Mencuri peluang untuk berjabat tangan atau bertemu muka dengan YAB Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat bukanlah sesuatu yang mudah. Kepada mereka yang tinggal di Kota Bharu dan sering ke masjid, peluang itu mungkin besar sedikit; namun buat orang seperti saya yang tinggal di Kuala Lumpur dan hanya ‘kadang-kadang’ melawat masjid...barangkali sudah hampir mustahil.
Bukannya tidak pernah mencuba. Setiap kali datang ke Kelantan, saya akan ikhtiarkan usaha untuk ke Kampung Pulau Melaka di Kota Bharu dengan harapan dapat terserempak dengan Tok Guru selepas solat. Namun nasib belum menyebelahi saya.
Dengan takdir Allah SWT, saat yang ditunggu hadir jua dengan cara yang sungguh tidak disangka-sangka. Bukan sekadar terserempak, bahkan saya dan rakan-rakan perniagaan mendapat jemputan rasmi untuk ‘bertemu dan berbincang’ dipejabatnya di Kota Darulnaim. Entah apa tarikannya yang menyebabkan Tuan Guru sudi menerima kunjungan kami, masih menjadi misteri buat saya. Setelah membuat segala persiapan, kami berenam memulakan langkah Bismillah, dengan harapan menggunung tinggi agar cadangan kami diterima baik. Tetapi lebih penting lagi adalah impak pertemuan yang bakal menjadi peristiwa yang tidak akan dapat dilupakan sepanjang hayat kami. Bahkan kami turut berangan-angan mendapat jemputan makan tengahari bersama Tuan Guru selepas mesyuarat. Bagi kami itulah hasil mesyuarat yang paling berjaya.
Kamera SLR telah berjaya dipinjam, kot ‘patelung’, tali leher ‘Zegna’ semuanya telah siap berbungkus, isikandung persembahan juga sudah berpuluh kali ditapis dan diulang-ulang sehinggalah ke malam terakhir sebelum perjalanan musafir ini bermula.
Dalam diam rupanya ramai juga yang cuba melobi agar turut terpilih mengikuti rombongan perdagangan ini dan bertemu dengan idola mereka. Ingatkan saya seorang yang kemaruk, rupanya ramai.
Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Baru yang kebiasaannya menyeronokkan kali ini banyak juga ranjaunya. Hendak dijadikan cerita, kami berenam bersepakat menaiki bas ekspres dengan alasan tidak mahu memandu dan mahu bersantai sahaja (ada sebab lain juga sebenarnya tetapi biarlah rahsia).
Tepat jam 10.30 pagi bas bertuah ini akhirnya mula bergerak melakar sejarah membawa harapan dan misi yang maha penting.
Bas yang sebenarnya sudah usang dan suka berkeriut ini akhirnya tiba juga di Bandaraya Kota Bharu sekitar jam tujuh malam. Kami sebenarnya sedikit kecewa dan marah kerana pemandu bas yang sudah dipesan untuk menurunkan kami di KB Mall terlupa untuk berhenti dan langsung terus ke perhentian bas terakhir (kami sebenarnya tidak tahu menahu di mana letaknya KB Mall tetapi telah dimaklumkan oleh rakan yang ia paling hampir dengan Kota Darul Naim).
Sejurus mendarat di hentian bas lama, kami disambut beberapa pemandu teksi sapu yang pekat dengan loghat Kelantannya. Pada masa yang sama, laungan azan Maghrib yang berkemungkinan datang dari Masjid Muhammadi sudah mula kedengaran.
Penat, tenggelam punca, lapar dan kotor; kami sebenarnya sudah tidak kuasa bertegang-urat dengan pakcik-pakcik pemandu teksi, lantas menerima sahaja tawaran dari pemandu yang paling lantang suaranya. Yang penting kami harus sampai di KB Mall dan berjalan kaki menuju ke Homestay yang telah ditempah sebelum senja bertukar malam.
Episod malam itu selesai setelah kami check-in di Homestay (dan terimakasih juga kepada ‘abe-abe’ pemandu teksi sapu yang baik hati). Setelah memaklumkan kedatangan kami kepada wakil Pejabat Menteri Besar Kelantan (PMBK), makan malam ala-kadar (warung nasi lemak sebelah kubur Kristian, tepi jalan bersebelahan KB Mall), mempersiapkan pakaian serta membeli sedikit keperluan di KB Mall, barulah kami dapat berehat.
Saya yang sudah terlalu kepenatan akhirnya tumbang sekitar jam dua pagi bersama benak yang sudah senak dengan pelbagai kemungkinan dan drama yang bakal terurai keesokan harinya.
