Maklum balas Najib Razak terhadap kajian Indeks Persepsi Rasuah yang dijalankan Transparency International 2011 (TI CPI 2011) amat mengejutkan rakyat kerana kerajaan Barisan Nasional langsung tidak mempedulikan masalah rasuah negara.
Mengikut kajian tersebut, persepsi masyarakat terhadap situasi rasuah dalam negara telah mencapai tahap paling rendah dalam sejarah negara semasa 32 bulan pemerintahan Najib sebagai Perdana Menteri.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang (gambar kiri) berkata, kad laporan rasuah paling buruk dalam sejarah negara diberikan pada waktu yang sama Najib memberi ucapan dasar dalam perhimpunan agung parti tersebut baru-baru ini.
Katanya, Najib sebagai Presiden UMNO dan para perwakilan parti itu langsung tidak mengendahkannya meski pun laporan TI itu seperti "seekor gajah dalam bilik" yang terang lagi bersuluh.
Malahan, tiada pun seorang perwakilan pun yang menyatakan kegusaran terhadap rasuah secara umum atau pun membangkitkan laporan TI CPI 2011 secara khusus.
Menurut laporan tersebut, setelah 17 tahun kajian tersebut dijalankan, tahun 2011 ini merupakan ranking tahunan paling rendah pernah diperolehi negara. Pada tahun 1995, Malaysia berada di kedudukan nombor 23 dunia, dan pada tahun 2011, kita menduduki tangga nombor 60.
Pada tahun 1995 Malaysia mendapat penilaian sebanyak 5.38 dan pada tahun 2011, mata penilaian Malaysia hanyalah 4.3.
Menurut Kit Siang, para perwakilan UMNO tidak mahu melihat atau mengendahkan "gajah dalam bilik" yang sungguh besar itu sepanjang minggu meskipun masalah rasuah lebih serius pada era Najib berbanding lima tahun kepimpinan Abdullah Badawi dan 22 tahun di bawah Mahathir Mohamad.
Kedudukan dan markah TI CPI Malaysia seperti berikut (10 (sangat bersih), 0 (sangat rasuah)):
Tahun Kedudukan CPI Mata CPI
1995 23 5.28
1996 26 5.32
1997 32 5.01
1998 29 5.3
1999 32 5.1
2000 36 4.8
2001 36 5.0
2002 33 4.9
2003 37 5.2
2004 39 5.0
2005 39 5.1
2006 44 5.0
2007 43 5.1
2008 47 5.1
2009 56 4.5
2010 56 4.4
2011 60 4.3
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, laporan TI CPI itu mendedahkan penghinaan yang amat besar kepada negara dan rakyat Malaysia mengharapkan respons yang jelas dan menyeluruh daripada Perdana Menteri dan Kabinetnya.
"Rakyat harus mengetahui daripada Perdana Menteri mengapa meski pun Badan Pencegah Rasuah diangkat darjat menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dengan bajet, staf, dan sumber yang lebih dan slogan-slogan transformasi yang maha agung seperti 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan', mengapa dalam 32 bulan pemerintahan Najib (gambar kanan), ia mencatatkan CPI paling teruk dalam masa 17 tahun?"
Menurut Kit Siang, Perdana Menteri harus menjelaskan kepada rakyat mengapa persepsi tentang rasuah di Malaysia paling teruk dalam era pemerintahannya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.