1 Oct 2011

PAS gesa lanjut tempoh skim pembiayaan Ujrah

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 1 Okt: Jawatankuasa Isu PTPTN (JIP) PAS mencadangkan supaya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melanjutkan tempoh permohonan berkaitan tawaran penukaran Ujrah yang berakhir semalam (30 September).

Pengerusinya, Mohamad Taufek Abd Ghani (gambar) berkata, tawaran penukaran Ujrah itu telah ditawarkan oleh PTPTN di mana pihak peminjam PTPTN ditawarkan pertukaran pinjaman sedia ada (3% atau 5%) kepada pembiayaan Ujrah 1%.
“Ramai pihak peminjam PTPTN menghubungi JIP melalui telefon dan melalui Facebook Jawatankuasa Isu PTPTN memohon supaya JIP memperjuangkan hasrat mereka supaya tempoh permohonan pembiayaan Ujrah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2011,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Justeru, ujarnya pihak JIP akan mengadakan sidang akhbar khas pada hari Isnin ini, jam 11 pagi di Seremban bersama beberapa orang peminjam PTPTN yang terlibat bagi mengemukakan pandangan JIP berkaitan dengan isu itu.
Sebagai langkah persediaan, katanya pihak JIP memohon supaya mana-mana peminjam PTPTN yang terlibat supaya memberi maklumat kepada pihak JIP melalui Facebook atau menghubungi Sekretariat JIP di talian 019-6506540.
“Pihak JIP juga memohon supaya mereka yang melayari Facebook JIP juga membuat undian dalam referendum yang dianjurkan oleh pihak JIP berkaitan isu PTPTN ini,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan dan Adun Paroi.
Menurutnya, pihak JIP turut berjanji bahawa semua isu berkaitan akan dibangkitkan oleh ahli parlimen-ahli parlimen PAS dan Pakatan Rakyat yang akan diketuai oleh Pengerusi Lajnah Pengguna PAS Pusat yang juga ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.