10 pagi, 11 Muharram.
Kesemua enam peniaga kecil dari Kuala Lumpur ini dengan segak dan bergaya (lengkap ber-kot dan ber-talileher, harum semerbak, wajah bercukur licin tetapi meninggalkan sedikit ‘janggut’ dan ada juga yang memberanikan diri memakai kopiah putih) melangkah keluar dari bilik penginapan menuju ke pejabat Menteri Besar. Temujanjinya jam 10.30, mentari pagi sudah terik dan kami sudah tidak sempat bersarapan. Maka dengan tergesa-gesa kami mula berjalan kaki dari simpang Wakaf Siku menuju ke Kota Darul Naim. Destinasi yang hendak dituju agak dekat, tetapi bagi kami terasa begitu jauh sekali. Mungkin kesan daripada pandangan pelik pekedai dan kenderaan yang lalu lalang terhadap gaya, rupa dan pakaian kami.
“Siapalah agaknya lelaki-lelaki mabuk yang sanggup berjalan dalam panas terik siap dengan tali leher, ‘blazer’ dan ‘briefcase’ ni?” Kami segan juga sebenarnya dan menyesal sedikit kerana tidak menyewa kereta. Tetapi perasaan itu segera dipendamkan. “Sebentar sahaja lagi, sejarah akan tercipta….”
Apabila tiba di balai keselamatan Kota Darul Naim, kami dijemput dan terus dibawa oleh pengawai khas Menteri Besar masuk ke blok utama. Luas juga kawasannya, dan apabila sudah berada di dalam, barulah terasa selesa melihat spesies ‘saudara’ yang sama ‘sejaket’, ‘setali leher’, ‘sekopiah’ dan ‘sejanggut’.
Kami dijemput ke bilik Menunggu VIP. Disana, perasaan kami bercampur-baur di antara rimaskan baju yang sudah bermandi peluh, cemas dengan kelewatan kami, lapar dek perut yang masih belum menerima juadah pagi; dan bangga kerana dilayan sebegitu penting. Paling mustahak disebalik segala ketidakselesaan ialah ‘skrip persembahan’ yang masih kukuh tersimpan didalam ingatan saya.
Kami cuba juga menunjukkan wajah yang ceria; dan bersalaman dengan sesiapa sahaja yang memandang dan menyapa. Ruang pejabat MB Kelantan tidaklah se-gah ruang pejabat mana-mana menteri di Putrajaya, tetapi masih kelihatan bersih dan tersusun.
Sepuluh minit kemudian, kami dibawa masuk ke bilik mesyuarat yang memang bersambung dengan bilik YAB Tuan Guru. Degupan jantung saya sudah semakin kencang, muka sudah semakin pucat, peluh masih tidak mahu berhenti mengalir dan tapak tangan saya yang lembap sudah hampir basah. Beberapa kakitangan PMBK mula sibuk keluar-masuk bilik mesyuarat bagi memastikan segala keperluan terisi. Komputer kami disambung ke televisyen LCD, manakal kerusi disusun mengikut protocol. Lampu dilaras agar cukup terangnya dan suhu penghawa-dingin ditokok agar cukup sejuknya. Turut disediakan untuk setiap tempat duduk ialah sekotak air mineral dan piring kecil berisi kuih lapis dan kuih akok yang dibungkus plastik. Memang serba sederhana. Ada juga beberapa ‘pemerhati bebas’ yang ingin melihat sendiri wajah-wajah yang mahu berjumpa dengan ‘bos’ mereka…agaknyalah.
Apabila telah selesai, seorang demi seorang kakitangan bertugas keluar dari bilik mesyuarat; dan orang kuat kerajaan negeri yang pertama segera masuk dan mengambil tempat duduk. Tidak perlulah disebut siapa, tetapi cukup untuk menambah suspense kepada drama yang bakal tersingkap. Pegawai kedua juga sudah masuk dan duduk. Tetapi kelibat Tuan Guru masih belum kelihatan. Saya sudah mula risau. Jika tadi saya cemas menanti kedatangan Tuan Guru, sekarang saya lebih risau jika Tuan Guru tidak dapat hadir.
“Takkan Tok Guru tak sudi bertemu dengan kami?” Wajah rakan-rakan juga sudah tidak keruan walaupun para pegawai yang hadir masih kelihatan seperti biasa. Pada waktu dan ketika itu, saya hampir pasti kesemua rakan saya sudah tidak fikirkan lagi hasil temujanji kami, kerana agenda pertemuan yang paling utama bakal berkubur sekiranya Tuan Guru tidak muncul.
