Isu pendidikan harus menjadi prioriti utama oleh kerajaan dalam usaha untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang mempunyai daya intelek yang mampu menterjemahkan aplikasi pengetahuan dalam bentuk yang praktikal bagi mewujudkan sebuah kebudayaan yang beretika serta peningkatan dan pengembangan dalam aspek pembangunan fizikal.
Namun, bagi melaburkan modal insan sebagai pelaburan mutlak dalam masyarakat, peruntukan dana melalui subsidi pendidikan mahupun pinjaman merupakan salah satu usaha yang realistik bagi mencapai tujuan pendidikan.
Antara isu yang berkaitan dengan pinjaman dalam pendidikan adalah isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Asasnya, PTPTN telah ditubuhkan di bawah akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) yang mula berkuatkuasa pada 1 Julai 1997 berobjektifkan untuk memastikan pembiayaan yang efisien disediakan kepada pelajar yang layak mengikuti pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) selaras dengan hasrat kerajaan bahawa tidak ada pelajar yang gagal memasuki IPT atas sebab-sebab kewangan.
Berdasarkan kepada asas yang diutarakan, seharusnya usaha murni kerajaan bagi menyediakan pinjaman kepada para pelajar yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi harus disambut baik, namun, terdapat beberapa perkara yang seharusnya dinilai secara terperinci dalam usaha untuk menjadikan institusi ini benar-benar bersifat membantu, bukan membebankan.
Antara isu yang diutarakan berkenaan dengan PTPTN adalah isu pemberhentian pinjaman kepada pelajar yang tidak melepasi gred 2.0. Suatu perkara yang harus diperhatikan adalah para pelajar yang tidak mencapai gred yang sepatutnya, apabila pinjaman mereka diberhentikan, kesan yang akan diterima adalah, pemberhentian daripada melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan tinggi disebabkan masalah kewangan atau menerima tekanan untuk mencari dana sendiri sekiranya ingin terus melanjutkan pelajaran.
Secara dasarnya, peluang harus diberikan kepada pelajar ini untuk meningkatkan prestasi akademik mereka melalui penyaluran pinjaman PTPTN. Perkara ini seharusnya bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk melaksanakan konsep pendemokrasian pendidikan.
Begitu juga, seorang pelajar yang diisytihar muflis, secara automatik, pembiayaan yang diterima akan diberhentikan secara serta merta.
Logiknya, seorang pelajar meminjam kerana tidak berkemampuan dalam usaha untuk meningkatkan tahap kehidupan mereka dari peringkat mentaliti bawah kepada mentaliti yang lebih tinggi seiring dengan perkembangan kemahiran melalui pelajaran. Pelaburan dalam pendidikan inilah yang menjadi modal yang mahal untuk pelaburan masa hadapan.
Namun, apabila pelajar yang diisytiharkan muflis diberhentikan terus pinjaman, maka, potensi yang dimiliki oleh pelajar tersebut tidak mampu untuk dikembangkan.
Isu ini seharusnya dibezakan dengan pemberian pinjaman oleh institusi kewangan kepada peminjam muflis, atau peluang kedua kepada golongan yang telah disenaraihitamkan daripada institusi kewangan.
Penggunaan dana untuk pendidikan lebih bersifat membantu pelajar tersebut melaburkan dirinya sebagai modal, manakala pinjaman daripada institusi kewangan kepada peminjam muflis yang bertujuan untuk perbelanjaan kemewahan adalah bersifat pembaziran dan memerlukan kawalan kewangan.
Selain itu, isu pembayaran balik pinjaman PTPTN juga seringkali dibincang dan diperdebatkan. Telah dinyatakan bahawa tempoh mula bayaran balik pinjaman adalah bermula enam bulan selepas tamat pengajian atau pembiayaan pendidikan.
Dalam hal ini, sekiranya dilihat dari sudut tempoh masa, seharusnya para peminjam perlu membayar semula pinjaman tersebut bermula sahaja enam bulan selepas berakhirnya pembiayaan mahupun tamat pengajian sama ada telah ataupun belum mendapatkan pengajian.
Namun, ada kondisi yang lebih lunak kepada peminjam yang belum mendapatkan pekerjaan, maksimum penangguhan yang diberikan adalah selama 24 bulan dari tarikh mula bayar balik pembiayaan pendidikan. Walaupun penangguhan diberikan, kadar cas 1% yang bersifat tahunan akan terus dikenakan menyebabkan peminjam perlu membayar lebih daripada kadar yang sepatutnya.
Pokoknya, hutang mesti dibayar.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab untuk setiap peminjam mencari jalan keluar bagi menjelaskan hutang tersebut dengan mencari pekerjaan. Namun, perlu diperhatikan juga, dalam mencari pekerjaan, mereka terpaksa bersaing dengan golongan yang tidak melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi serta graduan yang masih lagi mencari pekerjaan. Persaingan untuk mendapatkan pekerjaan menyebabkan berlakunya pengangguran yang tidak dapat dielakkan yang diterjemahkan melalui graf, anggaran kadar pengangguran di Malaysia adalah sekitar 3%.
Kesannya, mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap mahupun menganggur akan terus menanggung hutang PTPTN selain cas tahunan yang dikenakan serta perbelanjaan kehidupan seharian. Akibatnya juga, tidak hairan sekiranya, ramai yang menjadi papa dalam usia yang muda.
Di samping tanggungjawab membayar hutang itu dilaksanakan, platform untuk mencari kewangan harus disediakan dari pihak kerajaan. Pengumuman pakej rangsangan ekonomi bagi memacu pertumbuhan ekonomi mapan tidak seharusnya bertujuan untuk menilai Keluaran Dalam Negara Kasar yang tinggi serta Keluaran Dalam Negara Kasar per kapita yang mana secara realitinya tidak mempamerkan distribusi yang sekata serta jurang yang rapat antara golongan kaya dan miskin. Data pengangguran daripada para siswazah harus dititikberatkan dalam usaha untuk memastikan golongan ini sekurang-kurangnya mempunyai pekerjaan tetap.
Oleh itu, isu berkenaan dengan PTPTN tidak seharusnya meletakkan kesalahan itu kepada peminjam, sebaliknya perlu dilakukan analisis secara kritikal terhadap pelaksanaan serta instrumen pembayaran tersebut iaitu melalui penyediaan platform bagi penciptaan peluang pekerjaan kepada golongan ini. Penyediaan kepada pinjaman itu adalah merupakan usaha murni, namun, penciptaan kepada pekerjaan, hasil daripada peluang pendidikan yang dinikmati itu merupakan usaha yang lebih murni, di samping mampu memacu pertumbuhan ekonomi yang utuh. Hasrat kewujudan tenaga kerja yang ramai selaras dengan matlamat wawasan 2020 perlu diselaraskan dengan kewujudan peluang pekerjaan.
Penulis adalah Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UIAM
sumber : Harakah Daily |
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.