KUALA TERENGGANU, 8 Dis: PAS mengambil sikap tunggu dan lihat dengan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) yang mengumumkan akan menggunakan kaedah celup jari dengan dakwat dalam Pilihan raya Umum ke-13 nanti.
Menurut Presidan PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, ia merupakan usaha PAS, rakan-rakan dalam Pakatan dan seluruh rakyat, melakukan reformasi dalam demokrasi.
Katanya, pemulihan demokrasi tidak akan berjaya sekiranya kerajaan yang memerintah negara tidak bersungguh menyokong usaha tersebut, lapor BuletinOnline.
“Isu pemulihan demokrasi. PAS menyertai bersama rakan-rakan lain untuk membuat reformasi dalam demokrasi, tapi dengan syarat kerajaan mestilah bersungguh, mengelakkan penipuan yang celup jari (dengan) dakwat itu dah diterima, kita tunggu dan lihat,” katanya yang juga Adun Ru Rendang kepada media di Wisma Darul Iman, semalam.
Beliau menegaskan, pilihan raya umum ke-13 tidak sepatutnya diadakan kecuali beberapa perubahan penting telah dilakukan seperti pembersihan daftar pemilih dan kebebasan media.
“Pembersihan daftar pemilih mengelakkan penipuan dan kebebasan media untuk semua parti politik sebagaimana diamalkan di negara-negara lain, negara-negara Asean, contohnya Indonesia sudah berubah, Thailand sudah berubah.
“Media cetak dan elektronik bukan saja hak kepada parti yang memerintah termasuk parti-parti yang bukan memerintah supaya rakyat boleh mendengar kerana media adalah saksi, rakyat adalah hakim,” jelasnya yang juga ahli Parlimen Marang.
Menurutnya, rakyat tidak mungkin boleh membuat penghakiman yang adil sekiranya hanya mendengar dari sebelah pihak sahaja. |
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.