KOTA BHARU, 7 Dis: Kekeliruan di kalangan pemimpin kompenan Barisan Nasional (BN) terhadap perundangan Islam disifatkan ada hubung kait dengan Umno apabila gagal berperanan menjelaskan kedudukan sebenar.
Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, biar pun Umno sudah lama bersama kompenan-kompenan lain dalam BN, namun kefahaman mengenai undang-undang Islam tidak dijelaskan.
“Sekiranya peranan itu dimainkan Umno sejak dahulu kami rasa pemimpin MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tidak akan mengeluarkan kenyataan seperti sekarang.
“Namun malangnya peranan seperti itu mungkin tidak menjadi keutamaan kepada Umno, malah dalam banyak keadaan pemimpin Umno juga tidak menerima perundangan Islam,” katanya di sini.
Baru-baru ini Chua Soi Lek ketika berucap pada forum ‘Hudud dan kesannya ke atas masyarakat non muslim’ mendakwa sistem perundangan hudud tidak adil kepada semua pihak dan boleh menakutkan pelabur.
Dr Mohamed Fadzli berkata, berlainan dengan kompenan dalam Pakatan Rakyat, biar pun baru dibentuk namun mereka cuba memahami mengenai perundangan Islam.
Oleh itu beliau mendesak Soi Lek memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam kerana menyentuh sensitiviti agama Islam.
Menurutnya juga pemimpin MCA dan kompenan lain BN tentunya tidak lantang mengkritik perundangan Islam sekiranya Umno menjelaskan mengenai kelebihan hukum hudud.
“Sepatutnya Umno sama-sama mempertahankan hudud, bukan seperti apa yang berlaku sekarang membiarkan pemimpin MCA mempermain-mainkan agama Islam,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.