1 Oct 2011
Bebalis Masyarakat Membangun
"Bebalisme adalah orang yang authoriarian…"
--Syed Hussein Alatas, dalam Intelektual Masyarakat Membangun
Tujuan kongkongan adalah pembodohan. Begitulah di sesebuah negeri apabila dihambat dengan pelbagai undang-undang draconian, termasuk lembaga penapisan misalnya, ia tidak lain akan berpenghujung kepada pembodohan ke atas masyarakat. Penguasa yang mengongkong, atau disebut Profesor Syed Hussein sebagai "authoritarian" dapat bertahan berkuasa hasil pembodohan terhadap rakyatnya.
Sebab itu, Mahathir Mohamad (gambar kiri) tetap penting kepada perbincangan. Mantan Perdana Menteri keempat itu telah menciptakan apa yang diistilahkan sebagai "Mahathirisme". Antara ciri khas Mahathirisme adalah krisis logik. Begitu banyak dasar-dasar yang diwujudkan di era pemerintahannya yang sekali imbas dilihat munasabah dan masuk akal, namun andai diteliti, ia sama sekali tidak logik.
Dalam satu temubual dengan sebuah stesyen TV, saya selalu ingat, seorang wartawan bertanya tentang rancangan pemerintah untuk membina ampangan hidroeletrik Bakun, di Sarawak. Hasil tenaga eletrik yang bakal dijana akan disalurkan bukan sahaja untuk Sarawak dan Sabah, tetapi juga ke negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
Jawapan Mahathir, projek hidroeletrik itu murah. Jauh lebih murah berbanding penggunaan sumber arang batu. Bakun akan menggunakan air sebagai sumber penjanaan eletrik, dan air adalah percuma turun dari langit. Air adalah pemberian Tuhan yang tak perlu dibayar.
Ya, sekali dengar tentulah jawapannya munasabah. Mahathir tertawa kecil di hujung jawapannya itu. Tak siapa bertanyakan lanjut, bagaimana dengan kos kabel bawah laut merentas Laut China Selatan dari Sarawak ke Semenanjung untuk membekalkan tenaga elektrik akan tetap murah? Bukankah kos berkenaan akhirnya akan jauh lebih mahal?
Memang, sepanjang dia berkuasa, Mahathir telah berkali-kali tanpa rasa segan mengeluarkan kenyataan-kenyataan bodoh di dalam, walaupun dilihat cerdik di luar. Hanya ada seorang yang begitu serius menjawab buah fikiran Mahathir. Dengan gigih, Syed Hussein menuliskan tiga buah buku penting untuk mengilas hujah-hujah utama Mahathir. Tentu malang apabila usaha tekun Syed Hussein tak pernah diperdulikan termasuk di kalangan politisi hari ini yang kemaruk mendamba kuasa.
Apabila Mahathir menuliskan "Dilema Melayu", dengan segala tuduhan bahawa orang Melayu malas secara fitrah, Syed Hussein menjawab dengan buku "Mitos Pribumi Malas". Tunggak hujah Syed Hussein ialah pandangan Mahathir tidak lain telah dicedok daripada propaganda penjajah, khususnya Inggeris yang memakai dakyah serupa di wilayah-wilayah yang mahu dijajahi.
Tujuan dakyah seumpama itu adalah untuk membuatkan pribumi merasakan mereka perlu perlindungan dari "juru selamat". Di Jerman, juru selamat itu pernah bernama Hitler, atau di China bernama Mao. Di era kolonial, juru selamat itu adalah Portugis, Belanda mahupun Inggeris. Selepas merdeka, di Malaysia, Mahathir mencuba untuk mengaitkan watak juru selamat kepada dirinya sendiri. Dan mungkin dia berjaya…
Ditegaskan Syed Hussein, kepimpinan harus muncul dengan gagasan yang munasabah dan jernih, yang datang daripada sifat cintakan ilmu dan semangat falsafah yang jelas. Masyarakat membangun memerlukan kepimpinan idea dan bukan sekadar sosok politik selibriti.
