SHAH ALAM, 25 Okt: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, Kerajaan Kelantan akan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan tentang perlaksanaan hukum hudud setelah segalanya selesai.
"Kita sebenarnya sudah mengutuskan surat kepada Perdana Menteri bagi menyatakan hasrat kerajaan negeri untuk bertemu beliau membincangkan tentang perlaksanaan hukum hudud di Kelantan.
"Tetapi sebelum kita bertemu dengan beliau, kita perlu dapatkan keputusan dari Jawatankuasa Teknikal Enakmen Jenayah Syariah 2 barulah perkara tersebut kita dapat bentangkan dengan lebih baik," jelasnya pada sidang media selepas program wacana di Kompleks Karangkraf di sini, petang ini.
Katanya, pertemuan rasmi dengan Najib belum ada lagi dan ia akan dilakukan apabila semuanya sudah sedia.
“Manakala untuk jawatankuasa teknikal kita tidak meletakkan tempoh masa kerana kita tahu dalam usaha untuk kita melaksanakan hukum hudud ini kita memerlukan tempoh masa bukannya dalam keadaan tekanan.
"Selesai semuanya kita akan bertemu dengan Perdana Menteri dan nyatakan hasrat kita, apa jua persoalan yang timbul kita akan jawab dengan sebaik mungkin, kalau boleh biarlah Kelantan ini melaksanakan hudud serta menjadi contoh kepada negeri-negeri lain," jelasnya.
Dalam keadaan berseloroh, beliau memberitahu jika terlalu susah untuk pemimpin di atas meluluskan perlaksanaan hudud, secara yang mudah ialah mengubah sahaja kerajaan yang ada sekarang pada pilihan raya yang akan datang.
Jawatankuasa Teknikal Enekmen Jenayah Syariah 2 telah ditubuhkan secara rasmi semalam yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan mempunyai 19 ahli jawatankuasa dari pelbagai latar belakang termasuk agensi penguatkuasa negara.
Antaranya Ketua Polis Kelantan, Datuk Jaluluddin Abd Rahman, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan Abdullah Yakob, Peguam Hisham Fauzi, Ketua Hakim Syarie Datuk Daud, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad, Pengarah Penjara Kelantan, Presiden Peguam Syarie Malaysia dan Senator Mumtaz Md Nawi.
Mohd Amar juga memberitahu sebenarnya Kelantan sudah bersedia dari peringkat asas dalam perlaksanaan hudud yang mana rotan dan juga pegawai yang ditugaskan untuk melaksanakan hukuman sebat juga telah disediakan.
"Rotan untuk hukuman sebatan kita telah simpan di Penjara Pengkalan Chepa begitu juga dengan pegawai yang ingin melaksanakan hukuman tersebut juga telah ada, asas kepada hukuman telah ada hanya tunggu perlaksanaan.
"Kita tidak mahu perkara yang sama berulang pada kes yang lepas di mana mahkamah telah memutuskan hukuman sebat tetapi tidak ada rotan, siapa yang akan lakukan dan juga di mana ia ingin dilakukan. Keadaan ini amat memalukan kita, jadi secara dasar Kelantan sudah bersedia sepenuhnya," sambungnya lagi.
sumber : Harakah Daily |
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.