(Oleh: Ahmad Fadli)
SHAH ALAM: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli menyatakan keyakinannya bahawa pakej-pakej bantuan yang ditawarkan dalam Belanjawan Kesejahteraan Pakatan Rakyat 2012, mampu dilaksanakan.Ini kerana katanya, teras kepada belanjawan berkenaan adalah penjimatan yang dikembalikan semula kepada rakyat melalui strategi mengurangkan defisit negara.
“Kerajaan Pakatan Rakyat bagi komitmen untuk kurangkan defisit. Maka kita tetapkan defisit pada 4.4 peratus sahaja,” kata Rafizi pada Forum Belanjawan Pakatan Rakyat di sebuah hotel di Shah Alam malam tadi.
Membidas kritikan Ahli Parlimen Barisan Nasional yang mengkritik belanjawan tersebut tanpa menelitinya terlebih dahulu, Rafizi berkata ia mampu dilaksanakan berdasarkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM220 bilion sahaja, berbanding belanjawan Barisan Nasional yang dijangka sekitar RM238 bilion.
“Dengan reformasi, dengan tata kelola yang baik kita mampu lakukan pelbagai program (dengan bajet RM220 bilion),” kata Rafizi.
Di antara bantuan yang akan dilaksanakan adalah pemberian RM1000 setahun kepada warga emas dengan pendapatan kurang RM18,000 setahun, bayaran RM1,000 setahun kepada suri rumah dengan pendapatan isirumah kurang RM18,000 setahun, dan menaikkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada RM550 sebulan.
Menurut Rafizi, bantuan-bantuan itu juga mampu dilaksanakan kerana ia hanya menelan belanja tambahan sebanyak RM6.9 bilion setahun berbanding perbelanjaan sedia ada dan ada di antaranya sudah dilaksanakan di Selangor yang ditadbir Pakatan Rakyat.
Bercakap lebih lanjut, Rafizi berkata gaji minima yang akan diperkenalkan juga hanya menelan belanja RM5.9 bilion dan ia mampu dilaksanakan, antaranya menerusi hasil daripada pelelongan permit AP kereta yang dijangka menjana pendapatan tambahan kepada kerajaan sebanyak RM1.2 bilion.
Kerajaan juga , katanya, mampu menjimatkan kerugian kira-kira RM28 bilion akibat ketirisan dan rasuah yang dilakukan secara berleluasa oleh kerajaan Barisan Nasional.
“Dengan tata kelola kita sekat rasuah, kalau kita boleh jimat ketirisan daripada bajet kerajaan, dengan mudah kita dapat jimat RM6 bilion,” kata Rafizi.
Belanjawan Pakatan Rakyat diumumkan kepada rakyat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada satu sidang media di bangunan Parlimen, 4 Oktober lalu.
sumber : Keadilan Daily
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.