GOMBAK, 7 Dis: Pendakwah terkenal, Datuk Ustaz Ismail Kamus dikatakan telah meninggal dunia, malah sehingga kini sudah tiga kali mati jika berdasarkan fitnah yang disebarkan oleh pihak-pihak tertentu di negara ini.
Khabar angin seperti itu bertiup kencang di tengah masyarakat, malah diakui turut didengar sendiri oleh tokoh tersebut tetapi hanya disambutnya dengan senyum.
Menurut Datuk Ustaz Ismail Kamus (gambar), kali pertama khabar angin seperti itu bertiup di tengah masyarakat berlaku sekitar 12 tahun lalu, manakala yang kedua sekitar 5 tahun lalu.
Katanya, sesudah itu, beliau menyangkakan fitnah seperti itu tidak akan berlaku lagi ke atasnya, tetapi sangkaannya itu ternyata meleset apabila ia kembali berulang untuk kali ketiga terutama ketika beliau berada di Mekah untuk mengerjakan ibadat haji tahun lalu.
"Saya hairan macam mana mereka boleh sebarkan fitnah seperti itu ke atas saya, sedangkan saya sebenarnya masih hidup," katanya ketika ditemui Harakahdaily di pusat perubatannya, Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia, di sini, hari ini.
Fitnah tersebut, menurut beliau, agak sukar untuk diterjemahkan mesejnya kerana ia mungkin berpunca dari keinginan pihak terbabit supaya beliau segera meninggal dunia atau sebaliknya.
"Saya sebenarnya tak pun berasa sedih dengan fitnah itu. Lagipun kalau mereka tak kata saya dah meninggal dunia pun, saya pasti akan mati juga apabila tiba masanya nanti," ujarnya.
Beliau bagaimanapun berharap agar pihak-pihak terbabit tidak lagi menyebarkan fitnah seperti itu terhadap beliau selepas ini bagi mengelakkan salah faham di dalam masyarakat, di samping mengelakkan dosa kerana menyebarkan fitnah.
Tokoh agama yang disegani itu bagaimanapun mengakui beliau kurang sihat sejak 6 bulan lalu kerana mengalami sakit buah pinggang, darah tinggi dan kencing manis.
Ekoran masalah kesihatannya itu, aktiviti beliau dalam kemasyarakatan dan agama turut terbatas sejak hampir setahun lalu, tetapi kini mulai aktif kembali setelah kesihatannya bertambah baik.
Sejajar dengan sumbangannya yang besar dalam aktiviti dakwah dan kemasyarakatan, beliau terpilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1433 Hijrah Negeri Selangor sempena sambutan Maal Hijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam pada 26 November lalu.
(gambar kanan: Beliau bersama pembantunya, Ustaz Zaki Zulkifli)
Beliau menerima wang tunai RM10,000 sumbangan Kerajaan Negeri Selangor dan Lembaga Zakat Selangor (LZS), sijil penghargaan, midal Maal Hijrah, sepersalinan pakaian dan pakej menunaikan umrah yang disampaikan oleh Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah yang mewakili Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
"Sebelum anugerah itu disampaikan, saya sudah dengar 'angin' mengenainya, tetapi saya memang terkejut juga dengan pemilihan ke atas saya sebagai Tokoh Maal Hijrah itu.
"Selain itu, saya juga berasa gembira, bersyukur dan terharu dengan anugerah tersebut yang jelas merupakan satu penghargaan daripada kerajaan negeri dan pihak-pihak berkenaan ke atas saya," katanya.
Ekoran kesihatannya yang kurang baik, beliau kini mengambil keputusan untuk tidak bergiat aktif dalam politik bersama-sama para pemimpin PAS, melainkan memberikan sumbangan sekadarnya untuk parti setakat yang terdaya.
"Tetapi saya tetap mengikuti perkembangan yang berlaku. Bagi saya, PAS sememangnya mempunyai harapan yang cerah untuk menang dalam Pilihanraya Umum (PRU) Ke-13 nanti.
"Saya berharap agar para penyokong PAS terutama generasi muda mengambil manfaat yang sebaiknya dari perkembangan baik yang dialami oleh PAS sekarang bersama-sama para pemimpin PAS di semua peringkat, bagi membolehkan PAS mencapai kejayaan besar bukan sahaja di negeri-negeri tetapi juga di peringkat nasional," tambahnya.
Sebagai tokoh agama dan aktivis masyarakat, kini beliau banyak menghabiskan masanya dengan memberikan sumbangan kepada orang ramai di pusat perubatannya bersama para pembantunya.
"Jika ada jemputan daripada orang ramai untuk berubat di rumah mereka, khususnya bagi kes-kes kronik, saya dan rakan-rakan yang juga pembantu saya akan turut pergi ke rumah mereka bagi membantu sekadar terdaya," ujar beliau.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.