6 Oct 2011

Keluarga mangsa tembakan Glenmarie mahu polis didakwa

(Oleh: Sidiqin Omar)

KUALA LUMPUR: Ibu kepada tiga remaja yang ditembak mati di Glenmarie, Shah Alam pada November 2010, menuntut kes pembunuhan anak mereka dibuka semula dan anggota polis yang bertanggungjawab dihadapkan ke mahkamah.
Pada sidang media di lobi Parlimen hari ini, keluarga ketiga-tiga mangsa menuntut Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara mengambil tindakan segera selepas hampir setahun kes tersebut berlaku.
“Dah setahun saya tunggu tapi tak ada apa-apa perkembangan. Kenapa anak saya dibunuh sebelum dibuktikan bersalah.

“Saya boleh terima kalau anak saya betul-betul bersalah, tapi jangan dibunuh,” kata Hafizah Rozali, ibu kepada Mohd Shamil Hafiz, 15, salah seorang mangsa tembakan.
Hadir sidang media itu ialah Hamidah Kadir, ibu kepada Hairul Nizam Tuah, 20, dan Noriah Darus, ibu kepada Mohd Hanafi Omar, 22.
Mereka disertai Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena) dan Datuk Johari Abdul (Sungai Petani)
Ketua Polis Selangor  sebelum ini menyatakan suspek ditembak kerana cuba menyerang polis dengan parang dan dikatakan terlibat dalam rompakan stesen minyak dikenali sebagai ‘Geng Minyak’.
Keluarga mangsa pernah menghantar memorandum ke Bukit Aman tahun lalu, namun sehingga kini pihak polis tidak memberikan sebarang jawapan.
Peguam mewakili keluarga mangsa dari pertubuhan Lawyer For Liberty (LFL), Fadiah Nadwa Fikri berkata, bedah siasat mendapati tembakan dilepaskan pada kedudukan 45 darjah di bahagian sisi kepala dan dada mangsa.
Justeru, posisi mangsa lebih rendah dari penembak dengan andaian bahawa mangsa melutut ketika ditembak. Perkara itu turut disahkan pakar patologi dan forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
“Semenjak 2001, kematian akibat tembakan polis meningkat sehingga 17 kali ganda. Tanpa sebarang siasatan, kematian mereka dikatakan akibat penglibatan dengan jenayah.
“Persoalannya, adakah wujud siasatan yang telus dan jelas. Sebab itu, kami menekankan kepentingan penubuhan IPCMC.
“Kami menuntut polis memohon maaf secara terbuka kepada keluarga atas kematian dan menuduh mangsa terlibat dengan jenayah,” tegas Fadiah.
Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang hadir pada sidang media itu menyatakan komitmen untuk membawakan persoalan tersebut ke dalam Dewan Rakyat untuk dibahaskan.
sumber : Keadilan Daily

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.