TERENGGANU: Kerajaan dicabar mengumumkan hasil cukai terbaru melibatkan syarikat-syarikat besar yang mengaut keuntungan tinggi, kata Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail.
Ini kerana terdapat syarikat besar yang mempunyai kepentingan kepada kerajaan Barisan Nasional(BN) sebelum ini didakwa mengelak dari pembayaran cukai yang sepatutnya menyumbang hasil negara.
“Jangan biarkan orang tertentu yang mewah mengelak dari membayar cukai, dan kita cabar kerajaan umumkan adakah mereka dikenakan cukai dan membenarkan audit menyeluruh dan umum hasil penyiasatan mereka,”
“Perkara ini telah berlaku lama, syarikat kaya mengelak dari cukai seperti syarikat-syarikat di bawah Berjayagroup, berkaitan dengan perniagaan perjudian malah yang terlibat dalam industri pembinaan,” katanya.
Kerajaan pada Mei lalu mengumumkan untuk mengurangkan cukai individu dan korporat yang akan dibentangkan di parlimen pada Oktober ini.
Dengan pengenalan Cukai Barang dan perkhidmatan (GST), kerajaan berharap dapat mengurangkan paras defisit negara ini yang kini berada pada paras 5.0 peratus kepada antara 2.8 peratus dan 3.0 peratus
Kata Azan, kerajaan sepatutnya mempercekapkan pengurusan pengutipan cukai yang sedia ada dan bukannya mengambil jalan mudah membebankan rakyat dengan GST.
“Ketidakcekapan nampak jelas dan nyata mengenai cukai yang dikutip. Saya percaya hanya 40-50% yang dapat dikutip dari yang sepatutnya separuh lagi tidak berjaya dipungut disebabkan mempunyai kepentingan dengan Umno,” katanya.
Menurut Azan walaupun Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bertungkus-lumus mengutip cukai namun ia terbatas kerana Menteri Kewangan diberi kuasa di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, Seksyen 129 (a)(b) (c) yang memberi kuasa Menteri untuk menghapuskan cukai.
“Cukai RM100juta yang sepatutnya dikenakan (pada syarikat) tetapi tidak perlu membayar apa-apa sekiranya mendapat pengecualian dari pihak berkuasa,” ujar nya.
Tambahnya trend ini telah berlaku berpuluh-puluh tahun dan syarikat ‘kroni’ ini yang sepatut menyumbang hasil negara tapi dimanipulasi cukai mereka agar dapat mengelakkan dari pembayaran cukai.
Dalam pada masa sama, beliau menyeru agar rakyat tidak terperangkap dengan isu-isu yang hanya bermotif politik dimainkan di media arus perdana hanya untuk mengalih perhatian seperti yang terbaru isu perlaksanaan hudud yang sedang hangat diperkatakan hari ini.
Sementara itu Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Abdul Rahman Yusof turut mengecam tindakan sesetengah syarikat besar yang mengelak dari dikenakan cukai oleh kerajaan.
“Banyak syarikat yang tidak berdaftar dan punyai pelbagai cara mengelak dari cukai. Sepatutnya kerajaan perlu pantau syarikat yang mengaut keuntungan yang banyak mengelak dari dikenakan cukai dan bukannya melaksanakan GST, ” katanya.
sumber : Keadilan Daily
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.