Hari Sabtu, jam 9.40 malam. Si anak
bangsawan muncul bersama isterinya dan turun tangga melalui permaidani
merah disusuli sekumpulan artis tempatan. Dalam kalangan artis tersebut
kelihatan seorang tetamu berbaju T-shirt kuning yang tidak
secocok dengan pemakaian para artis dan tetamu pada malam itu. Banyak
yang tidak betul pada malam itu, antaranya wajah orang ramai yang
kelihatan marah kerana menunggu selama satu setengah jam tanpa dilayani
dengan sebarang acara. Program yang sepatutnya bermula pada jam 7
petang bukan sahaja bermula lewat pada jam 8.30 malam, malah juruacara
juga tidak kelihatan sepanjang tempoh masa itu.
Pada ketika saya terlihat baju kuning dicoret dengan perkataan "KILL BILL",
pada ketika itu juga wajah seorang isteri yang sibuk beraksi seperti
artis garang berubah warna kepada merah dan kemudian hijau. Mungkin
kerana suasana sambutan perayaan Tahun Baru Cina sedang rancak dirasai,
wajah yang berubah-ubah warna kegarangannya tidak menjejaskan sedikit
pun mood orang ramai untuk melihat artis popular tempatan
secara dekat. Sarjana sains politik gemar menggelar senario sedemikian
sebagai tidak relevan. Kerana tidak relevan, rupa wajah apa sekali pun
tidak diendahkan langsung.Cukup dekat jarak antara orang ramai dengan artis dan tetamu. Sementara orang ramai sibuk berjabat tangan dengan artis popular tempatan, saya sempat menangkap gambar salah seorang pengarah filem dalam siri filem "15Malaysia", Ho Yuhang (gambar kanan). Beliaulah yang memakai baju T-shirt kuning dengan coretan perkataan "KILL BILL" yang mempunyai konotasi "BERSIH 2.0" yang menuntut pembaharuan sistem pilihan raya dan anti Rang Undang-Undang Perhimpunan yang melembukan hak berhimpun orang ramai, termasuk hak warga Malaysia dalam isu yang membabitkan kepentingan kehidupan harian seperti pembeli rumah yang berdepan dengan projek terbengkalai.
Selain bermaksud "kill the bill" yang merujuk kepada Akta Perhimpunan Aman 2011, "KILL BILL" juga merupakan sebuah filem Quentin Tarantino. Apa yang lebih menarik pada malam si isteri anak bangsawan cuba merasai keseronokan glamor melalui permaidani merah adalah, setelah para artis dan tetamu berada dalam pentas bersedia untuk menangkap gambar, baju kuning menjadi tarikan, bukan wajah garang yang berubah-ubah warnanya.
Seperti yang saya ungkapkan pada permulaan artikel ini, banyak yang tidak betul pada malam itu. Semua ni bermula dengan kemunculan si anak bangsawan dan isterinya. Kalau artis tempatan mempunyai pemahaman terhadap sentimen orang kota dan membatalkan jemputan kepada si anak bangsawan, maka bukan sahaja isterinya tidak berpeluang muncul bersama dan merasai glamor melalui permaidani merah, malah kemuculan baju kuning juga tidak mengundang perhatian. Dengan kata lain, tumpuan adalah terhadap filem baharu, pengarah dan artisnya.
Kini segala yang tidak betul mengambil tempat. Dalam dunia Facebook saya terbaca catatan halaman orang lain yang mempunyai persepsi negatif terhadap kemunculan si anak bangsawan dan isterinya. Ada yang telah membuat keputusan memboikot filem baharu ini. Ada yang menyeru supaya orang ramai bersama-sama memboikot filem baharu ini. Tindakan memboikot dicadangkan ekoran kemunculan si anak bangsawan dan isterinya yang tidak digemari orang ramai.
