17 Sept 2011

Malapetaka Rosmah dan Najib (Oleh: Isham Rais)

KALI ini saya meminta para pembaca terbuka hati untuk melupakan segala fitnah dan tohmah yang telah dilemparkan kepada Rosmah dan Najib. Saya ingin membawa pembaca kepada politik nyata. Politik tentang kelas, ekonomi dan masa depan negara ini. Seperti yang sering saya tuliskan – kuasa politik ialah kuasa ekonomi. Siapa menguasi ekonomi akan menguasai politik. Ini politik nyata yang dieja dengan  huruf k.

Para pembaca yang budiman, sila lupakan cerita dari Lebai Desas anak Desus yang mengatakan bahawa Najib pernah beranak dan beristeri dengan orang putih. Ini bukan politik. Lupakan juga cerita tentang Rosmah berhasrat agar anaknya akan berkahwin dengan anak Sultan Brunei. Ini bukan politik. Lupakan juga kisah Rosmah menggunakan khidmat bomoh dari India. Ini bukan politik. Jangan terikut-ikut dengan kisah ‘nasi kangkang Rosmah’. Ini hanyalah labon-labon Mak Cik Felda sambil-sambil makan kuaci ketika menunggu suami pulang dari ladang.
Saya mahu para pembaca sedar tentang politik dan ekonomi negara kita ini. Saya ingin membawa pencerahan agar para pembaca dapat menilai garis dan dasar negara. Saya juga mahu para pembaca dapat memahami dan menganalisa bukan sahaja politik tanah air malah dapat memahami politik dan ekonomi dunia. Ertinya, saya berharap tulisan ini akan membawa pencerahan untuk melahirkan fikrah yang kritikal. Dengan fikrah yang kritikal, tidak mungkin hidung pembaca akan dapat diikat.
Justeru saya ulangi lagi tentang makna dan tanda Nakba. Saban tahun, warga Palestin akan menyambut hari Nakba pada 15 Mei. Tarikh ini ialah hari malapetaka yang menimpa bumi Palestin apabila Israel diwujudkan pada 15 Mei 1948. Kita di Tanah Melayu ada hari  Nakba – hari Malapetaka. Pada tarikh 31 Ogos setiap tahun ialah hari Malapetaka untuk kita. Ini kerana pada 31 Ogos 1957 dahulu, United Malay National Organisation telah dinaikkan taktha oleh penjajah British. Di tarikh inilah bermulanya Malapetaka dan musibah menimpa kita semua.
Setiap tahun semenjak 31 Ogos 1957, Tanah Melayu telah menyambut Hari Malapetaka ini. Ertinya selama 54 tahun Malapetaka telah menimpa kita. Memang betul, pada awalnya ramai warga tidak memahami apa yang saya paparkan. Tetapi generasi muda agak terbuka dan selesa untuk memahami dan menerima konsep Malapetaka ini. Sedikit demi sedikit kesedaran telah sampai. Tahun demi tahun pemahaman tentang 31 Ogos semakin meluas untuk difahami umum.
Contohnya: warga Tanah Melayu kini telah sedar bagaimana mereka telah ditipu dengan lagu Negara-ku. Dengan bantuan Lebai Google, warga telah melihat bukti bahawa Negara-ku adalah lagu ciplak. Melalui YouTube, warga juga telah melihat dengan jelas bahawa Negara-ku ini tidak ada sangkut paut dengan ‘kebangsaan’ Tanah Melayu. Negara-ku, Memula Moon atau Terang Bulan bukan ciptaan anak watan Tanah Melayu.
Begitu juga dengan bendera Malaysia yang berkibar sebagai lambang negara kita. Ini juga hasil ciplakan dari bendera Amerika. Jalurnya ialah jalur Star-Spangled Banner dan tidak ada apa-apa yang gemilang pada bendera ciplakan ini. Kerajaan United Malay National Organisation sering mengancam untuk menghukum sesiapa yang tidak hormat kepada bendera dan lagu ciplakan ini. Mengancam dan menghukum untuk mendapat penghormatan adalah ciri asli Malapetaka yang menimpa kita.
