Komentar Roketkini
6 OKTOBER – Sebagaimana yang dijangkakan, apa sahaja yang lahir dari cetusan minda Pakatan Rakyat atau masyarakat madani, para pemimpin UMNO serta pecacai mereka akan cepat menuduhnya sebagai sesuatu yang jahat dan memudaratkan.Operasi kecam dan serangan mereka tidak berubah sejak zaman Perang Dingin hingga hari ini, seolah-olah mereka lupa bahawa ruang-ruang media alternatif mampu menembusi propaganda murahan mereka.
Justeru, apabila Pakatan Rakyat membentangkan Belanjawan Kesejahteraan Untuk Semua 2012, Utusan Malaysia sebagai lidah rasmi UMNO yang hanya nampak kuman di seberang laut telah menghamburkan kata-kata “Belanjawan pembangkang untuk tarik undi”, “Belanjawan bayangan pembangkang helah kaburi mata rakyat” dan “Bajet bayangan pembangkang sekadar janji populis”.
Seloka lama UMNO-BN
Bagi UMNO dan yang bersekutu dengannya, kaedah memomokkan Pakatan Rakyat sentiasa terbukti berjaya sejak mereka bersekongkol dengan British untuk mencapai kemerdekaan pada 1957.
Lalu, propaganda dalam keadaan di mana semua media massa dikawal oleh UMN) dan Barisan Nasional dicurahkan tanpa memberi ruang untuk kebenaran atau sekurang-kurangnya pandangan berbeza.
Sebelum adanya internet, sebelum adanya jutaan graduan Malaysia khususnya anak-anak muda Melayu (walau pun setelah dibancuh minda dengan propaganda Biro Tata Negara) dan sebelum adanya semangat berani menyoal, propaganda UMNO sering ditelan bulat-bulat.
Yang masih boleh dikatakan berjaya ialah dalam isu agama dan kaum. Namun, dalam isu-isu ekonomi, sosial, kehidupan sehari-harian, kos hidup dan sebagainya, propaganda UMNO sudah mula luntur nilainya.
Dalam isu Belanjawan Pakatan Rakyat, ia ditohmah sebagai janji pilihan raya.
Adakah rakyat dengan mudah akan menerima belanjawan atau dalam bahasa ciptaan UMNO-BN, “bajet”, yang akan dibentangkan oleh Datuk Seri Najib Razak, di Parlimen esok petang sebagai belanjawan yang tidak ada kena-mengena dengan pilihan raya? Belanjawan yang bukan populis? Belanjawan bukan helah politik untuk Najib dan UMNO kekal relevan?
Para pemimpin UMNO-BN dan pecacai mereka termasuk golongan yang bergelar akademik seperti biasa cuba menakutkan rakyat dengan negara bakal bankrap atau muflis jika Belanjawan Pakatan Rakyat diterima.
Bagaimana Pakatan akan dapatkan sumber kewangan
Adakah mereka lupa bahawa rakyat semakin celik dan sedar bahawa bukan sahaja berjuta ringgit, malah berbilion ringgit telah lesap begitu sahaja di bawah pemerintahan UMNO-BN? Wang itu bukan pusaka keluarga mereka, ia adalah wang hasil sumber negara dan kutipan cukai para peniaga dan pelabur dari dalam dan luar negara.
Itulah yang akan menjadi sumber tambahan utama kepada Belanjawan Pakatan Rakyat untuk menjayakan segala janji program pembangunan, kemajuan dan pemulihan semula kos hidup yang semakin meruncing.
Jika ketirisan, kebocoran dan rasuah dapat dikurangkan, kalau pun tidak dibasmikan, penjimatan itu akan menghasilkan dividen anti-penyelewangan yang dapat digunakan untuk rakyat semata-mata.
Negeri-negeri Pakatan Rakyat khususnya Pulau Pinang telah pun melaksanakannya melalui urus tadbir cekap, akauntabel dan telus (CAT) melalui pelbagai cara bersih termasuk tender terbuka yang telah mengelakkan “kos tambahan” yang tidak diperlukan seperti rasuah dan “duit kopi”.
Di Pulau Pinang sahaja, berjuta-juta ringgit diselamatkan. Untuk apa penjimatan ini? Untuk diberikan terus kepada rakyat melalui sumbangan bagi keluarga miskin tegar, warga emas, golongan orang kurang upaya, ibu tunggal, para huffaz dan guru-guru KAFA.
Bayangkan jika penjimatan seperti ini dapat dilakukan di seluruh negara secara menyuluruh; bukan sahaja berjuta, malah berbilion ringgit dapat diselamatkan. Dan oleh kerana keadaan ekonomi dunia masih bermasalah, di samping pengurusan kewangan UMNO-BN telah menyebabkan rakyat dilanda masalah ekonomi rumah tangga, tidak ada salahnya pemberian subsidi kepada rakyat jelata diteruskan buat masa ini.
Kesan daripada penjimatan, dengan urus tadbir bersih, bukan sahaja dapat diagihkan dividen anti-rasuah kepada rakyat yang memerlukan, ia juga bakal melahirkan amalan dan budaya baru di kalangan masyarakat.
Budaya anti-rasuah angkat martabat bangsa
Budaya yang telah diterima baik di Barat dan kini semakin popular di rantau ini, iaitu amalan menolak dan membenci rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Budaya ini pula dapat melahirkan rasa sebenar maruah dan harga diri kerana tidak lagi boleh dibeli dengan wang ringgit. Budaya ini akan melahirkan rasa bertanggungjawab.
Bagi orang Melayu dan Islam pula, inilah amalan yang sebenar yang bakal mengangkat martabat bangsa. Ia bukan soal mencipta slogan atau menjerit ketuanan kaum, atau menghunus keris; ia adalah budaya dan amalan menolak rasuah, sebagaimana orang Melayu dan Islam menolak babi sebagai sesuatu yang haram.
Jika menelan janji BN, bersedia terima padah
Jika mudah menelan janji-janji “bajet” Najib yang hanya menawarkan gula-gula sementara – sama seperti janji mahu memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tapi mahu digantikan dengan DUA akta baru yang mungkin lebih buruk daripada apa yang ada sekarang – ia bererti segala masalah yang dihadapi hari ini akan tetap berterusan.
Sebagaimana istilah yang digunakan oleh lidah rasmi UMNO, Utusan, Najib juga akan menjanjikan “bulan dan bintang” dan jika rakyat mudah tergoda dengan pujuk rayu itu, padahnya akan terpaksa diterima untuk sekurang-kurangnya lima tahun lagi selepas PRU ke-13 yang akan datang ini.
Tidak ada tanda-tanda perubahan ikhlas dan tulen daripada para pemimpin UMNO-BN. Malah, kata-kata “pembaharuan” hanyalah janji-janji yang ditabur sejak dulu, kini hingga sekarang, dan rasanya untuk masa-masa mendatang.
Lupakah rakyat tentang janji Dr Mahathir Mohamad apabila menjadi Perdana Menteri kira-kira 30 tahun lalu untuk melaksanakan amalan Bersih, Cekap dan Amanah? – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.