17 Sept 2011

Malaysia menuju muflis, malapetaka ekonomi- Anwar

Ketua umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia menuju ke arah muflis jika negara ini terus ditadbir di bawah Umno- Barisan Nasional dan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan pada 25 Oktober lalu memberi amaran bahawa nisbah hutang negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar telah melepasi paras 50 peratus buat kali pertama dalam sejarah negara,” ujarnya ketika mengadakan sidang media di Ibu pejabat Keadilan tengahari tadi.
Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Najib semalam yang mendakwa negara akan muflis sekiranya Pakatan Rakyat melaksanakan program 100 Hari Pakatan Rakyat, sepertimana yang terkandung dalam Buku Jingga yang dilancar  bulan lalu.


“Tuduhan beliau bahawa janji Pakatan Rakyat akan menjadikan negara muflis adalah dangkal kerana hakikatnya Umno-BN yang berhutang setiap tahun sehingga hutang negara menggunung,” ujar Anwar.

Menurut Anwar, Malaysia akan mengalami malapetaka ekonomi di bawah pentadbiran Najib berikutan hutang kerajaan yang melambung.

Pada tahun 2009 sahaja katanya, hutang Malaysia meningkat kepada RM362.39 bilion atau 53.7 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Malapetaka ekonomi ini berlaku di bawah pentadbiran Perdana Menteri sekarang sebagai Menteri Kewangan,”  kata Anwar.

Anwar berkata, pada tahun lalu, kerajaan melancarkan 19 program jualan bon membabitkan hutang tambahan bernilai RM58.1 bilion dan  mengumumkan menjual 29 lagi bon tambahan pada 2011, membabitkan hutang baru kerajaan persekutuan berjumlah RM83 bilion.
“Malaysia sememangnya sedang menuju ke gerbang kemuflisan jika Umno-BN terus berhutang sewenangnya seperti sekarang, tetapi ia bukan lah disebabkan oleh Janji 100 Hari Pakatan Rakyat.
“Malaysia akan muflis akibat ketagihan Umno-BN kepada pembaziran dan rasuah yang berleluasa, demi mempertahankan sistem kroni kapitalisme yang didokong Umno-BN,” tegas Anwar.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=4474

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.