KUALA LUMPUR 25 Okt: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan tetap mengadakan demontrasi di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) malam ini, meskipun pihak universiti itu telah menarik penggantungan pensyarahnya, Profesor Dr Abdul Aziz Bari.
Pengerusi SMM, Ahmad Syukri Razab berkata mahasiswa akan tetap meneruskan perhimpunan bagi ‘menyambut’ kehadiran Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein seperti dirancang.
Tegasnya, himpunan ini bagi memberi petunjuk kepada rakyat bahawa mahasiswa bukan sekadar mempertahankan Aziz namun mempertahankan kebebasan akademik.
“SMM masih berpendirian untuk meneruskan perjuangan mempertahankan kebebasan akademik. Perjuangan SMM adalah mempertahankan kebebasan akademik dan bukan hanya mempertahankan Prof Dr Aziz Bari,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menyambut baik keputusan menarik balik penggantungan itu, Ahmad Syukri berkata ia membuktikan UIA menghormati kehendak banyak pihak khususnya mahasiswa yang mahu isu itu diselesaikan segera.
Dalam pada itu, SMM turut menyelar tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membatalkan lawatannya ke UIA malam ini.
“SMM menyifatkan bahawa tindakan Perdana Menteri membatalkan lawatan itu adalah atas dasar takut untuk berdepan dengan mahasiswa,” katanya sambil berkata memorandum pada malam ini akan diserahkan kepada Hishammuddin.
Semalam, UIA menarik balik penggantungan Aziz dan meminta beliau melapor diri kepada Dekan Fakulti Undang-Undang hari ini.
Bagaimanapun, siasatan terhadap Aziz masih berjalan kerana universiti perlu masa menimbangkan dengan teliti jawapan kepada surat tunjuk sebab yang diberikan.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.