17 Sept 2011

Tindakan terdesak seorang anak bangsawan

Ooi Heng | Sep 16, 2011 11:16:43 am
 Ekonomi dunia semakin tidak menentu.  Keadaan ekonomi tahun depan mungkin lebih teruk berbanding akhir tahun ini.  Tambahan lagi, khabar angin bahawa wujud desakan dalaman UMNO memaksa Perdana Menteri Najib melepaskan jawatannya mulai bertiup malah semakin hari semakin kencang.  Najib tidak mempunyai banyak pilihan dalam situasi sedemikian.  Kehilangan sokongan UMNO menjadikan sokongan luar lebih penting sekarang.

Dalam keadaan terdesak, Najib (gambar kiri) terpaksa mengambil tindakan drastik dalam percubaannya untuk mendapatkan sokongan rakyat.  Kalau selepas Pilihan Raya Umum 2008 UMNO memerlukan Najib dengan retorik dan popularitinya untuk menenteramkan kemarahan rakyat terhadap keangguhan dan segala bentuk kecacatan dasar serta penyelewengan yang dikaitkan dengan UMNO dan pemimpin UMNO, kini populariti Najib jatuh dan dilihat sebagai liabiliti UMNO yang bakal menenggelamkan UMNO kalau dibiarkan terus memegang tampuk pimpinan.

Baru-baru ini, desas-desus Najib berdepan dengan tekanan dalaman UMNO kelihatan lebih jelas berikutan penerbitan sebuah buku berjudul "Tak berubah, faktor Rosmah & pola Sarawak petanda BN The End, Najib Perdana Menteri Terakhir..." oleh Shahbudin Husin yang memegang jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Wangsa Maju dari 2004 hingga 2008.

Meksipun Persatuan Bekas-bekas Wakil Rakyat UMNO (Penawar) telah menafikan laporan blog bahawa pihaknya telah memutuskan untuk meminta Najib meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, namun perkembangan terkini nampaknya memperkukuh dakwaan bahawa wujud kuasa politik yang mahukan Najib melepaskan jawatannya.

Mahathir baru sahaja menyarankan agar jangan diawalkan pilihan raya umum akan datang, Najib pula mengambil tindakan yang bercanggah dengan kemahuan Mahathir seperti yang pernah dilakukan oleh Pak Lah, dengan membuat pengumuman pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan seumpamanya yang dilihat sebagai indikator ketibaan pilihan raya umum dalam jangka masa yang lebih pendek.

Tindakan tersebut juga dapat dilihat sebagai percubaan Najib untuk mendapat sokongan rakyat agar dapat berdiri teguh sebagai seorang pemimpin negara yang memegang kuasa dan membuat keputusan.  Maksudnya Najib enggan menunduk kepada kuasa dalaman UMNO yang semakin hari semakin tidak puasa hati dengan beliau dan juga peranan Rosmah dalam pentadbirannya.

Dalam buku setebal lebih 300 halaman dan 25 bab yang disifatkan oleh penulis buku sebagai "menegur Najib selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri", bukan bertujuan "mengkritik parti", secara jelas kritikan tersebut cuba mengasingkan Najib daripada UMNO.  Khususnya dalam kritikan tajam terhadap tindak-tanduk Rosmah, penulis buku menyifatkan faktor Rosmah bakal menjahanamkan UMNO dalam pilihan raya umum akan datang seperti mana faktor Khairy Jamaluddin semasa Pilihan Raya Umum 2008.  Masih ingatkah serangan Mahathir terhadap Pak Lah bahawa wujud campur tangan pentadbiran oleh sekumpulan "budak Tingkat 4" pada ketika itu?  Persoalan seumpama juga dibangkitkan oleh Shahbudin Husin berhubung peranan dan campur tangan Rosmah dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan pimpinan seorang anak bangsawan bergelar Najib.

"Sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib melakukan banyak kelemahan, disebabkan oleh kepimpinannya, masalah yang disebabkan oleh isterinya."

"Tidak pernah dalam sejarah Malaysia, seorang Perdana Menteri diragui rakyat sebegini rupa."

"Jika dihitung, luahan rasa kecewa, tidak yakin malah keraguan lebih banyak kedengaran berbanding sanjungan dan keyakinan."

"UMNO dan kerajaan yang diterajui Najib dipertikai hampir dari semua sudut sebenarnya."

"… isu campur tangan isteri dan penglibatan beberapa pegawainya yang didakwa rasuah dan salah guna kuasa, semuanya menjurus kepada semakin meningkatnya ketidakyakinan rakyat terhadap beliau."

Bayangkan, komen-komen sedemikian bukan datang daripada Pemuda KEADILAN atau Pemuda PAS, tetapi Pemuda UMNO.  Bayangkan juga, bagaimana Pak Lah yang juga merupakan anak seorang ulama tumbang selepas Pilihan Raya Umum 2008 tetapi UMNO masih berdiri angkuh memainkan segala isu yang bercanggah dengan prinsip dan dasar sebuah kerajaan yang adil dan saksama.

Dengan kata lain, tidak cukup sekadar menukar pemimpin.  Apabila wujud sebuah parti yang memberikan harapan, adalah wajar pemimpin bermasalah dalam parti tersebut ditukarkan agar parti tersebut dapat bertindak secara gagah membawa perubahan secara dasar kepada negara.

