14 Dec 2011

Kekayaan secara haram: KEADILAN desak Taib Mahmud, keluarga didakwa

KUALA LUMPUR 14 Dis: KEADILAN mendesak Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan keluarganya didakwa atas pelbagai kesalahan menipu, rasuah, rampasan tanah secara haram dan salahgunakuasa.
Naib Presiden KEADILAN, N Surendran merujuk surat bertarikh 13 Disember 2011 daripada badan-badan bukan kerajaan enam negara, yang mendesak penangkapan dan pendakwaan Taib Mahmud dan 13 ahli keluarganya dilakukan.
“Kekayaan Taib dan keluarganya yang diperoleh secara haram bukan lagi rahsia bagi rakyat Malaysia.
“Selama bertahun-tahun individu, pertubuhan dan parti-parti pembangkang telah mendesak BN untuk menghentikan rompakan kekayaan dan hasil mahsul Sarawak oleh Taib. Tetapi tiada tindakan diambil terhadap Taib dan kroni-kroninya,” kata Surendran.

Katanya, fakta didedahkan dalam surat itu amat memeranjatkan. Antaranya, Kepentingan keluarga Taib di dalam 14 syarikat yang bernilai RM4.6 bilion.
Tambah beliau, keluarga Taib juga dikenalpasti mempunyai kepentingan di dalam 332 syarikat Malaysia dan 85 syarikat asing.
“Aktiviti haram empayar Taib sedang diteliti di Australia, Jerman, Switzerland, UK dan Kanada. Syarikat-syarikat keluarga Taib telah diberikan konsesi balak yang besar dan projek-projek pembinaan besar tanpa tender terbuka dan mempunyai monopoli terhadap eksport simen dan balak,” kata beliau.
Menurutnya lagi, kekayaan dan aset Sarawak bernilai ratusan juta ringgit itu sedang diseludup keluar Malaysia menerusi pegangan hartanah mewah yang dimiliki anak-anak Taib di Kanada, England dan Amerika Syarikat.
Justeru itu, kata Surendran, KEADILAN mendesak beberapa tuntutan berikut:
i)  Pembentukan serta-merta Suruhanjaya Di Raja bagi menyiasat empayar perniagaan Taib;
ii) Penangkapan dan pendakwaan serta-merta Taib dan 13 ahli keluarganya;
iii) Perletakan jawatan serta merta Taib sebagai Ketua Menteri dan anggota keluarganya yang memegang jawatan di dalam anak-anak syarikat atau badan-badan berkanun kerajaan
iv) Pembentukan pasukan bertindak pelbagai agensi untuk mengembalikan aset dan harta yang diperoleh secara haram di Malaysia dan seluruh dunia
v)  Kerajaan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang antarabangsa dan negara-negara luar bagi membawa Taib dan keluarganya ke muka pengadilan;
vi) Perdana Menteri Najib Razak dan Kerajaan BN meminta maaf kepada rakyat Malaysia, khususnya Sarawak, kerana menyokong dan membenarkan Taib untuk merompak kekayaan rakyat sesuka hati selama ini.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.