Pada Ogos 2011 ini, musibah Malapetaka ini semakin jelas. Malah musibah Malapetaka semakin menjadi-jadi apabila Rosmah dan Najib menggantikan Abdulal Badawi di Putrajaya. Malapetaka pertama yang dibawa oleh Rosmah dan Najib ialah pembunuhan Altantuya. Memang betul kes ini diperlihatkan  seolah-olah telah selesai. Tetapi, sedarlah wahai pembaca yang budiman bahawa dalam politik nyata,  kes Altantuya ini masih hidup dan bergerak ligat.
Pembunuhan Altantuya ini adalah Malapetaka yang membawa tergadainya tanah Keretapi Tanah Melayu di Singapura. Tanah yang bernilai tinggi ini telah ‘dicekup’ oleh Singapura. Pasti para pembaca akan bertanya apa kaitan Altantuya dengan tanah KTM? Kehilangan tanah ini ialah Malapetaka ekonomi untuk kita semua. Justeru apa kaitan Altantuya?
Untuk memahami Malapetaka ini, biar saya gunakan metapora bom nuklear Israel. Israel dari zaman Monshe Dayan, Golda Meir, Shimon Peres tidak pernah mengakui sama ada Israel memiliki bom nuklear atau tidak. Dari segi strategi, pertahanan ini penting kerana  dasar ‘entah ada entah tidak ini ‘akan menjadikan manusia Arab sentiasa was-was dan gentar. Tidak ada kepastian ini adalah strategi yang amat menakutkan.
Inilah taktik yang sedang dijalankan oleh Singapura kepada Rosmah dan Najib. Umum tahu melalui akuan bersumpah P Balasubramaniam bahawa Najib telah menemukan Razak Baginda dengan Altantyuya yang ketika itu ‘penyedap’ Najib di pertunjukan Intan Berlian di Pulau Sentosa. Jadi apa hebatnya?
Yang hebat ialah ada kemungkinan polis rahsia Singapura telah mengambil gambar Najib dan Altantuya ketika mereka berada di Singapura. Justeru seperti rejim Arab yang merasa cuak dengan bom nuklear Israel, Najib juga akan sentiasa merasa takut dengan ‘bom gambar’ Singapura. Najib tidak akan tahu sama ada Singapura ada gambar itu atau tidak. Untuk Singapura pula ada atau tidak gambar ini bukan penting. Yang penting ialah Najib akan sentiasa takut. Ketakutan Najib ini membutakan Najib mengikut  apa sahaja khendak Singapura. Termasuk menjualkan tanah KTM dengan murah. Ini ialah Malapetaka untuk kita semua.
Ketakutan Najib ini juga sedang dimainkan oleh Amerika dan Australia. Dua kerajaan ini tahu bahawa Najib terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya. Dari Wikileaks kita diberitahu bagaimana Pak Duta Amerika memberi laporan terperinci kepada Rumah Putih tentang keterlibatan Najib dengan pembununuhan ini. Najib terus merasa takut. Najib yang takut akhirnya membenarkan tentera kita pergi ke Afghanistan. Najib yang takut ini telah membenarkan askar kita menjadi barua Raja Bahrain yang kini mendapat tentangan dari rakyatnya. Ini namanya Malapetaka.
Ketakutan Najib ini telah juga memberanikan Australia untuk menumpang semangkuk. Tahun ini Najib  telah bersedia untuk menjadi barua Austarlia apabila Malaysia bersedia menerima orang-orang pelarian Australia untuk ditempatkan di Malaysia. Malaysia bersedia dijadikan wilayah Australia di mana kerja-kerja imigresen Australia dapat dijalankan. Ini namanya Malapetaka.
Tidak cukup dengan malapetaka ini – kilang radio-aktif Australia telah juga dibenarkan dibuka di Gebeng, Pahang. Kilang yang amat merbahaya ini telah tidak dibenarkan dibuka di Australia sendiri. Rakyat Austarlia sedar akan bahaya kilang ini tetapi Najib telah membenarkan ianya dibuka. Ini Malapetka namanya.
