5 Oct 2011

GMI desak usul mansuh ISA dibentang sebelum parlimen bubar

(Oleh: Sidiqin Omar) KUALA LUMPUR: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mendesak kerajaan membentangkan usul memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada sesi Dewan Rakyat kali ini, sebelum parlimen dibubarkan.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, selain ISA, kerajaan juga perlu memansuhkan terus undang-undang zalim seperti Ordinan Darurat (EO) dan Akta Dadah Berbahaya (DDA).
“Kami menuntut  kerajaan untuk tidak menggubal akta baru yang mempunyai ciri-ciri yang bercanggah dengan prinsip keadilan dah hak asasi manusia seperti tahan tanpa bicara, tiada semakan mahkamah kuasa yang melampau.
“Semua mangsa ISA perlu dibayar pampasan setara dengan penyeksaan dan pengalaman pahit yang telah dilalui tahanan dan pemuka yang terlibat menyeksa dan menganiaya tahanan ISA mesti dibawa kemuka pengadilan,” kata Syed Ibrahim ketika sidang media di lobi parlimen hari ini.
Memorandum berhubung perkara itu kemudian diserahkan kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mewakili Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar
Ibrahim.
Turut hadir pada sidang media ialah isteri bekas tahanan ISA, Saari Sungib, Haliza Jaafar, wakil Suara Rakyat Malaysia (Suaram)  Nalini Elumalai dan jurucakap Lawyer For Liberty, Fadiah Nadwa Fikri.
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata pengumuman kerajaan mewujudkan akta baru menggantikan ISA tidak bermakna sekiranya asas yang sama digunakan.
Ini kerana katanya, tanpa semakan mahkamah dan tahanan tanpa bicara, ia bercanggah dengan kebebasan hak asasi manusia serta prinsip keadilan.
“GMI terkejut apabila mengetahui kerajaan gagal menjalankan kajian yang munasabah dan rundingan dengan pihak berkepentingan sebelum pengumuman pemansuhan.
Bukan kah pengumuman dan janji pertama Perdana menteri tentang ISA ini dilakukan pada 3 April, lebih dua tahun lalu,” kata Syed Ibrahim yang menambah kerajaan perlu patuh kepada konvensyen antarabangsa.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Jeyakumar yang turut berada di sidang media itu berkata, beliau akan terus memakai lencana anti-ISA sehingga undang-undang zalim tersebut dimansuh sepenuhnya.
“Saya sendiri jadi mangsa. Ada jenis kesalahan yang boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan. Jangan jadikan ini (usul pemansuhan Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri) sebagai proses yang disalahguna.
“Jika tidak ia hanya gimik politik,” tegasnya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=21360

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.