SIBU, 16 JAN – Bila, siapa, bagaimana, di mana dan apa aset National
Feedlot Corporation (NFC) yang dibekukan dan berapakah nilai aset
tersebut?
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mahu Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak menjawab semua persoalan itu tanpa cuba memperlekehkan minda
rakyat Malaysia yang marah dengan penyalahgunaan kuasa dalam skandal
“duit lembu beli kondo” tersebut.
Katanya rakyat Malaysia marah apabila setelah lebih enam bulan
dibongkarkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010, tiada apa-apa
dilakukan oleh anggota Kabinet mahu pun NFC sendiri.
“Apakah maksud dan tujuan untuk ‘pembekuan sementara’ aset NFC setelah enam bulan dibongkarkan?
“Sekurang-kurangnya rakyat Malaysia mengharapkan ‘pembekuan
sementara’ bermaksud aset NFC akan dipotong dua pertiga dari gaji
bulanan pengerusi, pengarah eksekutif, ketua pegawai eksekutif dan
pengarah-pengarah lain NFCorp daripada jumlah gaji bulanan sebanyak
RM215, 000 kepada kira-kira RM71,000,” katanya dalam satu kenyataan hari
ini.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur mahu perkara itu
dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet minggu ini supaya rakyat dapat
melihat sendiri sama ada kerajaan Barisan Nasional berani
bertanggungjawab dengan penyelewengan wang rakyat itu.
“Menteri manakah yang berani membangkitkan perkara ini?” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Pengarah Eksekutif NFCorp Wan Shahinur
Izmir Salleh, yang juga anak kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga
dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang dipetik sebagai
berkata bahawa pelanggan, pekerja dan pembekal tidak perlu risau kerana
operasi syarikat akan terus berjalan walaupun aset dibekukan.
Jelas Kit Siang, pengumuman berkenaan menimbulkan lagi banyak
persoalan dan kritikan oleh rakyat Malaysia sama ada ‘pembekuan
sementara’ hanyalah silap mata untuk memuaskan hati rakyat dan
mengurangkan kebencian terhadap UMNO-BN. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.