
Barangkali ada yang ingin membela AMK bahawa "suara dari bawah pentas" sememangnya di luar kawalan pimpinan yang duduk di atas pentas. Mungkin suara perwakilan ini boleh ditafsir sebagai rintihan mahupun rungutan anak muda yang selama ini berkorban untuk perjuangan parti, termasuk hilang kerja, tidak berpendapatan tetap dan sebagainya, dan sentimennya tercungkil apabila PKR berkuasa di Selangor tetapi hidup mereka kekal tidak menentu.
Apapun alasannya, bukan isu yang ingin dibicarakan di sini. Untuk saya, apa yang paling menyeramkan adalah - apabila Azmizam membalas dengan "Carilah sendiri!", sebagai jawapan kepada "tuntutan" perwakilan AMK, yang hanya memenuhi kurang separuh daripada kerusi dewan. Saya tidak pasti sama ada pimpinan AMK perasan atau tidak, bahawa suasana yang wujud pada saat-saat itu, membuatkan wartawan merasakan dirinya sedang membuat liputan di Perhimpunan Agung Pemuda UMNO! Malah saya tidak pasti, apakah ini tidak cukup menggusarkan buat pimpinan AMK mahupun PKR?
Semangat idealisme semakin luntur?
Kita tidak perlu mengimbas terlalu jauh. Kongres AMK pada Mei 2010 memadai untuk dijadikan rujukan. Saya masih ingat diri saya agak terharu apabila ternampak khemah didirikan di perkarangan Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan Kota Bharu. Saya dimaklumkan bahawa perwakilan AMK yang tidak berkemampuan untuk menyewa bilik, memilih untuk berkhemah di situ, semata-mata untuk menghadiri Kongres AMK.

Namun demikian, suasananya agak "tidak mengena" pada tahun ini, selepas berlangsungnya pemilihan parti pada November 2010. Lebih-lebih lagi, "rebutan untuk menjadi calon" telah hangat diperkatakan sebelum kongres bermula. Saya tidak berniat untuk melabel terus mereka yang hendak menjadi calon PRU 13 itu sebagai "gila kuasa", tapi saya agak terkejut apabila Ketua AMK Shamsul Iskandar membuat gesaan terbuka agar calon muda diletakkan bertanding di "kerusi yang berpotensi besar untuk menang".
Seruan itu biarpun disambut gemuruh oleh perwakilan AMK (yang menggosok-gosok tangan untuk bertanding), tetapi bukan sikap yang wajar ada pada AMK. Sesungguhnya permintaan tersebut ada kewajarannya, tetapi hanya sesuai dituntut dalam mesyuarat pimpinan tertinggi dalaman parti, bukan secara terbuka. Ini kerana selaku Ketua AMK, beliau harus membakar semangat orang muda, dengan menampilkan AMK di bawah pimpinannya berani untuk mengambil risiko.

Sememangnya kenyataan di atas bersifat retorik, namun sekurang-kurangnya ia menyampaikan mesej, AMK bukan hendak menunggu durian runtuh di kawasan yang "selamat" (untuk Pakatan Rakyat), dan AMK sanggup mengambil risiko untuk mengambil-alih kuasa dari regim pemerintah yang sedia ada. Dalam politik, "persepsi" itu penting. Seandainya itulah "cabaran" yang dilontarkan, sekurang-kurangnya ia menekankan kembali keyakinan Pakatan Rakyat untuk tawan kubu UMNO-BN.
Idea yang progresif
Padahal saya lebih khuatir dengan idealisme yang ingin dibawa AMK, berbanding pendekatan strategi di atas. Shamsul Iskandar pada kali ini menjolok sarang tebuan dengan cabaran kepada UMNO - "pindaan perlembagaan untuk menjamin agar Perdana Menteri disandang Melayu sahaja". Ramai yang sedar bahawa cabaran ini dilontarkan dalam konteks permainan politik UMNO untuk menghasut sentimen perkauman sempit, dan ramai yang bersimpati terhadap PKR, mahupun PAS yang tersepit dalam dilema ini.

