16 JANUARI – Selepas saham MAS dibeli oleh Air Asia, kini perkara
yang sama turut berlaku ke atas Proton, satu lagi syarikat yang di
anggap sebagai lambang kemegahan negara – aset negara. Ia telah dibeli
oleh DRB-Hicom milik Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary, jutawan yang lahir
di zaman Tun Mahathir Mohamad.
Isu MAS dan Proton ini saya lihat hampir serupa. Sebagai rakyat
jelata yang tidak pakar dalam bidang ekonomi, saya hanya mampu menilai
keadaan ini dari kaca mata pengguna kepada produk dari dua entiti
syarikat ini.
Pengalaman bersama MAS
Kali pertama saya menggunakan perkhidmatan MAS sekitar tahun 1996.
Mata terpinga-pinga bila kali pertama naik pesawat, macam rusa masuk
kampung. Masa itu MAS beroperasi di Subang. Kualiti layanan,
perkhidmatan dan kemudahan yang diberikan itu saya anggap ia sudah
memadai dan baik sekali, sesuai dengan harganya yang saya anggap cukup
mahal.
Zaman itu saya sedar bahawa MAS sudah diswastakan. Namun apa yang
berlaku selepas penswastaan, mutu perkhidmatan Mas semakin tidak
memuaskan. Tiket murah ‘waiting list’ sudah tidak ada, begitu juga
dengan tambang murah waktu subuh. Bagi kami yang masih belajar ketika
itu, ia menyukarkan kerana pilihan sudah tidak banyak.
Masalah ini diburukkan lagi apabila selalu berlaku kelewatan
penerbangan. Masa ini, perkhidmatan AirAsia baru ditubuhkan dan tidak
begitu popular. Saya pernah tersangkut di lapangan terbang lebih dari
tiga jam sewaktu mahu pergi dan balik. Ini pengalaman saya, bagi orang
lain saya tidak pasti, hanya mendengar rungutan di akhbar-akhabr saja.
Dalam waktu rungutan ini juga, harga tiket MAS semakin mahal. Kami
budak-budak muda, menyumpah-nyumpah MAS, maklumlah masa itu terlalu muda
dan gila-gila. Tetapi marah tetap marah.
Sekitar dua tahun lalu, setelah dua jam pulang dari menghantar isteri
saya ke lapangan terbang, tiba-tiba dia menelefon saya. Sangkakan sudah
sampai ke destinasi, rupa-rupanya masih di lapangan terbang. Malah
lebih membimbangkan dan menaikkan kemarahan ialah isteri memberitahu
saya bahawa kapal sudah tiga kali tidak lepas ketika take off.
Akhirnya mereka semua sedang menunggu kapal lain untuk diganti
setelah 3 kali gagal terbang dan tersangkut selama dua jam lebih di
lapangan terbang.
Saya tidak mahu menyalahkan MAS atau sesiapa secara membuta-tuli,
tetapi saya ingin mempersoalkan bagaimana apabila MAS apabila
diswastakan, mutu perkhidmatan, tahap pengurusan dan penyelenggaraan
pesawat bukan saja tidak kekal atau bertambah baik, sebaliknya semakin
lemah dan buruk.
Ini hakikat berniaga, MAS kenalah terima dengan terbuka dan kerajaan
pula perlu menilai kembali dasar penswastaan yang telah dilaksanakan di
zaman Mahathir.
Asalnya MAS milik kerajaan, diswastakan pada 1985 melalui dasar
penswastaan Mahathir. Ada seorang tokoh korporat diberi hak
mengendalikan MAS tetapi akhirnya kerajaan Malaysia terpaksa membeli
kembali (bail out) dengan duit rakyat. Yang bernama tokoh itu pula hilang entah ke mana tetapi kekal kaya-raya.
Setelah Idris Jala mengambil alih pengurusan, pencapaian dikatakan
baik kerana berjaya mengurangkan kerugian MAS! Setelah Najib menjadikan
Idris Jala menteri, MAS kembali rugi.
Inilah kisah sedih bagaimana harta rakyat yang suatu ketika dulu
menjadi kebanggaan negara kini seperti barang lelongan. Rakyat seperti
kita tidak dapat apa-apa, hatta kualiti perkhidmatan pun.
Persamaan MAS dan Proton
Kali pertama saya belajar kereta adalah menggunakan kereta Proton
Saga. Kereta yang pertama saya miliki adalah model Wira. Tidak
dinafikan, kereta itu lawa dan boleh begerak. Tetapi sebagai pembeli,
pastinya kita menuntut kualiti yang senilai dengan wang untuk baik
pulih, hutang, termasuk faedah ketika membelinya.
Rungutan tentang kereta Proton sama hebatnya dengan geramnya rakyat
terhadap MAS. Tentang Proton, sudah menjadi jenaka lumrah sejak beberapa
dekad – power window sebelah pemandu tidak boleh dibuka, model-model baru dicipta sesuka hati tanpa melihat keperluan pasaran dan sebagainya.
Kesimpulannya, masalah MAS dan Proton adalah sama, ia wujud atas
dasar penswastaan untuk memugar hasil negara demi memuaskan nafsu tamak
segelintir elit politik atau insan elit yang menjadi kroni sang
penguasa.
Masalah kedua-dua syarikat nasional ini ialah kualiti produk dan
perkhidmatan yang tidak memuaskan. Malah, produk dan kualiti itu gagal
menempatkan syarikat negara ini mampu bersaing di peringkat global.
Jika benarlah alasan harta rakyat ini perlu diswastakan untuk
kebaikan rakyat, kegagalan peneraju syarikat rakyat ini dipentas
antarabangsa secara automatiknya juga telah merugikan kita – rakyat.
Yang bertukar tangan itu bukanlah dibeli oleh syarikat luar untuk
memajukan lagi syarikat ini, sebaliknya ia terus diterajui oleh manusia
yang berada dalam lingkaran elit politik itu juga. Harta rakyat
digilir-gilir dan dibahagikan secara pusingan dalam kelompok mereka.
Jadi, bagaimana pula syarikat yang rugi ini akan berubah membawa keuntungan untuk kita?
Alasan dangkalnya hanyalah, syarikat nasional yang ada kepentingan
Melayu mestilah diterajui oleh orang tempatan. Ini samalah dengan
menggunakan wang orang lain untuk membuka perniagaan sendiri (peribadi).
Ini suatu kerja yang gila, tidak masuk akal sama sekali.
Setelah dasar penswastaan Mahathir gagal, adakah penjualan Proton ini
juga dari inisiatif dasar transformasi ekonomi Najib Razak?
Jika ya, kita khuatir bahawa kegagalan lalu akan berulang kembali. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.