Tetapi, apabila wujud sebuah parti yang terlalu korup sifatnya, tidak cukup sekadar menukar pemimpin dan mengharapkan pemimpin baharu dapat membawa harapan baharu berlandaskan sebuah parti yang korup.  Harapan baharu datang daripada perubahan secara dasar dan pembaharuan keseluruhan.  Dalam konteks Malaysia hari ini, pertukaran parti yang memerintah lebih penting daripada pertukaran pemimpin sebuah parti.  Jangan lagi rakyat mengulangi sejarah pertukaran pemimpin UMNO tanpa menukarkan UMNO.  Sebarang tindakan drastik setelah mengambil kira percaturan politik realiti tidak bermakna parti yang memerintah mampu berubah secara dasar dan menyeluruh.

Syabas kepada Najib kerana membuat pengumuman pemansuhan ISA dan seumpamanya.  Idea perubahan termaktub dalam Buku Jingga.  Kini pelaksanaan Program 100 Hari Pertama oleh Pakatan Rakyat apabila mendapat mandat rakyat nampaknya diawalkan ekoran Najib terdesak untuk berbuat demikian.  Tetapi pengumuman tersebut sekadar langkah awal berkaitan perubahan besar yang dinanti-nantikan oleh rakyat terbanyak.

Sama ada ahli Parlimen UMNO yang lain dan juga Perkasa memberi sokongan kepada usul kerajaan ekoran keperluan proses perundangan berhubung pengumuman-pengumuman berkaitan dimulakan masih tidak menentu.  Dewan Rakyat akan bersidang pada 3 Oktober 2011.  Empat hari pertama akan diperuntukkan untuk bacaan pertama, kedua dan ketiga rang undang-undang sama ada yang melibatkan pindaan atau penggubalan akta baharu.

Melihat kepada perkembangan baru-baru ini.  Kerajaan Persekutuan telah memperkenan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berhubung tuntutan pembaharuan sistem pilihan raya yang begitu terserlah dalam konteks gerakan BERSIH 2.0 yang juga memperlihatkan kemarahan dan ketidakpuasan rakyat terhadap pentadbiran Najib yang disifatkan sebagai represif.

Bermula pada 7 Oktober 2011, Najib akan membentangkan Belanjawan Negara 2012.  Seterusnya, sidang dewan akan menumpu kepada perbahasan belanjawan sehingga 29 November 2011.  Kalau jadual sidang dewan diikuti tanpa perubahan, dua hari terakhir sidang dewan yakni 30 November 2011 dan 1 Disember 2011 barulah dewan kembali menguruskan perkara rang undang-undang.

Maka persoalannya, dalam keadaan di mana peruntukan hari untuk urusan rang undang-undang sekadar enam hari secara keseluruhan, dapatkah usul-usul berkaitan dengan pengumuman Najib diuruskan secara menyeluruh dan memuaskan?  Persoalan seterusnya, apabila tumpuan dewan adalah terhadap urusan Kerajaan Persekutuan ekoran pengumuman Najib, apakah urusan pembaharuan sistem pilihan raya bakal diketepikan?

Pengumuman semalam oleh Najib melibatkan pemansuhan dan pindaan bilangan akta yang banyak, antaranya termasuk:

1.Perlembagaan Persekutuan;
2.Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960;
3.Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) (No. 5) 1969;
4.Akta Kediaman Terhad 1933;
5.Akta Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1964;
6.Akta Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1979;
7.Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984;
8.Akta Buang Negeri 1959;

Kalau Najib memegang kuat kepada prinsip yang berkait rapat dengan pengumumannya, masa yang cukup harus diperuntukkan untuk urusan dewan berkaitan di mana pertimbangan juga harus diberikan kepada urusan-urusan seperti kemungkinan memansuhkan sama sekali keperluan permohonan lesen penerbitan dan digantikan dengan pendaftaran bersifat administratif, menghadkan kuasa Menteri dengan mengizinkan keputusan Menteri dicabar dalam Mahkamah dan sebagainya.

Sesungguhnya, berikutan pemansuhan ISA dan ordinan darurat, Kerajaan Persekutuan patut mengemukakan usul meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya mangsa tahanan tanpa bicara, malahan patut mengemukakan usul memberi pampasan kepada semua mangsa berkaitan.  Masih ingatkah Najib bahawa terdapat kes Mahkamah menolak permohonan rayuan bekas tahanan ISA, Abdul Malek Hussein yang hilang pampasan RM2.5 juta setelah Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan kerajaan untuk mengetepikan tuntutan samannya?

Tanggal 7 April 2011, Rang Undang-Undang Ahli Persendirian "Akta Pemansuhan Darurat" yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah (gambar kiri) ditolak dalam kamar.  Serupa dengan sejarah kemerdekaan di mana UMNO "menyambut kemerdekaan" setelah tanah jajahan melalui fasa "orang-orang yang berjuang menentang British, yang mendapat hasilnya ialah orang-orang yang bekerja dengan British", kini tuntutan yang dibangkitkan oleh Nurul Izzah dijadikan produk imej demokrasi seorang Perdana Menteri demi kelangsungan hayat politiknya.

Melihat kepada bilangan hari dan bilangan usul yang perlu diuruskan oleh dewan, seorang Perdana Menteri yang berazam melakukan transformasi politik secara berimpak akan memanjangkan bilangan hari persidangan dewan, bukan memanggil pilihan raya umum.


sumber : Merdeka Review

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.