KUALA LUMPUR, 8 Dis: Tindakan Kerajaan BN untuk memansuhkan sepenuhnya subsidi gas asli menjelang tahun 2015 bukan sahaja akan membebankan rakyat, malah akan turut mempertingkatkan lagi penggunaan tenaga asas di negara ini.
Berdasarkan statistik yang dibekalkan oleh Imbangan Tenaga Kebangsaan 2008, Malaysia mengalami peningkatan penggunaan tenaga asas purata sebanyak 6.1 peratus di antara tahun 2000 hingga 2008.
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer), S Piarapakaran berkata, catatan tersebut menjadikan peningkatan penggunaan tenaga asas itu hampir sama dengan peningkatan purata KDNK (GDP) negara sebanyak 6.0 peratus.
Menurutnya, apabila subsidi kepada gas asli akan dimansuhkan sepenuhnya oleh kerajaan menjelang tahun 2015, peningkatan tersebut pasti akan menjadi lebih ketara.
Katanya, bukan sahaja kos tenaga dijangka meningkat, malah Malaysia juga agak ketinggalan jauh dalam bidang Kecekapan Tenaga disebabkan pelbagai alasan.
"Berdasarkan statistik penjualan tenaga elektrik pada tahun 2009, sebanyak 92,753 GWj (Giga Watt jam) tenaga elektrik telah digunakan. Awer menganggar sejumlah 62.14 juta Ton bersamaan CO2 (karbon dioksida) telah dilepaskan disebabkan penggunaan elektrik ini.
"Nisbah purata agihan pelepasan CO2 adalah 3:5:6 di antara sektor domestik, komersil dan industri," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Walaupun Malaysia telah membuat komitmen untuk mempraktikkan teknologi hijau dan Ekonomi Rendah Karbon, menurutnya, langkah seterusnya masih kabur.
Katanya, ia hanya mewujudkan “penghijauan” dari segi warna berbanding dengan cara-cara penyelesaian masalah yang membantu.
"Berdasarkan maklum balas daripada individu-individu, SMI/E (Industri Kecil Sederhana), pembuat peralatan elektrik dan agensi kerajaan, mereka ingin bantuan seperti webtool (alat bantuan berasaskan internet) untuk membantu mereka membuat keputusan dan bergerak ke hadapan," tegasnya.
Sehubungan itu, Awer telah mengambil keputusan untuk melancarkan sebuah portal yang beralamat di CLICK www.click.org.my bagi membantu orang ramai merealisasikan gaya hidup rendah karbon.
Katanya, CLICK hanyalah satu permulaan dan ia adalah satu portal yang berkembang dengan lebih banyak webtool serta laporan-laporan akan dimuatnaik secara berkala.
Pelancaran portal tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Pesuruhjaya Tinggi, Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur, Ray Kyles di kediaman Pesuruhjaya Tinggi British di sini jam 10.00 pagi semalam.
Menurutnya, sebelum portal tersebut berjaya dilancarkan, pihaknya telah menjalani beberapa siri perundingan secara pasif, aktif interaktif mengenai gaya hidup rendah karbon dengan pelbagai pihak.
"Hasil kajian tersebut telah dikaji semula dengan teliti dan dipadankan dengan rancangan jangka masa pendek dan jangka masa panjang, bagi membantu negara dalam mencapai gaya hidup rendah karbon," tambahnya.
Portal tersebut disediakan dalam 3 bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina dan dibahagikan kepada 4 bahagian.
Bahagian pertama mengenai pengenalan CLICK, bahagian kedua bagi realisasi kepada gaya hidup rendah karbon, bahagian ketiga panduan untuk menangkap pencuri tenaga dan bahagian keempat akujanji atas talian.
Portal tersebut sememangnya amat berguna kepada semua pihak dan orang ramai yang ingin melayarinya kini bolehlah mengunjungi laman sesawang www.click.org.my pada bila-bila masa.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.