Tiba-tiba pintu khas yang menyambungkan bilik mesyuarat dengan pejabat Menteri Besar berkuak dan dengan pantas kesemua pegawai kerajaan negeri yang hadir bingkas berdiri dan hampir berlari menuju ke pintu. Kami yang cemas ini terpinga-pinga dan masih melekat dibangku. Apabila pintu terbuka maka muncullah kelibat dan wajah berserban yang sudah kerap dilihat, tetapi cuma dari jauh, dari kaca televisyen, pada paparan skrin komputer dan diatas kertas. Sekarang Tuan Guru Menteri Besar Kelantan sudah ada didepan mata.
Subhanallah.
Tuan Guru orangnya kecil molek sahaja, sedikit bongkok dan langkahnya seperti tertahan-tahan. Pergerakannya perlahan dan senyap, seolah-olah mahu menyelinap masuk ke bilik mesyuarat tanpa disedari. Apabila pintu dibuka, tangannya tidak dilepaskan dari tombol pintu dan dengan perlahan beliau menutupnya kembali (tidak seperti sesetengah pegawai besar yang suka ‘menghempas’ pintu untuk menunjuk kuasa). Pada pagi tersebut beliau memakai baju Melayu berwarna jingga lengkap bersampin dan berjubah hitam diluar.
Seorang demi seorang mengambil giliran bersalaman dengan Tuan Guru. Saya sememangnya tidak mahu melepaskan peluang yang sudah begitu lama dinanti. Tetapi tatkala hampir sampai giliran saya, mulalah datang pelbagai persoalan. Salam yang bagaimana paling sesuai? Salam hujung jari? salam genggam sebelah tangan? Dua belah tangan? Salam sambil menundukkan kepala? Salam cium tangan? Salam dan peluk? Sebelum sempat saya membuat keputusan, tangan Tok Guru sudah menyapa saya, dan tanpa berfikir saya terus menyambutnya dengan salam sebelah tangan. Aduh, sepatutnya digunakan salam cium tangan sebagai tanda hormat anak murid kepada gurunya. Memang teruk saya ni.
Selepas bersalaman, kami kembali ke kerusi masing-masing, dan Tuan Guru mengambil tempat duduknya dihujung meja yang selalunya memang dikhaskan untuk pengerusi mesyuarat. Sejurus duduk, beliau memandang kami semua (dua orang pegawai masih belum tiba); memberikan salam, membaca ummul kitab dan mengetuai bacaan doa. Sebaik selesai berdoa dengan lembut beliau berkata, ”Sekarang saya persilakan tuan-tuan mulakan!”
Segalanya berlaku begitu pantas dan sekarang semua mata tertumpu kepada saya yang sedang memegang ‘laser pointer’. Pada saat dan ketika itu, semua skrip dan dialog yang telah saya hafal; kata-kata pendahuluan dan terimakasih; kata panggilan dan susun atur persembahan hilang serta-merta dari ingatan.
Saya yang sudah dianggap berpengalaman membuat persembahan tiba-tiba kelu dan panik. Tuan Guru dan pegawainya masih tidak berkelip memandang saya. Pada waktu itu segelas air setidak-tidaknya boleh juga membantu mengurangkan keketaran; tetapi air mineral diatas meja tiada sesiapa pun yang berani menyentuh, apatah lagi mahu membuka atau meminumnya. Jadi saya terpaksa juga teruskan majlis menggunakan skrip spontan dan alhamdulillah sedikit demi sedikit keyakinan diri datang kembali walaupun nafas masih sedikit mencungap dan nada suara ini sedikit sumbang.
Sambil berucap, sekali-sekala saya cuba juga menjeling ke arah Tuan Guru dan ada ketikanya saya lihat beliau memandang kearah saya begitu lama. Ada masanya Tuan Guru seperti memejamkan mata sambil menongkat dagu. Saya harap pembentangan saya tidaklah terlalu membosankan sampai Menteri Besar pun boleh terlelap.
Tiga puluh minit berlalu dan tugas saya membentangkan cadangan akhirnya tamat. Kini tibalah sesi yang paling mendebarkan iaitu sesi soal-jawab. Tuan Guru masih belum bersuara walaupun sesi soal jawab berlangsung rancak dengan soalan-soalan yang agak rumit juga. Mujur rakan-rakan dapat memberikan jawapan yang pada saya sudah cukup baik. Walaupun masih diam, riak wajah dan pandangan mata Tuan Guru menunjukkan minat yang agak positif.
