Saya memandang serius kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif NFC, Wan
Shahinur Izmir Salleh (yang juga anak kepada Shahrizat Jalil) bahawa
operasi NFC berjalan seperti biasa walaupun kerajaan mengarahkan agar
aset NFC dibekukan, yang dikeluarkan semalam.
Kenyataan itu
menimbulkan persoalan apakah Najib Razak hanya membuat kenyataan kosong
tanpa memberikan arahan khusus, atau NFC mengingkari arahan yang
dikeluarkan oleh kerajaan?
KEADILAN konsisten mendesak supaya aset NFC dibekukan dan pentadbir korporat (corporate administrator)
dilantik untuk mengambil alih pengurusan NFC dan melakukan audit penuh
bagi membongkar kesemua penyelewengan yang telah berlaku.
Tindakan "membekukan aset NFC" sepatutnya bermakna:
1.
Sebarang perbelanjaan selain dari membayar gaji pekerja-pekerja yang
bertugas dalam operasi penternakan lembu (seperti yang dimandatkan di
dalam perjanjian pembiayaan oleh kerajaan) perlu dibekukan;
2.
Pengurusan sedia ada yang terdiri dari kaum keluarga Shahrizat Jalil
tidak dibenarkan membuat sebarang keputusan bersabit operasi, kewangan,
sumber manusia dan keputusan-keputusan penting lain;
3. Sebarang
pemindahan wang keluar dari NFC, termasuk pembayaran gaji dan
perbelanjaan syarikat-syarikat lain yang dimiliki oleh keluarga
Shahrizat Jalil perlu dihentikan serta-merta; dan
4. Sebarang
keputusan mengenai aset atau struktur syarikat dan pelaburan tidak
dibenarkan dibuat bagi mengelakkan pemindahan aset.
Secara
lazimnya dalam amalan korporat yang berdasarkan tata kelola yang baik,
apabila seseorang disiasat akibat tuduhan pecah amanah, beliau tidak
dibenarkan masuk ke pejabat dan digantung serta-merta bagi mengelakkan
cubaan menghapuskan bukti.
Kenyataan NFC yang menunjukkan kaum
keluarga Shahrizat Jalil masih bebas menggunakan wang dan menguruskan
operasi NFC membawa risiko besar yang menjejaskan bukti dan rekod
kewangan NFC.
Oleh yang demikian, KEADILAN mengulangi desakan
supaya Najib Razak bertindak lebih berani dengan menggantung penglibatan
kaum keluarga Shahrizat Jalil di dalam operasi NFC dan melantik
pentadbir korporat (corporate administrator) untuk mengambil alih pengurusan dengan mandat membongkar semua penyelewengan yang telah berlaku.
Sekiranya
ini tidak berlaku, KEADILAN tidak ada pilihan kecuali terus
membongkarkan pelbagai penyelewengan yang ada di dalam rekod kami untuk
meningkatkan tekanan politik terhadap Najib Razak untuk bertindak dengan
telus dan tidak berdolak dalih.
Petang esok (17 Januari 2012,
jam 2 petang di Balai Polis Dang Wangi), aktivis KEADILAN diketuai Fariz
Musa, ahli Majlis Pimpinan Pusat akan membuat satu lagi laporan polis
mengenai perbelanjaan kad kredit oleh keluarga Sharizat Jalil dalam
tahun 2009 yang melampaui batas.
Penelitian KEADILAN menunjukkan
bahawa dalam tahun 2009, perbelanjaan kad kredit oleh kaum keluarga Seri
Shahrizat Jalil mencecah RM593,500 yang dibiayai sepenuhnya oleh wang
rakyat melalui NFC seperti berikut:
JUMLAH SETAHUN PURATA SEBULAN
Mohamad Salleh Ismail RM182,525 RM15,210
Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh RM160,673 RM13,389
Wan Izzana Fatimah Mohamad Salleh RM127,900 RM10,658
Wan Shahinur Izmir Mohamad Salleh RM122,402 RM10,200
Pendedahan
sebegini akan diteruskan sehinggalah Najib Razak mengambil tindakan
yang melambangkan beliau dan rakan-rakan kabinet beliau menerima
sepenuhnya pertanggungjawaban ke atas penyelewengan yang berlaku di
dalam NFC.
*Kenyataan media oleh Rafizi Ramli (gambar kanan) selaku Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.