Perkara itu tak wujud, atau tak pernah wujud di Malaysia bukan atas sebab lain, tetapi disebabkan ianya tak pernah difikirkan untuk wujud. Barang diingat, bagaimana segak dan popular sekalipun kepimpinan, tanpa gagasan dan buah fikiran yang terbukti sahih, maka lambat-laun pasti sia-sia. Kuasa pemerintahan sedemikian akan tersungkur akhirnya.
Dalam bab ketiga dari buku "Intelektual Masyarakat Membangun", judulnya "Bebalisme" telah membicarakan masalah ini. Saya ulangi berkali-kali. Saya meyakini, renungan lebih 30 tahun lalu semakin dan semakin jelas nyata berlaku hari demi hari… mahupun selepas lebih sedekad Reformasi; selepas Barisan Nasional (BN) tidak lagi memegang dua-pertiga kerusi di dalam Dewan Rakyat di samping gabungan parti-parti oposisi (Pakatan Rakyat) merasai menang di lima negeri.
Apakah yang ditawar dan dilaksana sebagai alternatif berbanding BN itu semakin baik kepada rakyat dan negeri? Dan jangan lupa, apakah makna yang disebut sebagai "reformasi" sebenarnya?
Bermula dengan meminjam watak Oblomov, dari novel seorang pengarang Rusia, Goncharov; watak berkenaan jadi simbol kritikan terhadap golongan sangat kaya di Russia sebelum Revolusi 1917. Agaknya seperti "Mahathirisme", disebut gejala berkenaan sebagai "Ablomovisme". Lantas apa pula itu "Ablomovisme"?
Itulah sifat yang bagi Syed Hussein, bukan hanya wujud di Rusia. Ia adalah sifat sejagat. Boleh ditemukan di mana-mana, perihal manusia yang malas berfikir, keras kepala yang membatu, lamban, acuh tak acuh sebagai ganti dari usaha gigih. Di dalam konteks masyarakat Melayu, sifat itulah yang disebutkan sebagai "bebal". Bebal pula ialah sifat Pak Pandir daripada kisah hikayat orang-orang Melayu.
Antara ciri utama Pandir dikaitkan pula dengan pribahasa "ibarat tikus baiki labu". Reformasi harus diukur melalui perubahan yang menambah baik kualiti, dan bukannya memburuknya lagi. Agenda reformasi dan perubahan apapun, takkan berjaya sekiranya tak disedari akan wujudnya gejala bebalisme itu, dan risikonya ialah pengganti akan lebih buruk ketimbang yang diganti.
Lalu, saya juga ingat ketika Mahathir mula-mula mahu melaksanakan dasar penggunaan Bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Matematik dan Sains. Tujuannya untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat Malaysia. Dasar berkenaan tercerna bukan sahaja daripada otak yang mengalami krisis logik, tetapi juga bebal. Justeru dapatlah kita fahami bahawa bebalisme adalah petanda kepada apa yang disebutkan awal tadi sebagai authoriarian atau sifat kuku besi. Ia saling kait mengait.
Selepas 13 tahun jejak perjuangan Reformasi 1998, tidakkah kita terfikir mengapa pencapaiannya masih terhad selingkar hal politik kekuasaan sahaja? Lawan kepada bebalisme, ialah pencerahan. Moga-moga nyalaan kesedaran ini sedang mengambil tempatnya.
*Hasmi bin Hashim, seorang aktivis politik, aktif memain peranan sebagai intelektual awam dengan kritikan sosial, politik-kekuasaan dan kebudayaan. Di dalam arena penulisan lirik lagu, beliau antara lain memakai nama pena Buddhi Hekayat. Tulisan ini dipetik dari Jalan Telawi.
Labels:
Komentar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.