Apabila sudah selesai berbincang, saya akhiri majlis dengan ucapan penutup sambil cuba menangguhkan sesi dengan harapan dapat bertemu lagi dilain temujanji. Pada ketika ini barulah Tuan Guru bersuara. Nadanya perlahan sekali, sehingga kami terpaksa mendekatkan telinga untuk mendengar amanatnya.
Isi ucapan beliau sekali dengar seperti tidak relevan dengan tema perbincangan. Tetapi oleh kerana amanat itu datang dari orang nombor satu Kelantan, tidak ada yang berani menokok tambah.
Tuan Guru mengakhiri majlis dengan membaca doa penutup beserta laungan takbir (pertama kali dalam hidup saya mesyuarat ditamatkan dengan takbir). Beliau yang nampak keletihan perlahan-lahan bangun dan seperti mahu terus menuju ke pejabatnya. Saya dan rakan-rakan saling memandang…ada tiga urusan belum selesai iaitu bersalaman, menyerahkan cenderahati dan bergambar (ini yang paling penting); tetapi Tuan Guru sudah berpusing ke pintu dan mula melangkah. Salah seorang rakan kongsi saya tiba-tiba menjerit…”Tuan Guru! Tuan Guru!...” entah berapa kali dilaungnya barulah Tuan Guru tersentak dan berpatah semula ke meja. Cenderahati diberi, dan kami akhirnya dapat bergambar bersama.
Alhamdulillah.
Kami bersalaman buat kali terakhir (sekali lagi saya terlupa untuk salam cium tangan); dan dengan sekelip mata Tuan Guru ghaib ke pejabatnya. Mesyuarat tamat sebelum tengahari dan kami berjalan pulang ke bilik penginapan berpasang-pasang; seronok dan gembira dengan apa yang telah berlaku pada pagi itu. Cuaca tengahari sememangnya panas tetapi peluh yang mencurah-curah sudah tidak dipedulikan lagi. Misi utama telah terlaksana.
Sebelum pulang ke ibukota, kami sempat singgah di Masjid Muhammadi untuk solat Maghrib (kami berjalan kaki dari Homestay dan tiba di masjid serentak dengan azan Maghrib, sama seperti malam sebelumnya). Rupa-rupanya KDYMM Al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-5 turut solat bersama dan yang paling menarik, baginda turut mengikuti Kuliah Maghrib yang disampaikan yang bertajuk “Pemimpin Yang Zalim”. Hai, saya tak fikir ia berani dilakukan ditempat lain. Orang Kelantan memang hebat!
Bas ekpress jam 9 malam tiba di Kuala Lumpur jam 5.30 pagi keesokannya. Dengan itu tamatlah pengembaraan enam sahabat yang kepenatan.
Pertemuan bersejarah dengan Menteri Besar Kelantan berlangsung lebih baik dari jangkaan saya. Walaupun tidak berpeluang menjamah kuih akok dan kuih lapis, atau makan tengahari bersama; Tuan Guru seolah-olah mahu mendidik dan menunjukkan tauladan yang akan kekal dalam ingatan kami. Jauh disudut hati saya faham Tuan Guru melaksanakan segala-galanya mengikut ajaran dan sunnah Rasulullah SAW.
Tidak perlu banyak bercakap tetapi lebih suka mendengar, tidak ada janji manis dan omong kosong, tidak bermewah-mewah dan berlebih-lebih, tidak membazir masa dan berucap panjang lebar dan akhir sekali; memberikan sepenuh kepercayaan kepada pembantu-pembantunya yang telah diamanahkan.
Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana walaupun jahil, saya masih berpeluang bertemu sendiri dengan seorang negarawan, ilmuan dan ulama yang dihormati rakan dan musuh. Sangat jelas pada pandangan kami betapa berat tanggungan dan beban yang seolah-olah sudah tidak terpikul oleh tubuh Tuan Guru.
Saya juga bersyukur kerana negeri Kelantan masih lagi utuh sebagai serambi Mekah dan gigih membangun bersama Islam. Semoga Kelantan akan sentiasa hijau dan aman dibawah panji-panji Islam. Saya berdoa agar Dato Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat akan terus dikurniakan kesihatan dan kebijaksanaan untuk memerintah negeri Kelantan dengan seadilnya. Semoga Malaysia turut dapat merasa tempiasnya dan sentiasa mendapat Rahmat dan belas ihsan daripada Allah Yang Maha Esa.
Allahu akbar! |
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.