25 Oct 2011

Laporan Audit tak berkesan, BN hanya faham bahasa "Peti Undi"

Tuan Ibrahim Tuan Man | Oct 25, 2011 06:44:02 pm

 
Inilah kesimpulan dari Laporan Audit 2010 yang sekali lagi menegur kelemahan ketara dalam pengurusan kewangan negara terutamanya dalam pengurusan projek dan membeli perkakas.

Walaupun Ketua Audit Negara (KAN) telah membuat pelbagai teguran setiap tahun, namun perkara yang sama terus dilakukan, yakni budaya ketirisan, keborosan dan pembaziran yang disemai BN terus subur tanpa sebarang kekesalan.

Mengikut laporan terbaru, antara teguran yang dibuat KAN, ia kelakuan agensi kerajaan yang sangat jelas melanggari undang-undang.  Sebagai contoh, bangunan tambahan Perpustakaan Negara yang diduduki tanpa sijil CF tidak sepatutnya berlaku kerana sebagai sebuah agensi kerajaan, mereka mesti tahu peraturan dan risiko menduduki sesebuah bangunan tanpa Sijil Boleh Menduduki (CF).
Demikian juga teguran terhadap banyaknya projek kerajaan diberi melalui runding terus dan ianya jelas suatu tindakan untuk memberi projek kepada kroni dan mereka yang tidak layak menerimanya.

Antara projek runding terus yang merugikan negara ialah pembelian kuda "sakit" oleh Majlis Sukan Negara.  Daripada 23 ekor kuda yang dibeli dengan harga RM246,000 seekor, hanya lima ekor sahaja layak bertanding.

Selain itu, juga dilaporkan kesanggupan Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) membelanjakan lebih daripada RM128,000, iaitu lebih 2,810% di dalam pembelian pelbagai jenis peralatan.  Antara yang paling menjengkelkan ialah pembelian sebuah binokular pada harga RM56,350 atau 2,805% lebih tinggi daripada harga pasaran RM1,940.

MARA (Majlis Amanah Rakyat) juga tidak kurang hebatnya kerana sanggup membeli ketuhar hampir 300% (RM1,200) lebih tinggi daripada harga pasaran RM419 dan "katil boleh lipat" pada lima kali ganda RM500 yang harga pasarannya RM100.  Keborosan sedemikian ini tidak kena pada tempatnya kerana ia tidak mendatangkan sebarang faedah pada warga MARA.

Selain itu, syarikat-syarikat GLC yang ditegur bertahun-tahun juga terus dilanda kerugian.  Antara yang mencatat kerugian yang besar adalah Syarikat Perumahan Negara Bhd (RM21.4 juta), Indah Water Konsortium Bhd (RM33.4 juta), Aset Global Network Sdn Bhd (RM41.1 juta), Keretapi Tanah Melayu Berhad (RM92.6 juta), manakala Prasarana Bhd (RM367.1 juta).

Pada skop yang lebih besar, hutang negara meningkat 12.3% kepada RM407.11 billion pada 2010 daripada RM362.39 billion di 2009, dan ini merupakan tahun kedua berturut-turut nisbah hutang negara kepada KDNK melebihi50% pada 53.1%.

Semua di atas menunjukkan teguran bahasa audit tidak difahami BN, justeru mereka terus menghampakan rakyat tanpa sebarang perubahan dilakukan.  Maka, jelas yang boleh mengajar mereka ialah peti undi, dan rakyat tidak seharusnya mensia-siakan peluang di petak undi bagi mengajar dan menghukum kerajaan pekak ini.

Kekecewaan ini akan pasti berulang selagi kerajaan yang ada tidak diganti dengan kerajaan baru yang lebih beramanah dan bertanggungjawab.

*Kenyataan media oleh Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar kanan) selaku Ketua Penerangan PAS Pusat.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.