KOTA BHARU, 7 Dis: Mampukah Umno mempertahankan kuasa yang ada sekarang dengan kederat tiga juta ahli. Jawapannya mungkin tidak.
Alasannya segala gerak kerja Umno untuk mempertahankan kuasa sejak merdeka sehingga sekarang bergantung sepenuhnya kepada jabatan dan agensi-agensi kerajaan.
Kebimbangan itulah yang dirasakan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini apabila cuba membayangkan tahkala Umno hilang segala-galanya tanpa kuasa politik.
Buktinya ada di Kelantan sejak 21 tahun lalu. Umno hanya bergantung kepada agensi kerajaan pusat terutamanya Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), Kesedar, Kemas, Jasa, Risda, Kada dan banyak lagi.
Setiap kali menjelang pilihan raya agensi-agensi terbabit lebih awal keluar masuk kampung sebelum jentera kempen Umno tiba.
Di Kelantan situasi itu berlaku di mana-mana termasuk pada pilihan raya kecil Manek Urai dan Galas.
Ditemui banyak kes pejabat kerajaan dijadikan tempat jentera Umno beroperasi. Pada pilihan raya kecil Manek Urai ada pejabat agensi pusat dijadikan tempat membayar wang tambang kepada pengundi.
Bekas pegawai kanan kerajaan yang enggan dikenali berkata, tidak hairanlah pendaftaran pemilih baru juga dilakukan agensi-agensi kerajaan bagi pihak Umno.
Misalnya bagi suku ketiga tahun ini Kemas, Jasa dan beberapa agensi lain berjaya mendaftar ramai pengundi baru.
”Penglibatan agensi-agensi terbabit bagi mendaftar pengundi baru mungkin lebih mendapat keistimewaan berbanding pendaftaran dilakukan wakil parti politik terutamanya Pakatan Rakyat.
”Ini kerana ada kes pendaftaran dibuat melalui agen lantikan wakil Pakatan Rakyat tidak disenaraikan pada daftar pemilih tambahan sehingga terpaksa pendaftaran dilakukan beberapa kali,” katanya di sini.
Persoalan juga timbul mengapa agensi terbabit bekerja bagi pihak Umno. Jawapannya ahli dan penyokong Umno dilonggok di Kemas, Jasa dan beberapa lagi agensi, sebagai kakitangan kerajaan.
Ada juga bekas penyokong Pakatan yang melompat parti diberi jawatan di Jasa atau Kemas dan mendapat upah bulanan.
”Merekalah yang bekerja untuk mendaftar pengundi-pengundi baru. Gerak kerja mereka lebih mudah kerana atas statusnya sebagai kakitangan awam.
”Maka tidak hairalah lebih ramai pengundi muda mudah didekati mereka. Inilah sebenarnya cabaran kepada jentera Pakatan bagi mempertingkat gerak kerja mendaftar pemilih baru,” ujar bekas pegawai kerajaan terbabit.
Jelaslah Umno dan BN berselindung di sebalik agensi kerajaan pusat bagi memastikan hegemoni kuasa terus dipertahankan.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.