(Oleh: Masdar Wahid)
KUALA LUMPUR 25 Okt: Kengganan Datuk Seri Najib Razak menyahut pelawan debat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuktikan beliau Perdana Menteri paling lemah dalam sejarah negara.Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, Najib sepatutnya mengambil peluang itu untuk mempertahankan Belanjawan yang dibentangkannya di parlimen 7 Oktober lalu.
“Perdebatan mengenai belanjawan ini bukan soal peribadi, jauh sekali persoalan siapa menang siapa kalah.
“Persoalan utama yang wajar dilihat Najib ialah isu rakyat, kerana segala wang dalam belanjawan itu adalah milik rakyat,” katanya kepada Keadilandaily.com.
Menurut Shamsul, debat secara terbuka adalah medan terbaik memberi peluang kepada rakyat menilai Belanjawan yang ditawarkan kerajaan BN dan Pakatan Rakyat.
“Kami juga cukup yakin rakyat Malaysia mahu melihat Perdana Menterinya bukan sahaja berani berkata belanjawannya jujur, tetapi harus kelihatan jujur dengan mempertahankannya,” katanya.
Namun kata Shamsul, sehingga kini, Najib bersikap membisu berhubung pelawaan debat itu, sekaligus menunjukkan beliau tidak berani bersemuka dengan Anwar.
Pada 17 Oktober lalu, Anwar mencabar Najib berdebat secara terbuka mengenai kedudukan ekonomi dan Belanjawan 2012.
Pelawaan itu dibuat ekoran Najib sehari sebelum itu mengkritik belanjawan Pakatan Rakyat kononnya tidak memahami kehendak rakyat.
Anwar berkata, debat itu harus diadakan segera secara terbuka kerana perbahasan Belanjawan di Parlimen lazimnya tidak mendapat liputan meluas dan rakyat tidak mendapat maklumat.
Bagaimanapun, ini bukan kali pertama Najib mengkritik dan menyerang Anwar sebelum mengambil pendekatan berdiam diri.
Pada Pilihan Raya Kecil DUN tenang di Johor Januari lalu, Najib mengkritik Buku Jingga dengan mendakwa Anwar akan demam jika berdebat dengannya.
Namun, beliau membisu apabila Anwar mencabar berdebat mengenai kandungan dokumen berkenan, yang merupakan manifesto bersama Pakatan Rakyat.
Sebaliknya, Najib ketika membentangkan Belanjawan 2012 pada 7 Oktober lalu, meniru beberapa kandungan Buku Jingga, seperti diakui sendiri beberapa menteri kabinetnya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.