26 Sept 2011

Undilah BERSIH 2.0

Ooi Heng | Sep 26, 2011 11:25:17 am

Dalam laporan Berita Harian Jumaat lalu (23 September 2011, halaman 4) berjudul "5 wakil BN dalam jawatankuasa tingkat pilihan raya", disediakan kotak "INFO" yang menyenaraikan "Lima wakil BN".  Yang menarik perhatian penulis ialah, identiti kaum (atau etnik?) diketengahkan seolah-olah identiti tersebut merupakan pertimbangan utama semasa pimpinan Barisan Nasional menentukan wakil rakyat yang bakal "menganggotai Jawatankuasa Pemilih Parlimen bagi mengkaji dan menambahbaik sistem serta proses pilihan raya negara".
Menurut kotak "INFO" tersebut, Maximus Ongkili yang dicadangkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa "mewakili Sabah dan kaum Kadazan" dan seumpamanya.  Sedangkan menurut Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, Peraturan Mesyuarat (82) perenggan (1) mensyaratkan bahawa "Seberapa bolehnya tiap-tiap Jawatankuasa Pilihan hendaklah ditubuhkan supaya terbayang di dalamnya kadar parti masing-masing dalam Majlis".  Maksudnya, kadar parti yang diambil kira, bukan kadar kaum atau etnik.

Dewan Rakyat akan kembali bersidang pada 3 Oktober 2011.  Ramai orang sedang menunggu-nunggu feel good factor yang bakal dilakarkan oleh Najib apabila beliau mengemukakan Belanjawan Negara 2012 pada 7 Oktober 2011 nanti, sebelum ketibaan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU Ke-13) yang kini hangat diperkatakan.

Penulisan ini sekadar peringatan kepada sesiapa yang mahukan pembaharuan sistem dan proses pilihan raya selepas gerakan BERSIH 2.0 menguningkan banyak kota di dalam dan di luar negara dengan tuntutan berkaitan, supaya memahami sedikit proses perundangan negara, mengikuti dan mengawasi proses serta penjalanan Jawatankuasa Pilihan Parlimen apabila dewan Rakyat kembali bersidang nanti.

Perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah apa yang diperuntukkan di bawah perenggan (2) Peraturan Mesyuarat (86) yang berbunyi: "Sesebuah Jawatankuasa Pilihan adalah dibenarkan membuat penyata khas berkenaan dengan kuasa-kuasa, tugas-tugas dan perjalanan mesyuarat Jawatankuasa itu atas apa-apa jua yang difikirkannya perlu dibawa kepada perhatian Majlis."

Namun perenggan (4) Peraturan Mesyuarat (83) memperuntukkan bahawa, "Perbincangan Jawatankuasa Pilihan itu hendaklah dihadkan kepada yang diserahkan oleh Majlis kepadanya dan juga kepada apa-apa yang berkenaan dengan perkara itu seperti yang ditambah atau dihadkan oleh Majlis."

Majlis dalam peruntukan-peruntukan di atas merujuk kepada Majlis Dewan Rakyat.  Memandangkan bahawa bilangan wakil rakyat BN mendominasi jawatankuasa tersebut, malah pengerusi yang juga merupakan wakil BN diperuntukkan kuasa, antaranya termasuk, menghadkan masa wakil-wakil berucap semasa perbincangan sesuatu Jawatankuasa Pilihan jika perlu, dan mengeluarkan undi pemutus jika bilangan undi kedua-dua pihak sama banyak (merujuk kepada belahbahagian), maka adalah mustahak bidang kuasa dan perkara berkaitan yang bakal menentukan hasil perbincangan diberikan perhatian yang sewajarnya sebelum jawatankuasa meneruskan perbincangan selanjutnya.

Sebagai pengundi, rakyat merupakan pihak berkepentingan dalam isu pembaharuan sistem dan proses pilihan raya.  Begitu juga gerakan BERSIH 2.0 yang mewakili tuntutan berkaitan dalam bentuk gerakan massa dan gerak kerja masyarakat madani.  Lantaran itu, setiap mesyuarat jawatankuasa tersebut sepatutnya dimaklumkan kepada rakyat melalui kenyataan akhbar atau pengumuman berbentuk iklan dan bukannya dirahsiakan daripada pengetahuan umum.