Dunia hiburan berlainan dengan dunia politik. Kalau dunia politik dapat memaksa pelajar sekolah dan kakitangan awam untuk memenuhi tempat program kerajaan yang akan dilancarkan oleh si anak bangsawan atau isterinya, dunia hiburan tidak dapat menundukkan penonton dengan kehadiran ahli politik. Hanya artis yang naif yang percayakan kemunculan si anak bangsawan dan isterinya dapat melariskan filem tempatan.
Nasib baik Tahun Baru Cina bakal tiba. Ramai yang akan mengunjungi pawagam. Ramai juga yang akan menonton filem baharu ini. Bukan kerana terharu dengan kemunculan si anak bangsawan dan isternya, tetapi sebagai salah satu pilihan program semasa menyambut perayaan Tahun Baru Cina. Sebaliknya, kalau artis dapat memahami sentimen masyarakat dan mencegah kemunculan si anak bangsawan bersama isterinya, pasti belia Tionghua yang sibuk dengan persediaan menyambut perayaan Tahun Baru Cina tidak akan menggunakan masanya untuk menulis dalam halaman Facebook menyeru orang ramai memboikot filem baharu ini. Kita menyokong filem tempatan. Tetapi kita menolak artis yang naif sehingga mempercayai kemunculan si anak bangsawan dan isterinya dapat memeriahkan program pelancaran.
Nasib baik juga hanya segelintir artis tempatan yang naif terhadap sentimen masyarakat. Pengarah salah satu filem 15Malaysia, Ho Yuhang tidak tergolong dalam kategori naif politik, malah beliau memakai baju kuning yang mempunyai konotasi civil disobedience apabila berpakaian sedemikian menghadiri program yang dihadiri si anak bangsawan dan isterinya.
Civil disobedience merupakan manifestasi hak seorang warganegara apabila berdepan dengan kuasa establishment. Hak ini tidak dimonopoli dunia politik. Sesiapa sahaja yang hidup dalam dunia realiti dan merasakan kepentingannya bakal terjejas ekoran hak asasi manusia dilembukan secara sesuka hati (dalam erti kata percaturan politik) boleh menyuarakan ketidakpuasannya biarpun tindakan tertentu diambil secara seorang diri.
Saya pasti, melainkan segelintir artis yang naif, para bijaksana dalam dunia hiburan dan dunia perfileman pasti setuju, dunia kerjaya dan kehidupan mereka juga bertapak dalam realiti, malahan bidang kesenian sewajarnya memberikan kuasa imaginasi yang lebih bertenaga kepada seniman, budayawan dan artis untuk memahami dunia nyata, dan juga melakukan eksperimen kesenian untuk melakukan perubahan.
Ho Yuhang bukan orang pertama yang melakukan tindakan sedemikian. Yang cukup dekat dalam hati sanubari kita ialah Pak Samad Said (gambar kanan) yang dihormati secara ikhlas kedudukannya sebagai kedua-dua sasterawan negara dan sasterawan rakyat. Semasa gerakan BERSIH 2.0, seorang artis tempatan yang menghadirkan diri dalam perhimpunan pada 9 Julai 2011 telah menulis untuk berkongsi pengalaman dan pemikirannya. Penulisan artis bernama Miao Miao yang dipaparkan dalam edisi bahasa Cina Malaysiakini pada tanggal 22 Julai 211. Tajuknya "Saya seorang artis, saya juga seorang warga Malaysia", jelas menunjukkan bagaimana seorang artis memikirkan keadaan diri melalui pengalaman kehidupan dalam dunia nyata dan bagaimana semangat zaman juga dihayati oleh golongan artis.
Sehari selepas peristiwa pada malam 14 Januari 2012, saya mengikuti perkembangan dunia Facebook berkaitan dan mendapati ramai artis, termasuk pencipta lagu dan penulis lirik yang memberi hormat kepada tindakan Ho Yuhang memakai baju kuning "Kill Bill" di depan si anak bangsawan dan isterinya. Apabila gelombang perubahan menyelubungi bumi Malaysia, dunia hiburan dan kesenian juga terasa dengan impaknya dan mula mengaitkan perubahan dengan semangat kesenian.
*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.