Bahkan Khalid Ibrahim (gambar kanan) yang disifatkan sebagai "produk" Dasar Ekonomi Baru (DEB), membuat kenyataan "masalah terbesar masyarakat Melayu adalah ketidaksamarataan", dalam sesi penggulungan Kongres Nasional Tahunan PKR ke-8. Khalid yang lebih berat bebannya untuk membicarakan DEB, menawarkan diri untuk menjelaskan kepada masyarakat Melayu apakah masalahnya dengan DEB.

Mungkin antara yang bersimpati kepada PKR, akan membela Ketua AMK dengan mendakwa bahawa situasinya tidak memihak kepada pembangkang, apabila cuba menganjurkan satu pandangan progresif. Namun saya agak terperanjat, apabila Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu sepanjang ini menusuk UMNO dengan idea-idea yang bukan senang untuk dihadam masyarakat Melayu. Isu Mat Indera misalnya, dipertahankan Mat Sabu tanpa berganjak langkah, meskipun diserang bertalu-talu dalam media arus perdana untuk kira-kira dua bulan.

Saya terkagum melihat bagaimana pemimpin dengan usia 56 tahun berani membawa idea yang mencabar status quo, sama ada di luar mahupun dalam parti. Tetapi sayap AMK yang mengehadkan umur anggotanya pada 35 tahun, gagal membawa gagasan idea yang berani dan progresif, mendepani zamannya. Maknanya, apa yang muda dalam Angkatan Muda ini, selain usianya?
Berdepan dengan Khairy
Pada hakikatnya Shamsul Iskandar telah memiliki jawapan dalam ucapan dasarnya ketika memangku Ketua AMK, dalam Kongres Nasional keempat di Seremban, Mei 2007. Isunya antara elit pemerintah politik dan perniagaan dengan rakyat jelata. Pukulannya tepat pada sasarannya, apabila mengulas bagaimana kenaikan faedah bank dan kenaikan kadar inflasi membebankan anak muda.

Shamsul sepatutnya mengungkapkan pandangan politiknya dalam bahasa yang mampu menyentuh hati anak muda secara umumnya. Jika diteliti negara kita, semakin ramai graduan universiti dilahirkan berbanding 20 tahun yang lalu, semakin rajin anak muda bekerja untuk rezeki hidupnya. Namun anak muda kita sekarang sebenarnya hanya menyumbang untuk membesarkan angka pertumbuhan ekonomi negara, tetapi mutu hidup individu/keluarga tidak meningkat ke mana. Semakin cemerlang, ditambah dengan ketekunan sebaliknya tidak membawa anak muda Malaysia ke mana-mana - tidak lebih sebagai penghutang, dari pinjaman PTPTN, kereta, insuran perubatan hinggalah perumahan.
Apakah dengan melontarkan idea-idea sebegini gagal merampas sokongan anak muda daripada Ketua Pemuda UMNO? Apakah cabaran "Perdana Menteri Melayu" lebih menggarap imaginasi anak muda, malah rakyat Malaysia? Apakah dengan lontaran cabaran itu, memperlihatkan Shamsul Iskandar lebih sebagai pemimpin masa depan, berbanding Khairy Jamaluddin?

Ketokohan A. Samad terserlah dengan keberaniannya untuk menentang regim korup pada usia 76 tahun. Berulang-kali A.Samad Said menyebut Perdana Menteri kita berasal dari golongan "bangsawan", dan pernah sekali beliau secara terbuka menyatakan bahawa "Tunku bukan pejuang, tetapi penyambut kemerdekaan". Abdul Aziz Bari pula menjadi lambang mempertahankan kebebasan akademik baru-baru ini, apabila mengulas penggunaan kuasa yang membabitkan institusi Raja. Kedua-dua tokoh ini tidak tunduk meskipun diserang bertubi-tubi oleh UMNO-Barisan Nasional.
Bukankah ia sesuatu yang ironi, untuk dua orang tokoh ini tampil di kongres satu Angkatan Muda yang bukan sahaja tidak berani keluar dari "zon selamat", malah mencabar musuh politiknya untuk mengundur selangkah ke belakang? Ironi yang sungguh memilukan!
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.