September 16, 2011

Dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia malam tadi, Perdana Menteri mengumumkan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.
Najib turut mengumumkan bahawa kerajaan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.
Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Shamsul Iskandar
Shamsul Iskandar berkata pihaknya berpandangan bahawa sistem demokrasi negara harus dianjak ke satu tahap kematangan yang lebih berani selepas negara sudah 54 tahun mencapai kemerdekaan dan Malaysia pula berusia 48 tahun.
“Isu-isu persoalan sistem pilihan raya yang terpalit dengan penyelewengan yang masih tidak berjawab, isu-isu kelangsungan generasi muda khususnya mahasiswa melalui penguatkuasaan (Akta Universiti dan Kolej Universiti) AUKU, dan beberapa hal lain, masih menunjukkan demokrasi Malaysia masih belum punyai keberanian untuk dianjak selagi mana hegemoni Umno-BN masih berkuasa.
“Isunya bukan soal memberi kelebihan kepada pembangkang mahupun pemerintah. Isunya ialah bagaimana menghidupkan roh demokrasi ini kepada rakyat, ini mauduk utama yang harus difikirkan bersama,” kata beliau lagi.

Khairy Jamaluddin
“Namun demikian, segala perubahan ini juga menuntut kepada anjakan minda dan kesediaan semua untuk kita memacu agenda transformasi ini dengan tuntas dan deras.
“Yang berat kita junjung, yang ringan kita jinjing, oleh itu, saya menyeru kesemua rakyat untuk kita semua bersama-sama menyokong dan menyahut seruan Perdana Menteri bagi melahirkan era politik baru berlandaskan demokrasi, kebebasan dan keadilan,” kata beliau yang juga Ketua Pemuda BN.
Katanya, beliau mengucapkan syabas kepada Najib dan kerajaan Malaysia yang diterajui BN atas pengumuman beberapa inisiatif penting dalam transformasi politik negara malam tadi, yang merangkumi pemansuhan, kajian semula dan penggubalan pelbagai akta.
Beliau juga berkata, medan dan perbatasan politik masa kini menuntut kepada pendekatan substantif berupa hasil, aksi dan tindakan dan bukannya tawaran wayang kulit, berupa lakaran janji dan retorik.
“Sehubungan itu, langkah berani dan jitu Perdana Menteri membuktikan bahawa transformasi politik dan juga ekonomi yang diketengahkan oleh kerajaan adalah bersifat konkrit dengan ketegasan kepimpinan dan gerak kerja yang serius bagi memastikan kejayaannya,” kata beliau lagi.
sumber : Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.