dan menghina Anwar, dalam penghakiman bertulisnya.
“Kami bersetuju dan mendapati perenggan 6, 15, 18 dan 75 adalah kenyataan menyerang dan menghina dan ia perlu dipadamkan daripada rekod,” kata Hakim Zulkefli yang membacakan keputusan itu.
Permohonan pertama untuk menyingkirkan Zabidin dibuat pada November lalu apabila Zabidin menolak permohonan peguam untuk mendapatkan borang proforma Hospital Kuala Lumpur, yang diisi pengadu Mohd saiful Bukhari Azlan.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 14 Januari lalu menolak rayuan tersebut.
Permohonan kedua dibuat pada 8 Februari lalu apabila Zabidin tidak memberikan amaran kepada akhbar milik Umno, Utusan Malaysia atas dakwaan menghina mahkamah, namun turut ditolak mahkamah.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=21358

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.