Perwatakan Najib bagitu lemah sekali sehinggakan membolehkan Rosmah Mansor berlagak sebagai Menteri Kabinet. Pernah dilaporkan bagaimana Rosmah Mansor telah mewakili kerajaan Malaysia ke Saudi Arabia untuk membincangkan hal pembelajaran dan bukan Menteri Pelajaran Malaysia. Untuk menambahkan pedih di kaki yang luka – Shahrizat Jalil, seorang Menteri telah jatuh tarafnya dalam lawatan ini. Mengikut laporan Bernama, Shahrizat hanya bertugas sebagai pengiring. Ini namanya Malapetaka.
Abdulah Badawi dahulu dikenali sebagai menteri dolak dalik. Najib ini bukan sahaja dolak dalik malah Najib ialah seorang yang amat-amat penakut. Takut kepada Rosmah Mansor mungkin kita semua fahami kerana Rosmah berbadan besar. Takut yang maksudkan di sini ialah takut untuk membuat keputusan. Ini malapetaka.
Biar saya bawa ingatan tentang tunjuk perasaan 9 Julai dahulu. Lihat apa yang Najib lakukan. Ingatkan kembali kenyataan berdolak dalik Najib. Mula-mula Najib ingin berjumpa Bersih kemudian kata tak nak jumpa pula. Atau mula-mula Najib kata boleh berdemo asalkan dalam stadium. Kemudian Najib berkata, semua tidak dibenarkan. Flip flop atau dolak dalik Najib ini telah jadi bahan lawak.
Dolak dalik Najib yang awalnya jadi bahan lawak ini akhirnya membawa bahaya. Ingatkan kembali bagaiman Najib tiba-tiba membuat kenyataan bahawa dia telah menyerahkan kuasa kepada polis untuk membuat apa sahaja keputusan vis a vis Bersih. Bunyinya pelik tetapi benar. Inilah perwatakan Najib Razak  yang semakin mandul sebagai PM Malaysia. Ini Malapetaka.
Pada 31 Ogos ini, kita akan menyambut hari Malapetaka. Tidak adalah malapetaka yang paling Malapetaka sekali melainkan kemunculan Rosmah Mansor. Ini bukan fitnah. Ini politik nyata kerana Rosmah Mansor ini sedang mengawal ekonomi negara. Siapa mengawal ekonomi akan mengawal politik. Umum mengetahui bahawa apa sahaja projek sebelum diluluskan wajib mendapat lampu hijau dari Rosmah. Lampu hijau ini bukan hanya tanda Rosmah bersetuju, malah ini tandanya Rosmah telah mendapat potongan dari projek itu.
Jangan lupa Rosmah dan Najib ini adalah ‘free loader’ atau bak kata Mak Cik Felda – suka makan free. Ini terbukti jelas apabila kenduri kendara perkahwinan anak Rosmah di Kazakhstan beberapa bulan dahulu telah menggunakan duit kerajaan untuk penerbangan, golek bantal dan makan minum di sana.  Apabila kenduri yang sama diadakan di Kuala Lumpur – dibuktikan sekali lagi bahawa bil jamuan makan malam kenduri ini telah dibayar oleh Jabatan Perdana Menteri. Kalau ini bukan Malapetaka, ertinya Najib Razak tak kenal Ziana Zain..
Kesampaian Malapetaka pada 31 Ogos akan datang sedang menunjukkan satu yang baru. Kini semakin ramai ahli United Malay National Organisation yang merasa kewujudan Malapetaka ini. Ada beberapa gerombolan United Malays National Organistaion kini telah mula berani menyuarakan keresahan mereka. Ada yang menubuhkan NGO dan ada yang menerbitkan buku.
Apa yang membezakan analisa mereka dengan pandangan dunia saya ialah Malapetaka untuk saya bukan dihasilkan oleh individu. Memang sahih, watak individu itu akan menyubur dan membugarkan Malapetaka. Najib yang lemah dan penakut akan membawa Malapetaka. Tetapi ada yang lebih penting yang melahirkan Malapetaka ini: sistem ekonomi. Pada 31 Ogos 1957 dahulu kita telah menerima pakai sistem ekonomi kapitalis.
Justeru Malapetaka yang saya hujahkan di sini lahir dari sistem ekonomi. Ini amat jauh bezanya dari Rosmah yang dikatakan membawa sial hinggakan Najib menghadapi malapetaka dari United Malaya National Organisation dan diramalkan sebagai Perdana Menteri terakhir untuk United Malay National Organisation.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=19967

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.