KUALA LUMPUR, 14 Dis: Polis bertindak menangkap 15 orang mahasiswa yang mengadakan perhimpunan flashmob menuntut kebebasan akademik di KL Sental dekat ibu negara petang ini.
Mereka antara kira-kira 40 orang pelajar yang hadir berkumpul kira-kira jam 4 petang tadi yang diketuai pengerusi perkumpulan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) Mohd Safwan Anang.
Difahamkan, belum beberapa minit sempat mereka berkumpul, sekumpulan anggota polis datang menghalang mereka dan mengarahkan bersurai.
Enggan berbuat demikian, polis kemudiannya bertindak menangkap 15 daripada mereka dan kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Travers di sini.
Bantahan senyap hari ini diadakan mereka bagi menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) serta autonomi akademik dijamin pihak kerajaan.
Mereka membawa sepanduk dan poster yang berbunyi 'Kami bersatu untuk kebebasan akademik' dan 'Berikan autonomi keada universiti' dan juga kertas bersaiz A4 yang tertera perkataan 'bebas'.
Bagaimanapun kesemua sepanduk dan poster tersebut dirampas pihak polis ketika pergelutan kecil sewaktu menangkap mereka.
Difahamkan Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan turut hadir ke balai polis bagi memberi sokongan dan menuntut kesemua yang ditangkap segera dibebaskan.
Beberapa pemimpin parti politik Pakatan Rakyat juga turut hadir bersama beberapa peguam dan masih berkumpul di perkarangan balai polis.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.