KUALA LUMPUR, 5 OKT – Pakatan Rakyat akan melaksanakan sistem gaji minima, iaitu gaji dasar yang dikuatkuasakan mengikut undang-undang untuk memastikan semua pekerja di peringkat terendah mendapat gaji berperikemanusiaan.
Sehubungan dengan itu, pekerja-pekerja lain akan turut menikmati peningkatan gaji melalui pelaksanaan sistem gaji minima.
Dalam cadangan Belanjawant Kesejahteraan 2012, Pakatan Rakyat menyedari masalah yang ditimbulkan oleh kerajaan Barisan Nasional di mana gaji di Malaysia sekarang adalah rendah.
Kumpulan terbawah, iaitu meliputi 40 peratus keluarga hanya menikmati pendapatan purata RM1,500 sebulan dan gaji rendah ini telah menyebabkan:
* Bekalan yang banyak untuk tenaga kerja asing tidak terlatih;
* Kekurangan tenaga kerja terlatih; dan
* Penghalang kepada syarikat swasta untuk meningkatkan produktiviti.
Selain itu, Pakatan Rakyat akan memperuntukkan RM2 bilion untuk sebuah Tabung Pemudahan (Facilitation Fund) untuk membantu usahawan, pengusaha industri kecil dan sederhana (SME) dan firma-firma kecil untuk memperbaharui peralatan, menjentera dan merubah operasi mereka untuk mewujudkan pekerjaan-pekerjaan baru.
Sebanyak RM1.6 bilion akan disalurkan untuk memperluas latihan teknikal dan vokasional untuk mempertingkat kepakaran tenaga kerja.
Sejumlah 10,000 orang guru akan dilatih dan RM200 juta akan diperuntukkan untuk mengatasi kekurangan guru-guru bahasa Cina, Inggeris, Tamil dan guru-guru agama, serta RM200 juta akan diberikan dengan serta merta untuk memperbaiki bangunan-bangunan sekolah terutamanya SRJK (C), Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan SRJK (T).
Pakatan Rakyat akan memperuntukkan sejumlah RM220 billion untuk belanjawan 2012, namun akan memastikan dana tersebut dibelanjakan secara berhemah, bertanggungjawab dan berkesan.
Pakatan Rakyat yakin defisit dapat dikurangkan kepada 4.4% dari KDNK berbanding 6% pada tahun 2011. Perbezaan itu bersamaan dengan RM14 billion.
Pendapatan boleh ditingkatkan tanpa membebankan rakyat dengan memastikan konsesi kerajaan dan permit tidak disalah guna dan disalurkan dengan betul.
“Sebagai contoh, kita akan memperolehi pendapatan lebihan sekitar RM1.2 billion sekiranya berjaya menaikkan harga Permit Import (AP),” kata satu kenyataan Pakatan Rakyat mengenai Belanjawan Kesejahteraan 2012.
Pakatan Rakyat akan menumpukan usaha memastikan dana dibelanjakan secara berhemah dengan memastikan tiadanya ketirisan, pembaziran dan ketidakcekapan.
Ini pastinya berjaya meransang lebih dari 20 peratus keuntungan buat rakyat bersamaan dengan jumlah yang sama dibelanjakan.
Sebagai contoh Pakatan Rakyat mampu untuk memperuntukkan RM 4.4 billion untuk:
* Perkukuh pendidikan – keseluruhan guru bakal menikmati elaun khas mengajar sejumlah RM 500 sebagaimana yang dijanjikan Buku Jingga;
* Gaji minima yang memberi keuntungan buat 300,000 penjawat awam dan kenaikan keseluruhan skala gaji penjawat awam;
* Formula dividen yang munasabah akan menggantikan amalan mendesak dividen yang besar jumlahnya dari Petronas. Sungguhpun harga petroleum kini lebih tinggi, dividen untuk 2012 hanya sekitar RM26 billion, lebih rendah berbanding untuk tahun 2011 berjumlah RM 30 billion.
Pakatan Rakyat juga akan membawa masuk suatu era baru dengan melaksanakan reformasi dasar-dasar dan peraturan-peraturan sedia ada untuk mengurangkan kos sara hidup, menggalakkan usahawan kecil dan sederhana (SME) serta pelaburan.
Langkah-langkah utama yang akan dilaksanakan adalah:
* Dasar tender terbuka untuk perolehan kerajaan yang akan memberi ganjaran kepada mereka yang berkebolehan dan bukan mereka yang mempunyai kenalan dalam kerajaan;
* Langkah-langkah sokongan bagi golongan Bumiputera dan mereka yang kurang bernasib baik akan menumpukan perhatian untuk menambah daya saing golongan-golongan ini melalui pendidikan, latihan dan bantuan kewangan;
* Suatu Akta Kontrak Awam Tidak Adil akan digubal untuk mengkaji semula konsesi-konsesi dan perjanjian-perjanjian yang dikenalpasti sebagai tidak adil kepada kepentingan umum;
* Mengembalikan tahap profesionalisme dan kemuliaan perkhidmatan awam agar mampu memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat, dari individu ke peniaga kecil hinggalah ke pelabur besar;
* Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) akan dibebaskan dari gangguan politik dan dibenarkan untuk beroperasi berdasarkan keutamaan perniagaan. Di masa hadapan, hanya GLC dalam sektor strategik sahaja akan dikekalkan;
* Akta Persaingan 2010 akan diperluas ke semua sektor ekonomi, termasuk syarikat telekomunikasi, perkhidmatan televisyen berbayar dan sektor tenaga;
* Monopoli-monopoli berikut (bukan menyeluruh) yang menghakis pendapatan boleh guna rakyat Malaysia dan mengakibatkan kos perniagaan yang tinggi akan distruktur semula pada tahun 2012:
1.Memansuhkan monopoli Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) ke atas import beras. Sebaliknya, lesen import akan diberi melalui proses yang kompetitif, terbuka dan telus;
2. Telekom Malaysia (TM) akan diarah melepaskan genggaman ke atas pasaran “jarak terakhir” (“last mile”) perkhidmatan internet jalur lebar dan fokus kepada perniagaan asas – data dan telefoni – lalu melahirkan pasaran “jarak terakhir” yang tegap dan berdaya saing. Ini akan mengurangkan kos dan menambahkan tahap penembusan internet jalur lebar;
3. Kartel syarikat telekomunikasi akan dihapuskan;
4. Kartel akhbar dan media akan dihapuskan;
5. Kartel perkhidmatan penerbangan akan dihapuskan;
6. Monopoli Astro ke atas perkhidmatan televisyen satelit siar terus berbayar akan dihapuskan;
7. Lesen teksi akan diberi terus kepada para pemandu teksi.- Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.