Menurut perenggan (2) Peraturan Mesyuarat (83), "Sesebuah Jawatankuasa Pilihan berkuasa memanggil orang hadir di hadapannya atau meminta dikeluarkan surat-surat", sementara menurut perenggan (7A) Peraturan Mesyuarat (83), "Dengan izin Jawatankuasa Pilihan, pihak-pihak yang mana kelakuannya adalah menjadi hal perkara, atau satu daripada hal perkara penyiasatan oleh Jawatankuasa Pilihan itu, atau hak-hak dan kepentingan-kepentingan adalah terjejas secara langsung oleh perkara yang telah dirujukkan kepada Jawatankuasa Pilihan itu bagi pertimbangan, boleh hadir sendiri atau boleh diwakili oleh peguam".

Pengumuman mesyuarat jawatankuasa termasuk tarikh, masa dan tempat adalah penting untuk pengetahuan rakyat.  Selain itu, sesiapa yang mempunyai bukti atau bahan penting yang ingin dikemukakan harus mengambil perhatian terhadap penetapan berikut seperti yang diperuntukkan dalam perenggan (9) Peraturan Mesyuarat (83):

"Apabila hendak disoal siapa-siapa saksi, maka ahli Majlis yang hendakkan saksi-saksi itu hendaklah menghantar kepada Setiausaha suatu senarai mengandungi nama, alamat dan pekerjaan tiap-tiap saksi itu sekurang-kurangnya sepuluh hari (tekanan penulis) sebelum hari yang ditetapkan hendak disoal saksi-saksi itu."

Pemahaman prosedur dan penetapan yang diperuntukkan oleh Peraturan Mesyuarat adalah penting apabila tuntutan pembaharuan sistem dan proses pilihan raya memasuki peringkat Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang melibatkan proses perundangan.

Memandangkan bahawa proses tersebut disyaratkan oleh sesetengah prosedur dan bakal melengahkan masa, jika Kerajaan BN mahukan pembaharuan dilakukan dengan kadar segera tanpa terjejas khususnya kerana ketibaan PRU Ke-13, pertimbangan wajar diberikan terhadap penubuhan Jawatankuasa Bersama yang melibatkan kedua-dua Majlis Dewan Rakyat dan Majlis Dewan Negara dan bukan sekadar Jawatankuasa Pilihan sesebuah Majlis.  Cadangan ini juga wajar dibangkitkan sebagai suatu tuntutan bagi memendekkan suatu proses yang cukup mustahak buat seluruh rakyat Malaysia hari ini.

Baru-baru ini, Wikileaks sekali lagi menggemparkan bumi Malaysia dengan pendedahan bahawa bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Rashid Abdul Rahman mengakui pernah mengeluarkan lebih 60,000 kad pengenalan palsu kepada pekerja asing di Sabah sekitar 1990-an, atas arahan UMNO.

Pendedahan tersebut memetik bekas ketua NGO pemantau pilihan raya MAFREL Malek Husin (gambar kanan) sebagai mendakwa Rashid mengakui perkara itu dalam pertemuan peribadi di rumahnya pada 25 Oktober, 2006.  Malek dilaporkan memberitahu pegawai Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur bahawa Rashid mengesahkan UMNO melancarkan kempen "kotor" sekitar 1990-an untuk merampas Sabah - yang dikuasai PBS, ketika itu pembangkang, pada 1994.

Dalam isu ini, Rashid menafikannya sementara Malek mempertahankannya.  Tambahan juga, pelbagai dakwaan sama ada yang dilaporkan mempunyai bukti mahupun yang belum dikemukakan telah mengisi ruang perbincangan dunia siber saban hari.  Sementara media cetak memberikan ruang yang kurang berbanding portal berita atas talian, tuntukan BERSIH 2.0 dan segala pendedahan berkaitan baru-baru ini sekali lagi memperlihatkan kewajaran, malahan keperluan proses pembaharuan sistem pilihan raya dilaksanakan dan disempurnakan dalam masa tersingkat.

Apabila proses pembaharuan sistem pilihan raya dilengah-lengahkan kerana keazaman politik yang tidak cukup kuat, apabila PRU ke-13 diadakan nanti, pengundi yang bijak tahu apa yang perlu dilakukan.  Jika sekiranya gerakan BERSIH 2.0 tidak mampu mengubah wajah sistem dan proses pilihan raya, hal ini bermaksud PRU ke-13 bakal mencatatkan detik sejarah rakyat bangkit menuntut pembaharuan sistem pilihan raya melalui proses pilihan raya itu sendiri.

*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.